Saturday, July 31, 2004

A Tribute To Pioneer

…

Aku pasti kalian pernah menuturkan atau sekurang-kurangnya kalian pernah mendengar ungkapan-ungkapan sebegini :-

‘Malam tadi aku makan Maggie aje…’
‘Dah salin Pampers anak?...’
‘Kenapa tak Kiwi kasut tu?...’
‘Tak payah buat lain, Liquid Paper aje..’
‘Tolong belikan Modess ye..’
‘Alaa..tidur atas Toto pun boleh..’
‘Dah tahu sakit kepala..makanlah Panadol…’
‘Nak ambik gambar macam mana..Kodak dah habis…’

Itu adalah antara beratus-ratus lagi ungkapan-ungkapan yang biasa kita ucapkan dan kita dengar. Sedar atau tidak, kita sedang menyebut jenama sesuatu barangan bagi merujuk kepada apa yang cuba kita sampaikan.Kita tak sebut macam ni :-

‘Dah salin lampin pakai buang anak?’
‘Dah tahu sakit kepala..makanlah pil penahan kesakitan.’
‘Tak payah buat lain, padamkan dengan pemadam jenis cecair aje…’

Begitulah besarnya impak sesuatu jenama yang mula-mula (pioneer) memasuki pasaran ketika tiada jenama lain yang berbuat demikian.Jenama-jenama tersebut tidak perlu mengiklankan barangannya dengan lebih detail kerana semua orang dah tahu tentang fungsi, kebaikan dan kelebihannya berbanding jenama lain.

Terdapat juga barangan yang sinonim dengan sesuatu jenama atau tempat. Contohnya seperti kasut sekolah. Pasti yang terfikir di kepala kalian adalah jenama Bata. Selipar jepun, walau apa jenama yang diletakkan, orang tetap akan memanggilnya sebagai selipar jepun. Pizza Hut sinonim dengan pizza sehingga terdapat ungkapan sebegini ‘Jom makan Pizza Hut atau Jom makan KFC…’.Itu adalah antara contoh-contoh yang terlintas di dalam kepala aku.Kalian mungkin ada contoh-contoh yang lain.

Menjadi pioneer bukan mudah kerana apabila produk itu adalah produk kegunaan baru maka masyarakat belum dapat menerimanya dengan senang tetapi apabila sudah diterima, produk lain perlu lebih bijak dari segi pemasarannya untuk memadamkan ingatan masyarakat pada jenama yang terdahulu. Untuk tahu tentang strategi pemasaran, tanya Marketing Guru, Cik Kak kita, MA.

Kenapa aku cerita tentang pemasaran hari ni?

Sebab aku duduk berfikir tentang Blog dan aku terbaca satu journal perubatan yang merujuk kawasan antara tumit dan buku lali pada kaki kita dikenali sebagai Achilles tendon seperti nama Achilles pada sejarah Greek yang telah aku ajar dulu. Begitu besar nama itu sehingga diabadikan pada tumit semua manusia selepasnya.

Antara pengendali Blog terawal di Malaysia adalah Mat Jan dan nasib baik nama Mat Jan tidak diabadikan menggantikan nama ‘Blog’ itu sendiri. Kalau tidak kita akan dengar ungkapan-ungkapan sebegini :-

‘Aku dah update Mat Jan…’
‘Entry Mat Jan dia power gila…’
‘Nice Mat Jan…’
‘Link kan Mat Jan aku ke Mat Jan ngko eh..’
‘Mat Jan ngko cantiklah, ngko ambik template kat mana?’
‘Entry Mat Jan panjang sangat…’
‘Aku jumpa satu Mat Jan di internet, kelakar gila…’
‘Mat Jan ngko buruk sangat’
‘Aku letak gambar pada Mat Jan…’
‘Mat Jan aku jadi gila, sidebar tunggang terbalik…’

Yang paling best…

‘Aku dah delete Mat Jan…’

He he he he

~d’arkampo.

Tuesday, July 27, 2004

Mencari Melayu Itu Sendiri

...

Aku menulis ini bila yaabna mempertikaikan tahap kemelayuan Melayu yang semakin layu..

Mencari Melayu Itu Sendiri

Berlari-lari
Dalam gerimis pagi
Mencari jatidiri

Tercari-cari
Makna yang pasti
Dalam diri
Yang masih lagi
Lena diulit mimpi

Walau sarung bantalku bertulisan Swahili
Aku masih Melayu jati

Walau permaidani yang kupijak dibawa dari Turki
Aku masih Melayu jati

Walau bajuku diimport dari Itali
Aku masih Melayu jati

Walau keretaku dikenakan duti import yang tinggi
Aku masih Melayu jati

Aku menjadi Melayu lupa diri
Bila black pepper steak ku ini
Ku suap ke mulut ini
Dengan tangan kiri

Aku kembali menjadi Melayu Sejati
Bila menghirup ABC
Kerana ABC
Hanya boleh didapati
Di tanah Melayu kita ini
Walau ABC dicipta oleh bukan kaum pribumi

Jadi..
Di manakah Melayu itu sendiri berdiri?

~d’arkampo.

Saturday, July 24, 2004

Salam Buat Semua.

Salam buat semua pengunjung.

Maaf kalau selama ini aku hanya membisu pada setiap komen yang telah dilontarkan kepada aku di dalam setiap entry yang aku masukkan. Aku membacanya tetapi masa menghadkan aku untuk bercerita semula.Terima kasih atas semua komen-komen yang ditulis.

Baru-baru ini, dalam beberapa Blog seperti Yaabna dan Kak Sri Diah ada bercerita tentang majlis-majlis atau function yang diadakan dan kerenah-karenah yang perlu dihadapi sebelum, semasa dan selepas majlis.

Aku terpanggil untuk bercerita.

Tahun lepas, aku telah dilantik menjadi Pengarah kepada satu Majlis Makan Malam yang menjemput Ke Bawah Duli YMM Tuanku Al-Sultan dan Ke Bawah Duli YMM Permaisuri. Satu Royal Dinner bersempena dengan Hari Keputeraan Baginda oleh Persatuan Profesyen aku.

Penatnya Tuhan sahaja yang tahu.

Bukan aku penat berkejar ke sana ke mari dan semuanya secara sukarela. Bukan aku penat dengan mesyuarat di sini sana. Bukan aku penat berjumpa dengan orang-orang kenamaan yang memang payah nak jumpa. Semua benda-benda tu aku suka.

Aku sebenarnya penat dengan segala protokol yang harus aku patuhi, aku penat dengan semua jenis orang yang berlagak pandai serba serbi, aku penat dengan macam-macam karenah birokrasi, aku penat dengan manusia yang terlebih-lebih mengalahkan Tuanku sendiri.

Aku serik nak anjurkan majlis sebegini lagi. Serik sebab apabila rumah siap, drill berbunyi (pahat dah tak pakai lagi). Macam-macam remarks diberi. Komplen itu ini. Itu yang buruk, yang baik semua nak ambil kredit atas diri sendiri.

Tapi aku puas hati sebab semuanya berjalan licin dan lancar walau nama aku tidak diberi perhatian yang wajar.

Ketika-ketika itu, aku teringatkan kepada majlis-majlis yang dibuat semasa aku mengaji di IPT. Semuanya mudah dan happy. Enjoy gila siput babi.

Aku teringat semasa aku di tahun 2, ketika itu ada persatuan sikh dan india membuat persembahan di dewan makan asrama aku.Aku diajak oleh seorang teman yang mahu mendengar irama Bhanggra.Aku tak pernah dengar irama itu atau melihat tariannya.

Aku dan teman-teman mengumpulkan lebih kurang 10 orang geng satu kepala untuk turun sama. Sampai di dewan, hanya kami berbangsa melayu yang pergi. Apabila kami melangkah masuk ke dewan sahaja semua mata memandang kami. Kami mengambil kerusi-kerusi di bahagian belakang. Semasa ucapan pengarah projek tersebut, kami duduk diam sebab sepatah haram kami tak faham. Semasa itulah salah seorang AJK majlis menghampiri kami dan berbisik.

“Tolong lah, jangan buat kacau”

Aku naik hairan, bila masa pulak aku nak buat kacau? Ketika itu aku merasakan ada angin perkauman berterbangan. Mereka berprasangka pada kami dan kami berprasangka pada mereka setelah di ‘sound’ sedemikan rupa.

Muzik Bhanggra menyelamatkan keadaan sebenarnya. Apabila persembahan dibuka, alunan Bhanggra yang rancak memanaskan suasana. Aku pun pertama kali mendengarnya. Apabila sudah panas, apalagi bang. Jom menari !

Kami menari bagai orang gila di belakang. Semua hangguk kepala macam konsert rock. Tapi kami tak kacau majlis malah ada beberapa kaum mereka yang join sama. Rilek Brader! Enjoy gila. Majlis yang tadinya hambar menjadi penuh ceria.

Tamat persembahan dan bila dah berpeluh-peluh dada. Aku dengar tepuk sorak pada penari-penari mereka dan aku lihat VIP-VIP yang dijemput dan berada di depan pentas menoleh pada kami dengan senyuman penuh muka.AJK-AJK mereka datang dan bersalaman dengan kami semua.

Siapa kata kami nak buat kacau…kami cuma menghidupkan suasana.

Itulah harapan aku dalam semua majlis yang aku pergi dan yang aku kendali.

Puas hati.

He he he.

~d’arkampo.

Thursday, July 22, 2004

I Have A Dream

...

 
Abba - I Have A Dream
--- --------------------
(written by Benny Anderson and Bjorn Ulvaeus)
-------------------------------------------------

I have a dream, a song to sing
To help me cope with anything
If you see the wonder of a fairy tale
You can take the future even if you fail
I believe in angels
Something good in everything I see
I believe in angels
When I know the time is right for me
I'll cross the stream - I have a dream
I have a dream, a fantasy
To help me through reality
And my destination makes it worth the while
Pushing through the darkness still another mile
I believe in angels
Something good in everything I see
I believe in angels
When I know the time is right for me
I'll cross the stream - I have a dream
I'll cross the stream - I have a dream 
I have a dream, a song to sing
To help me cope with anything
If you see the wonder of a fairy tale
You can take the future even if you fail
I believe in angels
Something good in everything I seeI believe in angels
When I know the time is right for me
I'll cross the stream - I have a dream
I'll cross the stream - I have a dream 

Aku saja-saja je letak lirik lagu ni kat sini sebab ada sebut fairytale. Lagi pun, aku dah kering idea nak tulis apa-apa.
 
Bila kesibukan mencengkam
Bila kemalasan membungkam
Bila semangat menjadi semakin hilang
Aku diam.
 
Dalam diam aku terbang
Terbang dalam angan-angan
Terbang dalam bayang-bayang malam
 
Penat terbang
Aku hidupkan enjin kereta BMW 5 series baru aku
Aku meronda-ronda
Tenangkan fikiran.
 
Setelah fikiran menjadi tenang
Aku baru sedar
BMW aku hanyalah mimpi yang belum kesampaian.
 
~d’arkampo.

Thursday, July 15, 2004

Kiranya Kalian Mampu Mendengar Di Ketika Ini...

...

Abah,
Atiqah tahu yang abah tak mampu mendengar suara Atiqah ketika ini. Abah kelihatan sugul dan menahan seribu kesedihan. Abah kelihatan seperti kehilangan semua yang ada di atas dunia ini. Tidak, Abah tidak kehilangan. Abah tak akan kehilangan rahmat Tuhan.

Abah,
Tabahkan hatimu. Kuatkan semangatmu. Atiqah tahu yang Abah telah berusaha keras selama ini demi Atiqah. Demi anak Abah yang sakit ini.Dulu, ketika Atiqah membuka mata untuk melihat dunia,Atiqah lihat cahaya sentiasa muncul disebalik wajah Abah yang bersih. Cahaya itu sudah lama menghilang . Cahaya itu hilang disebalik kuning mata Atiqah. Akhir-akhir ini, Abah seperti sudah hilang semangat. Abah seolah-olah seorang pejuang yang kalah di medan tempur. Abah selalu berkata yang Abah telah tewas dan Abah menyalahkan diri Abah sendiri di atas kekalahan itu.

Abah,
Pada Atiqah, Abah tidak tewas, Abah tidak pernah kalah. Abah adalah pejuang sejati yang menentang setiap halangan yang merintangi jalan.Abah adalah laksamana pujaan Atiqah. Abah sanggup menyonsong maruah memohon bantuan. Abah sanggup menyeberang semua jambatan untuk mengubati Atiqah yang hanya mampu tidur di ranjang. Abah sanggup berjumpa dengan semua orang, baik menteri atau sesiapa sahaja yang lalu lalang.Abah sanggup menentang segala karenah birokrasi walau berat rasa di hati.

Semuanya demi Atiqah. Semuanya demi sayang Abah pada Atiqah.

Atiqah sayang pada Abah dan segala pengorbanan Abah tak mampu Atiqah balas dengan kudrat Atiqah yang senipis kelopak pandan. Abah adalah pejuang yang berani di sudut hati dan Atiqah rindukan kucupan lembut pejuang itu di dahi ini.

Umi,
Kesatlah air jernih yang masih mengalir di pipi Umi. Umi tak berhenti menangis sedari dulu lagi. Dulu, Umi menangis ketika Atiqah menyedut nafas yang pertama tanda Atiqah lahir ke dunia. Tabahkan hati Umi dan gagahkan diri Umi untuk menghadapi hari-hari yang silih berganti.

Umi,
Atiqah tahu sayang Umi sedalam jurang yang tiada kesudahan. Umi sentiasa berada di sisi Atiqah dalam diam dan dalam kesakitan. Belaian lembut jari jemari Umi meredakan setiap pedih peri di ulu hati.

Atiqah rindukan belaian Umi. Atiqah rindukan lembut jari-jari Umi.

Umi tak pernah mengeluh walau Atiqah sentiasa merengek menahan hiris-hiris pedih di dalam hati. Umi sentiasa mengukirkan senyum walau mata Umi bergenang dengan kaca-kaca kasih.Belaian Umi tetap mesra walau perut Atiqah kembung dan bisa.

Umi,
Pengorbanan Umi tiada penghujungnya. Umi tetap mendakap lembut tubuh Atiqah walau wayar-wayar jernih berselirat di tangan dan mulut Atiqah. Atiqah tidak pernah kesejukan walau dingin mencengkam jari. Selembar selimut sentiasa Umi tebarkan selebar kasih Umi dan selembut cahaya mentari pagi.

Buat Pakcik Ahmad Kahiri Al Hadi Md Yusop,
Sejuta terima kasih Atiqah kalungkan atas kesudian Pakcik untuk mendermakan sebahagian hati Pakcik pada Atiqah. Walau Pakcik tidak dibenarkan oleh orang atasan untuk menyumbang, kesudian Pakcik sudah cukup buat Atiqah kenang bahawa hidup Atiqah masih ada yang sayang.

Umi dan Abah,
Redhakanlah pemergian Atiqah. Hadir Atiqah di dunia sementara cuma. Sekadar membilang bilah-bilah ceria dan derita dalam kisah perjalanan Umi dan Abah. Sekadar menyapa sepi dan resah.

Umi dan Abah,
Keringkanlah pipi-pipimu yang suci. Atiqah pergi kali ini tak akan kembali lagi. Semuanya sudah tertulis dan semuanya sudah terlukis. Atiqah cuma anak kecil amanahNya buat seketika walau lelah masih berbekas dan rindu masih terhias.

Umi dan Abah,
Di penghujung masa nanti, tangan-tangan lembut Umi dan Abah akan Atiqah pimpin menyusuri denai harum mewangi. Melangkah bersama ke syurgawi.

Nur Atiqah Najwa Mohd Shariff, 15 bulan menghembuskan nafasnya buat kesekian kalinya di SJMC jam 6.24 pagi, 14hb. Julai, 2004 akibat bengkak hati dan pendarahan teruk akibat Oesophageal Varicose. Sekalung Takziah buat pasangan Mohd Shariff Abd Hamid dan isteri.

Al-Fatihah.

~d’arkampo.

Merangkak Ke Awan Biru (Monolog Dalam Diri)

...

Aku masih di sini.Masih berdiri di sudut ini. Sudut yang dahulunya kegemaran aku untuk bertamu. Di sini aku mampu membilang buih-buih putih yang terdampar di pantai kasih. Di sini aku mampu menghitung setiap gemersik angin bayu yang memupuk lembut liang-liang romaku. Di sini aku punyai segala-galanya. Punya rindu dan punya sendu.

Engkau di sana sudah berlari ke langit. Mendesis bak angin, meluncur umpama ombak. Engkau pantas menyusuri liuk-liuk hidup dan meninggalkan aku yang masih merangkak ke awan.

Siapalah aku untuk bersama menghambat waktu di saat-saat engkau menoleh padaku dari kejauhanmu. Siapalah aku untuk berpaut pada alunan angin yang meluncur laju sedangkan gengaman tanganku tidak sekemas pautanmu.

Dari sudut yang terpinggir ini aku cuma memohon satu.

Aku cuma memohon agar aku masih layak digelar temanmu walau kita dipisahkan dengan jarak yang jauh berpuluh batu.

Biarkan aku di sini. Di sudut yang asing ini. Aku temui sejuta ketenangan dan seribu kebahagiaan yang membelai setiap derap langkahku. Pergilah engkau dengan rentak larianmu yang pantas meninggalkan aku yang termanggu.

Biarlah aku merangkak ke awan biru tatkala engkau berlari jauh ke langit ungu.

*Inilah yang aku rasakan semasa aku memandu kancil baru-baru ini dan sebuah BMW memotong kereta aku dengan tanpa mengambilkira kewujudanku.*

~d’arkampo - "Did you ever see an unhappy horse?
Did you ever see a bird that had the blues?
One reason why birds and horses are not unhappy is because they are not trying to impress other birds and horses."
Dale Carnegie

Wednesday, July 14, 2004

controversy...

....

Aku menerima banyak kritikan dan hentaman semasa mengajar.

Betul, aku silap. Sepatutnya Sejarah Perancis di baca sebagai Joan of Arc yang menunggang kuda yang berbogel.(Tetapi, ada juga sumber-sumber yang mengatakan bahawa kuda itu tidak berbogel kerana ia memakai sejenis kain yang menutup sebahagian besar kuda itu.)

Apa pun, aku menyalahkan cikgu-cikgu sejarah aku dulu sebab menyuruh aku membaca buku Joan of Arc dan Lady Godiva sekaligus.Tentunya aku membaca kisah Lady Godiva berulang-ulang kali sebab aku berminat dengan pengalaman Tom yang mengintai (peeping tom).

Di atas kesilapan besar itu, aku meletakkan jawatan sebagai guru dan akan menyambung Masters dalam bidang sejarah.

Sekian, terima kasih.

~d'arkampo - Aku sibuk banyak kebelakangan ini disamping aku masih mengalami trauma akibat pencabutan gigi geraham aku yang paling menyakitkan dalam sejarah hidup aku maka my tooth of wisdom sudah tiada dan tiada words of wisdom kali ini.

Saturday, July 10, 2004

Mari Belajar Sejarah 2 – The Briton’s Mythology

…

Ya anak-anak, hari ini kita belajar tentang sejarah orang Inggeris. Di katakan dahulu pada sekitar zaman Robin Hood, terdapat seorang Raja yang terkenal dengan kegagahannya dan kebijaksanaannya memerintah negara bernama Camelot. Dia dikatakan telah membunuh 960 orang dengan sebelah tangan (single handedly). Dia juga dikatakan telah berjaya mencabut pedang Excalibur yang tercucuk di dalam batu dengan pertolongan Ahli Sihir yang bernama Merlin (Merlin ini telah disumpah menjadi sebuah hotel 5 bintang sekarang)

Kisah King Arthur tidak layak dikisahkan tanpa menyebut hulubalang-hulubalang gagah beraninya yang selalu lepak di meja bulat dan tak buat kerja.Makan gaji buta macam korang (Knights around the Round Table).

Di dalam epik Inggeris itu, terdapat juga kisah-kisah tentang cinta bersegi-segi di mana Lady Guinevere iaitu Permaisuri kepada King Arthur telah diceritakan sebagai menjalinkan hubungan dengan Sir Lancelot iaitu hulubalang gas yang amat berani, terror dan terrorist. Sir Lancelot amat disayangi oleh King Arthur. Berbagai-bagai versi tentang ending kisah cinta tersebut telah dikisahkan dan diceritakan.

Aku tak kisah tentang ending itu. (Bukan Andeng lah..itu Akademi Fantasia..)

Apa yang menarik bagi aku adalah perbandingan antara epik Inggeris ini dengan epik Greek yang telah aku ajarkan sebelum ini. Cuba renung dan fikirkan.

Kedua-duanya mengisahkan tentang isteri orang yang jatuh cinta dengan orang yang lain. Kisah orang lain yang bercinta dengan isteri orang. Sama.Serupa.

Apa, dah tak ada orang lain?

Cuba kita bandingkan pula dengan epik Melayu kita. Lagenda Mahsuri. Kisah kita lebih klasik kerana Mahsuri tetap mempertahankan dirinya dari digoda oleh Deramang kerana dia sebenarnya sudah bersuamikan kepada Kelana dan setia padanya.

Rujuk kepada Hikayat Hang Tuah, di mana dia tidak menggoda dan berhubungan sulit dengan Tun Teja walaupun Tun Teja sudah jatuh cinta dengan Hang Tuah ketika Hang Tuah melarikan beliau.

Jadi, apa yang kita belajar hari ini anak-anak? Baiklah moral cerita sejarah kita hari ini adalah :-

1. Orang Lelaki Melayu adalah hensem dan kacak sehingga tidak tergoda dengan pujuk rayu orang lain.
2. Orang Lelaki Melayu adalah hodoh, yang goda tu pun hodoh jugak.
3. Orang Perempuan Melayu kita berhemah dan berakhlak tinggi jika dibandingkan dengan Joan of Arc yang sanggup berbogel di atas kuda (itu Sejarah Perancis yang akan saya ajar esok).
4. Orang Perempuan Melayu kita cantik-cantik belaka di zaman dahulu.
5. Orang kita masih kuat berpegang pada tali agama dan adat resam Melayu.

Sila buat soalan ini sebagai homework :

Adakah orang Melayu kita sekarang ini masih berakhlak tinggi seperti lagenda dan epik Melayu dulu-dulu?

~ Cikgu d’arkampo - “Behavior is a mirror in which every one displays his image.”
Johann Wolfgang Von Goethe

Thursday, July 08, 2004

Mari Belajar Sejarah - The Greek Mythology

...

Disebabkan Greece telah memenangi EURO 2004 maka aku menyaksikan cerita Troy yang dibintangi oleh Brad Pitt. Walaupun ceritanya tidaklah sehebat mana tetapi aku suka menontonnya. Sebab utama adalah ia mengisahkan tentang sejarah dan dongengan. Aku bukanlah peminat Brad Pitt. Aku sebenarnya lebih menyukai Brad Pitt dalam cerita The Sleepers atau Legend Of The Falls.Aku adalah peminat sejarah baik sejarah anak watan atau sejarah orang luar.

As the saying goes..A face could launch a thousand ships. Itulah Helen of Troy atau sebelum di larikan oleh Paris, dia adalah Helen of Sparta isteri kepada Menelaus. Dongengan tentang kegagahan Hector dan Achilles.Dongengan tentang The Wooden Horse dan berselang seli dengan dewa-dewa seperti Appolo dan Zeus. Dongengan tentang Raja-Raja yang zalim dan ganas seperti Menelaus dan Odysseus.

Hero dalam kisah ini adalah Achilles iaitu anak kepada Peleus dan Thetis (Dewa Laut). Achilles adalah immortal kecuali bahagian buku lalinya kerana semasa kecil, Thetis telah menyalaikan anaknya di dalam api supaya jadi immortal. Thetis memegang bahagian buku lalinya jadi buku lalinya sudah tidak menjadi kebal.Kota Troy atau sekarang adalah Turki telah terbakar hangus di dalam Trojan War yang berlangsung selama 9 tahun sekitar 1200 B.C.

Kalau nak anak-anak jadi kuat, salailah mereka dalam api.

Berikut adalah nama-nama cadangan pada anak-anak yang bakal dilahirkan kelak :-

Odysseus, son of Laertes; Diomedes, son of Tydeus; Antilochus, son of Nestor; Agapenor, son of Ancaeus; Sthenelus, son of Capaneus; Amphimachus, son of Cteatus; Thalpius, son of Eurytus; Meges, son of Phyleus; Amphilochus, son of Amphiaraus; Menestheus, son of Peteos; Schedius and Epistrophus, sons of Iphitus; Polyxenus, son of Agasthenes; Peneleus, son of Hippalcimus; Leitus, son of Alector; Ajax, son of Oileus; Ascalaphus and Ialmenus, sons of Ares; Elephenor, son of Chalcodon; Eumelus, son of Admetus; Polypoetes, son of Peirithous; Leonteus, son of Coronus; Podaleirius and Machaon, sons of Asclepius; Philoctetes, son of Poeas; Eurypylus, son of Euaemon; Protesilaus and Podarces, sons of Iphiclus; Menelaus, son of Pleisthenes (or Atreus); Ajax and Teucer, sons of Telamon; Patroclus, son of Menoetius; and Idomeneus, son of Deucalion.

Nama Hermoine seperti mana dalam cerita Harry Potter adalah nama anak kepada Helen of Troy.

Kepada sesiapa yang sudah menonton cerita tersebut, Trojan War diakhiri dengan pembunuhan Polyxena, anak kepada Priam (Raja Troy) dan Astynax, anak Hector di makam Achilles sebagai perlambangan bahawa perang telah tamat.

Aku berminat juga untuk menonton cerita King Arthur dengan dongeng-dongeng Lancelot, Guinevere, Camelot dan Gallahad.

Life Is A Fairytale....

~d’arkampo – ‘Let them say that I live in the time of Hector, Let them say that I live in the time of Achilles – Scene : last, take :1, taken from the movie : Troy.

Monday, July 05, 2004

Biarkan Hidupku Putih Bersih - Bahagian 2

...

Dengan langkah yang longlai dia keluar dari bilik mesyuarat dan menuju ke bilik stor di mana dia menyimpan segala peralatan mencuci. Langkah-langkahnya kali ini mendapat renungan daripada semua kakitangan . Renungan benci dan meluat. Puan Hayati berdiri tercegat sambil bercekak pinggang dan berpaling ke belakang.

‘Akulah makhluk yang paling hina pada mata kalian. Tuhan, tunjukkanlah kebenaran…’ doa kudus yang terpancul dari hati kecil Kak Jah.

Dia masuk ke bilik stor, mengemaskan barang-barangnya dan menyusun segala peralatan. Dia keluar pejabat tanpa berpaling lagi. Hatinya remuk dan perasaannya terkunci. Wajah anak-anak menjadi kekuatan untuk dia melangkah pulang.

Dia menyusur kedai-kedai di tepi jalan dan terus melangkah masuk ke dalam kedai alatulis. Anak bungsunya telah berpesan supaya dia membelikan pensil warna. Dia tidak sanggup menghampakan anaknya. Wangnya cuma ada dua ratus ringgit sebagai bekalan untuk makan dan belanja sekolah anak-anak sebelum dia mendapatkan pekerjaan lain yang entah bila akan diperolehinya.

Dia membeli sekotak pensil warna dan dimasukkannya di dalam beg tangannya. Pensil warna anaknya yang lama sudah terlalu pendek untuk digunakan dan anaknya selalu mendapat tempat di dalam pertandingan mewarna yang dimasukinya. Darah seni dari arwah ayahnya mengalir dalam urat anak bungsunya.

Sementara itu, di pejabat tadi kelihatan beberapa orang kakitangan sedang mengerumuni Puan Hayati.

‘Aku benci betullah pada orang yang tak nak mengaku, itu cincin kahwin aku tu. Dia ingat senang ke aku nak dapat. Laki aku beli kat Habib Jewels, dah tak ada design tu sekarang.’ Puan Hayati mengomel pada teman-temannya yang berdiri di sekelilingnya.

Puan Hayati mengemaskan fail-fail yang terdapat di atas mejanya sambil mulutnya becok memaki hamun Kak Jah. Teman-temannya hanya mendengar sahaja sambil menyabarkannya.

Tiba-tiba, dari celah-celah fail yang sedang diangkat oleh Puan Hayati untuk disusun, satu benda bulat berwarna keemasan jatuh ke atas meja dan bergolek sebelum terus berhenti. Tidak bergerak.

Semua diam melihatkan sebentuk cincin yang tiba-tiba muncul di hadapan mereka.Semuanya saling berpandangan. Muka Puan Hayati berubah menjadi merah padam.

Masing-masing membisu seribu bahasa. Tuhan telah menunjukkan sekelumit KuasaNya.

‘Kak Jah…’ terpancul keluar dari mulut Puan Hayati yang tadinya begitu berbisa.

Tanpa banyak bicara Puan Hayati terus meluru keluar dari pejabat dan berharap agar dia dapat mencari Kak Jah. Apabila dia turun ke bawah,dia terpandang kelibat seorang wanita sedang berkira-kira hendak melintas jalan dari kejauhan.

“KAK JAHHH…!!’ laung Puan Hayati.

Kak Jah yang baru hendak melangkah untuk melintas jalan tiba-tiba terhenti dan mencari arah suara yang memanggil namanya.

Kak Jah melihat ke arah Puan Hayati dan pada ketika itulah sebuah motosikal meluncur deras ke arah Kak Jah dan membrek di hadapannya. Pembonceng motosikal itu kemudiannya menolak Kak Jah ke atas jalan tar dan cuba meragut beg tangannya. Kak Jah berpaut kemas pada beg tangannya. Wang belanjanya ada di situ, pensil warna anaknya juga ada di situ. Dia tak akan melepaskannya walau apa pun berlaku. Motosikal itu mula bergerak dan Kak Jah terus berpaut kemas walaupun dia sudah terbaring di atas jalanraya.

Puan Hayati menjerit ketakutan dan panik dengan apa yang disaksikannya.

Dengan satu tendangan ke arah muka Kak Jah oleh pembonceng motosikal tersebut, Kak Jah rebah dan kepalanya terhantuk ke atas tar yang berbahang. Beg tangannya putus dan terkoyak. Darah pekat tersimbah dan mengalir di atas jalan.

Suasana menjadi sepi dan kelihatan beberapa orang berlari ke arah Kak Jah termasuk seorang pemuda tinggi lampai berkulit gelap yang keluar dari kereta Peugeot 206 berwarna hijau pucuk pisang cuba untuk membantu. Tiada apa yang dapat mereka lakukan lagi.

Kak Jah sudah pulang.

‘Kak Jahhh….’ Suara Puan Hayati sudah tersekat di kerongkongnya. Dia masih berdiri di situ. Tergamam.

Kelihatan pensil-pensil warna yang masih baru bertaburan di atas jalan. Pensil warna yang bakal melakarkan warna-warna kegelapan pada anak-anak Kak Jah dan melakarkan sejuta sesalan pada Puan Hayati.Warna-warna kehidupan yang kejam dan tiada peri kemanusiaan.

Kak Jah pulang meninggalkan hidupnya yang putih bersih.

Cubalah ukir sekelumit senyuman pada kakak-kakak yang mencuci pejabat anda. Anda tak akan kurang walau satu sen sekalipun dengan senyuman itu. Mereka juga manusia, punya hati dan punya cita-cita.Di mana kurangnya kita, di situ lebihnya mereka.

~d’arkampo. - "The problem with people is that they're only human."
Bill Watterson, Calvin and Hobbes

Biarkan Hidupku Putih Bersih

…

‘tok… tok… tok….’

Dia mengetuk pintu bilik Pengarah Urusan berulang kali.

Tiada jawapan.

Senyap dan sunyi.

Dia terus memulas tombol dan menguakkan pintu sambil terus masuk. Selangkah dia masuk dan mengangkat mukanya. Langkahnya terhenti. Jantungnya berhenti berdegup beberapa ketika.

‘Hey !!..awak ni tak reti bahasa ke hah!!..tak nampak saya tengah sibuk ni…Keluar! Keluar!’

‘maaf Tuan..’ Dia kembali menutup pintu dan melangkah menjauhi pintu kayu bervarnis yang tebal dan keras itu.

Dia sudah terlalu biasa dan lali dengan ungkapan sedemikian. Bagi orang lain mungkin itu adalah sebuah makian dan cacian. Bagi dia, itu hanyalah satu suara lunak merdu berbanding dengan kata-kata kenyataan hidupnya.

Imej Pengarah Urusan dan setiausahanya yang sedang mengambil nota arahan sambil menyandar rapat ke kerusi Pengarah segera dilupakan. Itu tidak penting.Itu hanyalah imej-imej kabur yang tak perlu direkodkan ke dalam kotak memorinya.Apa yang dia perlu tahu hanyalah kerja-kerja yang perlu disiapkan sebelum supervisornya mengamuk dan naik darah dengan komplen-komplen yang di terimanya dari pihak Syarikat yang memberi kontrak kepada syarikat majikan beliau bekerja.

Kot kerja labuh berwarna biru yang dipakainya sudah kelihatan lusuh dan dia berjalan di tengah-tengah barisan kakitangan-kakitangan syarikat yang sedang sibuk bekerja serta mengadap komputer masing-masing. Semuanya tidak memperdulikannya. Semuanya tidak mengendahkannya. Kehadirannya hanyalah seperti angin. Dirasai hembusan tetapi tidak kelihatan pada pandangan.

Dia tidak memperdulikan semua itu. Dia tidak mengharapkan sebarang perhatian. Dia bekerja demi menanggung perut-perut yang lapar menantikan kepulangannya petang nanti. Maruah tidak ada lagi dalam kamus hidupnya. Maruah hanya ada pada wajah-wajah anak-anaknya.

Semenjak kematian suaminya 5 tahun yang lalu, dialah satu-satunya tiang seri yang menjadi paksi kepada rumah tangganya.Satu-satunya mimpi buat anak-anaknya.

Dia mendengar namanya dipanggil. Suara yang sudah tidak asing baginya.

‘Kak Jah masuk ke bilik mesyuarat sekejap..’ kata Harun yang sudah 3 tahun menjadi penyelianya.

Dengan botol penyembur di tangan kanannya dan kain buruk di tangan kirinya dia bergegas ke bilik mesyuarat tanpa banyak soal. Dia seorang yang patuh pada setiap arahan.

Apabila dia melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat, kelihatan beberapa orang kakitangan wanita pejabat tersebut. Semuanya memandang tajam padanya. Dia menjadi gelisah apabila menjadi titik tumpu perhatian mereka.

‘Duduk Kak Jah…’ kata Harun yang mengekorinya sedari tadi.

Kak Jah terus duduk di kerusi empuk milik Syarikat tersebut dan fikirannya bercelaru dan berkecamuk.

‘Apa yang sudah aku buat..? Apa salah aku?’ bisik hati Kak Jah.

Selama ini dia tidak pernah dipedulikan. Setiap langkahnya tidak pernah mengundang perhatian. Kini, dia menjadi titik fokus kepada semua mata yang memandang.

‘Kak Jah…saya menerima aduan yang cincin Puan Hayati telah hilang semasa rehat tengahari tadi.Kak Jah ada nampak?’ tanya Harun dengan nada yang lembut kerana dia sudah mengenali Kak Jah selama 3 tahun dan dia sudah kenal dengan hati budi Kak Jah.

Dia tergamam dengan soalan dari Encik Harun dan dia sudah dapat menangkap tujuan dia di panggil ke bilik tersebut.

‘Tak ada..’ kata Kak Jah seakan berbisik.

‘BOHONG !..’Kata Puan Hayati yang bagaikan halilintar memecah gegendang telinganya.

‘Tadi semua orang keluar , tinggal engkau seorang saja dalam ofis ni. Siapa lagi kalau bukan engkau yang ambil hah!’ Kata-kata Puan Hayati yang diiringi dengan anggukan daripada rakan sekerjanya itu menusuk tajam ke dalam jiwa dan perasaan Kak Jah.

‘Betul Puan, saya tak ambil..’ kata Kak jah seakan merayu.

“Sudah lah, mengaku aje lah..bukan aku tak tahu yang engkau selalu merenung cincin aku masa engkau buat kerja. Itu cincin kahwin aku tahu tak..!’ Puan Hayati seakan-akan hilang akal dan menyumpah seranah pada Kak Jah yang diam tertunduk di kerusinya.

‘Dasar perempuan cuci..semua harta benda nak disapunya…bagi makan kat anak-anak duit haram..’ ujar Puan Hayati sambil mencebik bibirnya.

Pandangan Kak Jah seakan-akan kelam. Dia memandang dalam gelap dan gelita. Dia tidak mempunyai kata-kata untuk menyanggah setiap kata-kata cabul yang keluar dari mulut Puan Hayati.Dia hanya mendiamkan diri dan tiba-tiba dia merasakan ada air panas mengalir di kedua belah pipinya.

‘Kalau engkau nak cincin tu sangat ..engkau ambik …tak nak mengaku sudah, tapi aku tak halalkan dunia akhirat.’

‘Harun, engkau pastikan dia ni tak buat kerja lagi di pejabat ini. Faham!’ bentak Puan Hayati kepada Harun. Satu arahan yang keras dan jelas.

Puan Hayati melangkah keluar dari bilik mesyuarat dengan langkahan yang geram sambil diiringi oleh teman-temannya.

Harun memandang sayu pada Kak Jah dan mengeluarkan dompetnya. Dia mengeluarkan beberapa ratus ringgit.

‘Kak Jah, walaupun saya tak percaya yang Kak Jah buat benda-benda tu semua tapi saya kena jaga nama syarikat. Saya tak mahu nanti syarikat dibatalkan kontrak disebabkan oleh perkara kecil yang tak tahu hujung pangkalnya. Ini gaji Kak Jah bulan ni…’ Kata Harun kepada Kak Jah.

Kata-kata yang bagaikan petir pada Kak Jah. Dia tahu yang dia sudah diberhentikan. Dia sudah kehilangan punca pendapatan buat menanggung anak-anaknya.Anak-anaknya perlu ke sekolah, perlu makan dan perlu wang. Baru pagi tadi anak bungsunya meminta Kak Jah membelikan pensil warna untuk pertandingan mewarna di sekolah.

Titis-titis air jernih jatuh menitis di atas meja mesyuarat.

Bersambung dan bergantung pada mood aku yang turun naik kebelakangan ini...

~d'arkampo.- "Always be nice to people on the way up;because you'll meet the same people on the way down."
Wilson Mizner