…
Hujan pagi yang tadinya lebat kembali menjadi taburan gerimis. Titis-titis air yang pecah menyelubungi seluruh Kampung. Matahari mula memunculkan dirinya dengan sinar yang terang. Bau udara selepas hujan memberikan aroma yang cukup menenangkan. Kabus mula menghilang dari celah-celah bukit dan bendang.
Siti melepaskan pandangannya ke luar jendela dari rumah yang usang. Dia bersyukur pada Tuhan.Dia tidak pernah membenci hujan tetapi hujan akan memberikan makna resah padanya. Resah kerana seluruh lantai kayunya akan berkubang dengan air yang menitis dari lubang-lubang pada atap zink mahligainya. Resah kerana dia tak dapat menoreh getah sumber pendapatan hariannya. Resah kerana anak-anaknya akan menggigil kesejukan tanpa pakaian.Resah kerana ketika hujan sebeginilah arwah suaminya pergi menemui Ilahi apabila lemas di dalam paya di hujung kampung.
Pecah-pecah air berkumpul di udara dan membentuk lengkungan warna apabila disimbahi cahaya matahari.
‘Mak, kenapa pelangi ada banyak warna ?’ kata Nuar, anak sulungnya yang bersekolah darjah lima sambil menunjuk ke arah pelangi pagi.
‘isyyyy..jangan tunjuk nanti kudung jari…’ kata si ibu beranak empat yang hidup bergantung sepenuhnya pada pokok-pokok getah di tanah sekangkang kera.
‘Warnanya cantik kan Mak..’ kata Nuar lagi sambil menutup jari telunjuknya dengan tangan kiri.
‘Kata orang, dihujung pelangi ada tempayan emas, sebab itu warna-warnanya bercahaya’ kata si ibu lagi.
‘Kenapa orang tak ambil emas tu Mak ?’ tanya Nuar anak harapan ibu dan arwah bapanya.
‘Orang tak jumpa, lagipun kalau orang ambil, tak akan ada pelangi lagi.’ Kata Siti sekadar mengada-ngadakan cerita.
‘Dah lah, mak nak pergi ke bawah sana, nak cari pucuk paku kalau ada. Jaga adik-adik ya..’ Siti menutup segala pertanyaan lanjut anaknya. Dia tahu anaknya suka bertanya dan dia sedar bahawa dia tidak mempunyai jawapan untuk segala-galanya.
Nuar terus merenungi jalur-jalur warna dilangit lukisan Yang Maha Esa. Renungannya jauh hingga ke pangkal pelangi yang sekan-akan jatuh dihujung kampungnya.
Tengahari itu, mereka anak beranak menjamu selera dengan lauk sayur pucuk paku dan ikan kering goreng.
‘Mak…minggu lepas cikgu cakap Nuar kena beli buku latihan matematik, sepuluh ringgit satu ,esok dah nak sekolah….’ Kata Nuar sambil menyuap nasi ke mulutnya perlahan-lahan.
Siti menghentikan suapan ke mulut anak bungsunya dan merenung muka Nuar dengan satu renungan yang dalam. Renungan yang penuh dengan erti kepayahan.
‘Nantilah, cakap kat Cikgu, minggu depan mak cuba usahakan..’ kata Siti dengan diiringi satu keluh kesah yang panjang.
Setelah selesai makan dan solat Zohor, Nuar meminta izin dari ibunya untuk keluar ke rumah Pak Mat Jin.
‘Mana tahu kalau-kalau Pak Mat Jin nak ajak Nuar menebas di kebunnya petang ni, boleh Nuar tolong-tolong, dapat jugak seringgit dua kan Mak….’ Kata Nuar sambil menuruni tangga kayu yang sudah uzur dan bergoyang-goyang.
‘Pergilah Nak…’ Bisik hati Siti di muka pintu sambil anak matanya terus mengekori setiap langkah Nuar menuju ke hujung kampung.
……………………..
Nuar melaung-laungkan nama Pak Mat berkali-kali tetapi tiada jawapan, rumah Pak Mat Jin tertutup rapat. Setelah beberapa lama menunggu, Nuar terus duduk di atas pangkin di bawah pokok rambutan di laman Pak Mat.
‘Mana Pak Mat pergi ya?...’ bisik hati Nuar yang agak kecewa.
Kecewa kerana peluang untuk dia mendapatkan seringgit dua dari Pak Mat hancur berkecai pada hari itu. Hancur luluh hatinya kerana dia tak mahu nanti Cikgu Tipah menyindir dirinya lagi kerana tiada buku. Sekurang-kurangnya seringgit dua itu dapat membantu ibunya yang membanting tulang mencari rezeki dan menyekolahkannya. Dia tahu yang ibunya menderita dalam menanggung dia empat beradik. Subuh-subuh lagi ibunya sudah keluar ke kebun getah untuk menoreh dan sudah menjadi tugas Nuar untuk menjaga adik-adiknya sebelum dia ke sekolah. Dia sudah lebih matang dari usianya yang masih kecil.
Ketika anak-anak lain bersuka ria bermain di padang, dia lebih gemar membantu penduduk di situ membuat kerja-kerja kampung. Dapat rezeki sedikit, dia akan memberikannya kepada ibunya.Itu sahaja yang dia termampu lakukan.Dapat juga sedikit sebanyak membayar hutang di kedai runcit Makcik Salina.
Nuar merenung jauh ke arah paya yang luas di hadapannya. Harapannya berbunga. Sekelumit senyum terukir di bibirnya.
…………………………………….
Siti memeluk anak-anaknya yang kecil sambil matanya tak henti-henti mengalirkan airmata. Segala sedih dan sendu bersarang di dalam jiwanya. Dia tak tahu samaada hendak meraung dan membunuh segala harapan yang ada atau sebaliknya.Dia sudah hilang segala semangat dan kudrat untuk meneruskan perjalanan hidupnya yang serba kurang.Berat rasa hatinya untuk menerima takdir dan hakikat.
Mayat Nuar ditarik perlahan-lahan ke gigi air paya yang turut meragut nyawa ayahnya sebelum itu. Orang-orang kampung berkumpul memberikan bantuan dan menguruskan semua urusan pengkebumian.
Terdengar bisik-bisik antara rakan-rakan sebaya Nuar.
‘Tadi aku tanya dia nak ke mana…dia cakap dia nak pergi ambil tempayan berisi emas di hujung paya…..’
Pelangi muncul lagi di rembang petang itu. Warnanya suram dan serinya semakin tenggelam.
~d’arkampo.- sepuluh ringgit kita adalah satu tempayan emas buat mereka.
1 comment:
tersedar dari lamunan yg panjang...
Post a Comment