Semalam. Entah kenapa. Aku tiba-tiba sakit lutut. Tempurung lutut aku macam tidak sejajar dengan urat dan sendi. Berjalan hencut. Naik tangga ke pejabat 'one leg up at a time'. Payah terasa.
Solat. Berpeluh-peluh menimbang badan dan mengimbang antara turun sujud dan melipat kaki antara dua sujud.
SubhanAllah.
Maha suci Mu Allah memberikan ujian sebegini.
Kafarah mungkin untuk dosa-dosa berjalan ke tempat dosa suatu masa dahulu. Mungkin.
Merungut. Tidak.
Terkilan. Ya. Bulan Ramadhan dan tak dapat menunaikan solat terawikh di Masjid, Bimbang tak dapat ikut Imam.
Semalam juga. Melawat sahabat di Kuala Ibai. Di rumah ayah dia. Rusdi namanya. Kerja jadi kontraktor elektrik di Dungun.
Hari Sabtu lepas. Satu Ramadhan. Isteri beliau dipanggil Tuhan.
Kanser payudara.
'Fighting' semenjak 2009 dan menolak rawatan Chemotherapy. Selang tiga tahun lebih kurang semenjak di diagnose dengan kehadiran benjolan di dalam kulit. Awal 2012 arwah semakin mengalah dengan derita yang cukup pasrah. Umur sebaya kami juga. Empat puluh dua.
Kami bertiga di beranda rumah setingkat sederhana besar. Angin dari arah laut kadang-kadang bertiup kuat.
Kadang-kadang perlahan.
Macam Rusdi yang sedang bercerita tentang isteri beliau.
Anak lima. Paling bungsu darjah satu. Comel. Datang bersalam dengan kami. Aku usap kepalanya.
Bercerita tentang arwah yang jatuh ketika dipegang Rusdi semasa solat. Bercerita tentang hari-hari akhir arwah yang mahu pulang ke rumah mertuanya.
Bercerita tentang anak-anak yang seakan redha dengan pemergian ibu tercinta. Ibu tak akan sakit lagi di mata mereka.
Kadang-kala kami bertukar cerita tentang kami. Tentang anak-anak kami.
Tentang kawan-kawan yang lupa diri. Kawan-kawan yang sejati.
Rusdi. Batch kami ketika SPM 1987 dulu di Sekolah SS. Rambut kerinting dan ada gelaran tersendiri.
Kadang-kadang ketika angin bertiup kencang di petang lima Ramadhan kami ketawa dengan cerita-cerita lama. Betapa kami sudah tua.
Kadang-kadang hanya Rusdi bercerita dan kami hanya memandang jauh ke arah padang yang ditumbuhi pokok-pokok resam dan pucuk-pucuk kayu. Berselang memandang anak-anak beliau di dalam rumah menonton TV.
Kami tidak pernah kenal dengan Allahyarhamah.
Tak pernah.
Kami tahu dia pergi pun setelah beberapa hari.
Kami kirimkan Al-Fatihah.
Rusdi menjemput untuk tahlil sebelum Iftar tetapi kami tak dapat penuhi. Banyak komitmen yang perlu kami sudahi.
Kami berangkat pulang setelah memeluk bahu Rusdi yang kami lihat tenang.
Petang yang cukup tenang.
Angin berhembus perlahan.
Besar ujian Mu Tuhan.
~po.