Monday, August 23, 2004

Dongeng Seorang Aku

...

Aku dilahirkan ketika hujan turun dengan lebat membasahi bumi bertuah ini. Tapi bukanlah macam cerita dongeng dulu-dulu, kilat sabung-menyabung, bumi bergegar dan sebagainya. Aku mula melihat dunia ketika musim tengkujuh melanda. Tak mungkin satu kampong dengan ADK77, sebab dia Anak Daerah Kemaman, aku Anak Muka Kuala (AMK).

Selepas aku dilahirkan maka Mak aku bakar lampin kain sebab dah tak larat nak beranak lagi. Aku anak ke 11 (boleh buat team bola) tapi 2 abang kembar aku meninggal dunia ketika usia masih kecil. 2 kakak aku terpaksa diserahkan pada orang lain untuk dibela kerana Mak Ayah aku tak mampu nak jaga, kami orang miskin.Jadi, sesiapa yang nak berkenalan dengan adik aku, mintak maaf. Kalau nak berkenalan dengan Mat Jan, aku boleh rekemenkan.

Kami hidup dalam satu keluarga yang bahagia dan terasing, sebab Bapak-bapak Saudara aku semua kaya-kaya. Ada kereta Batman semua (alaa…kereta antik yang bersayap kat belakang tu). Kami hidup bahagia walau kadang-kala terpaksa berkumpul dan berpelukan di satu sudut rumah bila ribut melanda .Atap nipah rumah kami pernah terbang direntap angin Timur Laut Cina Selatan.Abang aku pernah dihalau keluar dari kereta Bapak Saudara aku walau dia cuma masuk nak merasa naik kereta.Itu semua cerita lama. Ada dalam blog lama aku dulu.

Kami adik beradik pernah berjanji akan mengubah kehidupan kami. Alhamdulillah, kami semua berjaya dalam hidup.

Cuma, aku tak sempat nak bawak arwah ayah aku pergi jalan-jalan makan angin. Itu aku cukup terkilan.Semasa arwah ada, aku baru mula bekerja dan baru kawin.Sekarang, masa jalan-jalan makan angin Mak aku duduk satu bilik dengan anak-anak aku. Kalaulah arwah masih ada.Kalaulah….

Nama sebenar aku adalah Ahmad Arkam bin Po sebab tu jadi D’arkampo. Tak percaya? Aku pun tak percaya.

Semasa sekolah, aku masuk aliran sains. Aku belajar kamilan, konsep mol, daya dan gerakan serta larutan-larutan yang aku tak faham. Lantak lah, aku belajar sekadar termampu. Dapat pangkat 1 tapi aggregat dah nak tergelincir. Aku mintak UiTM jurusan senibina tapi malangnya, pemohonan aku ditolak. Ketika semua kawan-kawan baik aku melangkah ke menara gading, aku masih berbaju sekolah dan menghadiri perhimpunan pagi di Tingkatan Enam. Aku dimasukkan ke aliran sastera, aku memprotes sebab bagi aku aliran sastera adalah Jiwang sekarat-karatnya.

Rupa-rupanya ada hikmah yang amat besar. Aku mengenali puisi, sejarah, ekonomi dan keindahan bahasa.Aku menghafal novel Keluarga Gerilya karya Promoedya Ananta Toer novel Salina karya A. Samad Said , aku belajar puisi-puisi semangat dari Chairil Anwar, Usman Awang, Rejab F.I., T. Alias Taib. Aku belajar sejarah Melayu, gerakan-gerakan Kesatuan Melayu Muda,AWAS,API, ASAS 50, pengaruh komunisme, pengaruh jepun. Aku belajar tentang sejarah Islam, Sirah Nabi, Kebangkitan Kerajaan Umaiyyah, Abasiyyah, sahabat-sahabat Nabi. Aku belajar tentang bahasa, istilah-istilah melancholy, bombastik dan perlambangan-perlambangan dengan alam.

Di situlah kecintaan aku pada bahasa-bahasa puitis menjadi tebal dan mendalam.

Aku mengharungi 4 tahun di IPT dalam jurusan kapal selam yang mengasuh aku menghafal dan mempunyai pemerhatian yang tajam. Dalam peperiksaan jurusan aku tak ada jawapan yang skima, merapu ngko jawab, fail lah ngko.Ingat senang ke nak buat kapal selam.

Semasa Konvokesyen, aku pinjam kamera kawan aku yang akan ambil scroll keesokan harinya. Bila dia nak ambil gambar, filem stuck. Dah kamera dia, filem yang ada gambar-gambar aku dan keluarga aku terpaksa dikorbankan di tengah-tengah panas di depan dewan. Aku tension.Kebetulan, kawan aku dari Minden, Pulau Pinang datang ke majlis aku dan dia ada majlis konvo dua hari selepas aku. Aku angkut jubah, motarboard, kot pinjam dan segala kelengkapan ke Minden, Pulau Pinang. Bila kawan aku keluar dari dewan konvokesyen, aku dah siap tunggu dia depan tu dengan jubah, selendang dan motarboard U aku. Semua graduan USM pandang aku macam alien. ‘Mamat ni dapat Phd ke..jubah warna biru..?’. Pedulik kan..

Sekarang aku menjawat jawatan sebagai seorang pekerja swasta. Aku pernah pergi interview kerja kerajaan tapi aku pergi dengan niat untuk ambil hati Arwah Ayah aku saja. Aku sengaja menggagalkan interview itu dengan berdebat dengan Interviewer atas isu yang sepatutnya aku setuju saja.Pedulik kan…

Sekarang aku punya seorang isteri (macam sajak Pak Utih – Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang..Punya satu isteri mahu dakap sampai mati…) dan 3 anak, harta aku yang paling aku kasihi.

Nantilah aku sambung lagi…panjang lagi nak ceritakan dongengan ini.Dah tak larat dah.

~d'arkampo.

1 comment:

Anonymous said...

kapal selam? degree apa tu?