…
Peluru-peluru yang bermata merah (laser guided bullets) berdesing-desing melintas di atas kepala Prebet Rayan (atau nama sebenarnya Mark Jarne). Prebet Rayan menundukkan kepalanya dan mukanya sudah dibenamkan di dalam lumpur kuning. Dentuman bom berkapasiti tinggi dan bunker buster kedengaran disekelilingnya. Bunyi tembakan bertalu-talu umpama bertih goreng bersilih ganti. Di langit hitam, di atas sana kelihatan beberapa jet pejuang meluncur laju dengan kelajuan subsonic membelah awan sambil melepaskan peluru-peluru berpandu Tomahawk dan Sidewinder.
Prebet Rayan tidak pernah melihat musuhnya yang masih hidup kerana perang pada zaman ini, dia tidak perlu membidik Rifle Styer AUG versi 3000 mencari sasaran. Dia hanya perlu melihat pada skrin kecil di topi kevlarnya dan memetik picu. Peluru akan berfikir dan mencari sendiri sasarannya. Begitu mudah untuk menembak walau dia berselindung di dalam kubu konkrit tebal. Begitu mudah juga dia akan menjadi sasaran.
Apabila suasana menjadi sedikit tenang, dia mula mengangkat kepala. Bergerak perlahan-lahan dan menyandarkan tubuhnya yang sudah terlalu letih ke dinding kubu bersalut konkrit. Di melepaskan pandangannya ke hadapan. Apa yang tergambar hanyalah sisa-sisa kemusnahan. Bangunan-bangunan yang pecah dan terbelah. Asap hitam berkepul-kepul menjulang ke langit. Mayat-mayat bergelimpangan.
Dia memandang dengan pandangan yang kosong. Dia sudah tidak mempunyai emosi dalam diri. Semenjak perang meletus 6 bulan yang lalu, dia melihat segala jenis keperitan dan segala jenis kematian. Semuanya terjadi di depan mata sendiri.
Dia adalah lepasan kursus Program Latihan Perkhidmatan Negeri (PLPN) dan apabila perang meletus, dia adalah antara yang terawal dipanggil untuk mempertahankan negara. Dia dianggap sebagai generasi yang telah dilatih untuk berjuang sedangkan realitinya, semasa kursus dia hanya belajar tentang kaedah-kaedah untuk bergaul dan cuba percayakan diri. Ditambah dengan cerita-cerita yang didengarnya dipusat-pusat latihan yang lain, dia amat kecewa. Kecewa kerana generasinya mengambil mudah tentang segala-galanya. Alangkah baiknya kalau dia telah diajar untuk berjuang, taktik-taktik peperangan dan bersemangat waja tanpa kenal takut dan lelah. Itu bisik hatinya apabila dia mula-mula memegang senjata.
Kotak fikirnya terus merewang jauh. Tubuhnya amat letih, otaknya perlukan sesuatu untuk memadamkan keletihan itu dan dia tak mampu untuk tidur kerana tidur akan hanya mematikan jasadnya.
Dia teringat di suatu ketika dulu. Ketika negaranya aman, mewah dan semua rakyat tak perlu bersusah payah. Masyarakat ketika itu terlalu selesa sehinggakan hak manusia untuk hidup hanya dinafikan oleh sebuah beg tangan wanita. Manusia berbunuh-bunuhan hanya kerana cintanya ditolak. Nyawa melayang hanya kerana nafsu seks satu malam. Satu jiwa menemui Tuhannya apabila disembelih tanpa perlu ada motif utama.Masyarakatnya amat sakit dan parah.
Dia melihat gelimpangan mayat-mayat dan airmatanya sudah menjadi terlalu kering dan kontang gersang. Dia sudah banyak mengalirkan airmata semasa negaranya aman dan selesa, dia mengalirkan airmata atas sebab musabab yang amat nipis. Senipis kulit bawang dibelah dua. Dulu, dia menangis bila rancangan realiti tv memaparkan seorang pelajar terkeluar dari satu akademi yang di gelar Akademi Fantastika sedangkan pelajar itu ditawarkan kontrak selama 3 tahun dengan gaji melebihi gajinya sendiri ketika itu. Makna kesedihan begitu ringkas untuk dipangkah.
Ironinya, ketika dua orang kanak-kanak yang menghidap bengkak hati meninggal dunia apabila rawatan lewat diberikan atas alasan kewangan. Dia tidak berasa sebak atau menitiskan airmata. Sebegitu mudah dia menerimanya sebagai takdir.
Begitulah sakitnya masyarakat sebelum perang melanda.
Kini, nyawa sudah tiada harganya. Tak perlu sesal dan gundah kerana semasa mewah, dia tak pernah mengambil endah.
Kini, dalam perang yang tiada peri kemanusiaan ini, masyarakatnya mula bersatu menentang musuh. Tiada perbalahan kaum, tiada perpecahan parti politik, tiada jurang kaya dan merempat, tiada sedu sedan dan tiada sempadan yang memisahkan.Semuanya berpegang pada matlamat mempertahankan tanah milik anak watan.Satu pegangan dan satu niat terpasang.
Prebet Rayan terus tertidur bersandarkan kubu konkrit yang pecah dan merah. Sebutir peluru berpandu pencari haba (heat seeking missile) meluncur laju dan hinggap di dada Prebet Rayan bersekali dengan satu dentuman yang menggegarkan dunia.
Tubuhnya berkecai dan kematiannya tidak dipedulikan oleh sesiapa.
Langit menjadi semakin hitam, angin bertiup kencang dan hujan turun membasuh membilas darah dan nanah yang berkubang.
Semut-semut hitam terus menyerang kumpulan semut-semut merah yang gigih bertahan. Mempertahankan pegangan, ajaran dan nilai-nilai kesemutan.
~d’arkampo – Syukurlah yang Malaysia kita masih aman. Hentikanlah tangisan pada alasan yang remeh. Jangan murahkan makna kesedihan.
Al-Fatihah buat Allahyarhamah adik Safiyyah Khadijah binti Iskandar @ Faisal
4 comments:
This is excellent. An eye-opener. Should be published in mainstream newspaper. Pasal AF tu, memang dah naik jelak dah.
Bestnye ..mcm novel..
Good Story inside..
yalah, hantarlah kat suratkhabar.
Post a Comment