Pokok-pokok heliconia yang masih hijau menimbun tinggi. Bunga-bunga yang masih mekar bagaikan paruh burung enggang bewarna kuning mulai memudar. Sudah tidak jingga lagi.
Dulu. Rimbun-rimbunnya amat cantik dengan daun-daun pirus meruncing. Sejuk menghijau. Bunga-bunganya yang melentik paruh pekat jingganya memukau mata.
Kini, apabila mereka membiak meliar tidak terkawal. Hijau berganti mati dan bunganya mulai menguning.
Salahkan tuan laman yang terlalu sibuk ‘blogging’.
Sudah tiada masa berbicara dengan makhluk tumbuhan di laman. Pinang merah mulai mati dan pucuk-pucuk pinang kuning mulai menjarang. Keladi gajah pun sudah mengalah.
Aku memandang sekeliling di satu petang yang seakan-akan mahu hujan.
Lantas aku terfikir.
‘aku kena ada kereta sorong.’
Esoknya. Aku megunjungi kedai ‘hardware’ yang namanya bagaikan ikea. Sebuah kereta sorong kelabu dan sepasang ‘castor wheel’ di ‘scan’ lalu dibayar. Diangkut naik ke belakang kenderaan yang semakin kuat makan minyak sejak akhir-akhir ini.
Singgah di bengkel besi.
Dua pekerja yang masih muda lagi.
‘tak boleh buat macam tu bang..kena potong kakinya. Letak satu plat dan paterikan. Mesti jadi bang..’ kata seorang penuh keyakinan.
Aku nampak dia lebih kreatif dari kawan dia yang bagai tak mahu berhenti memotong besi 'grill'. Memercik api menyembur kaki.
Aku biarkan kepada kebijaksanaan pandai besi. Aku cuma berikan pelan dan kemahuan secara lisan. Aku. Laksana jurutera.
‘siap bang’
Setelah setengah jam menanti.’berapa?’ Tanya aku.
‘sepuluh udah la bang..kawan-kawan’
Hasilnya ini :

Sebuah kereta sorong atau di sini dikenali sebagai kereta labbi (labi-labi) dengan tiga roda berputar. Mungkin yang pertama seumpamanya di kampung aku.
Petang itu.
Tiga ‘trip’ menghantar batang-batang heliconia ke tong sampah besar di tepi jalan besar menjadi meriah. Mereka bergilir menjadi penumpang di ruang barang.Di tolak dengan keriangan.
‘best aaa abah jadi engineer!’
Seorang jiran menegur.
'model baru?'
'ha'ah..mercedes kompressor' aku.
Ha ha ha.
~Po.






