26.7.2007
8.15 pagi.Bertolak dari pejabat. Sebuah bas ekpress dan tiga buah kereta. Dimulakan dengan doa minta diberkati perjalanan olehNya.
“perjalanan ini, terasa sangat menyedihkan…sayang engkau tak duduk disampingku kawan..” – Ebiet G. Ade bernyanyi-nyanyi di dalam kereta.
3.30 petang. Tiba ke kemuncak. Masuk parking, tolak handbrake dan tekan-tekan brake…terus sampai ke lantai, tak ada sangkut-sangkut.Aku sangkakan brake aku panas.Intai di celah-celah tayar, minyak hitam berkubang. Sah, hos brake kereta aku bocor.Tak makan langsung.
Nasib baik sudah sampai ke tempat parking.Kalau kena masa naik tadi? Atau, kalau kena masuk turun nanti? Camana?. Syukur.Anak-anak sudah meloncat-loncat. Bapaknya pulak mengucap-ngucap.Alhamdulillah, Tuhan telah selamatkan dan rahmatkan kami sekeluarga.
Minta tolong dengan sorang Polis Bantuan, Alhamdulillah.Rupanya kat atas puncak ini ada bengkel. Dua mamat Melayu datang naik kereta.Ramah.
“Bang…kena bawak pegi bengkel la Bang..”
Okay..tapi kau bawak. Aku tak berani!.
“No problem bang..punggah dulu barang-barang naik bilik.”
Rombongan yang naik bas ekspress tiba di lobi Hotel.Isteri aku Check-In, aku ke bengkel.
“Hyundai maa? Kita tadak stock woo..kena tunggu order angkat naik..Bila mau balik?” - Tokei.
Lusa.
“Esok petang aaa lu angkat, boleh siap maa”
Ok.
Mamat Melayu tadi hantar aku balik ke Lobi Hotel.Aku lupa tanya nama dia.Dia bawa kereta naik di jalan melingkar-lingkar macam pejam mata. Mungkin dia dah terlalu biasa.
“sejak bila dok sini?” aku tanya.
“Sejak tahun '86 bang..jumpa bini pun kat sini bang…dah beranak pinak di sini”
oooo
Aku uruskan serba sedikit ahli rombongan yang masih check-in.Selesai.Aku ke bilik.Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala disumbatkan di bawah pintu. Disumbatkan dari luar.
Petang kami sekeluarga mencari keseronokan.Inikan Kota keriangan.
Ahli-ahli rombongan membawa diri masing-masing. Berbungkus. Sejuk!.
Lewat petang balik semula ke bilik.
Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala bergulung disumbatkan di bawah pintu. Disumbatkan dari luar.
Malamnya, sebagaimana rancangan.Kami makan malam di Café Hotel seberang jalan. Jam 7.30 petang sudah bersusun-susun kami masuk. Silap timing. Ramai orang, aku lupa yang kaum Cina makan malamnya awal.Tak pe, untuk malam esok, kita turun jam 8.00.
Usai makan malam, kami berjalan-jalan lagi.Mencari keriangan.
Masuk ke Rumah Salji atau sebenarnya bilik Freezer terbesar dalam negara.Anak-anak berguling, berlari meloncat dalam ‘salji’. Sikecil sudah hampir biru bibirnya tapi masih mahu berdukung dalam air batu. Aku peluk kemas, berkongsi sedikit haba dan duduk di atas bangku sambil gambar di ambil. Duduk pun terasa sejuk sekali, maklumlah poket semakin nipis.Tak mengapa, asal anak-anak gembira. Nak di bawa ke London, tak ada daya upaya lagi. Setakat ini.
10.00 malam. Kami pulang ke bilik.
Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala putih bergulung disumbatkan di bawah pintu.
Kami tidur lena dalam gebar tebal dan kabus di luar menusuk masuk ke dalam bilik kami dari jendela yang sedikit terbuka. Pendingin hawa semulajadi.
Pagi esok. Makan pagi di dalam bilik sahaja. Sengaja membawa bekal dari rumah. Makanan di kota ini sangat mahal! Berkali ganda bezanya. Mungkin, mengikut kadar ketinggian kaki dari aras laut. Mungkin.

10.30 pagi. 27.7.2007. Masuk ke dalam taman tema. Bersuka ria.Mesin-mesin berputar berpusing tak ingat dunia.Terjerit terpekik di mana-mana. Aku sekadar naik cawan berputar sahaja, temankan anak-anak bergembira.

Merasa naik kereta kabel yang sayup bergantungan.Turun dan naik semula. Sekadar melihat bumi Tuhan yang terbentang indah dan gayat yang bagai disiat-siat.
Mendiang Loga bernyanyi-nyanyi di dalam benak aku. “kehijauan, di saput awan, kau dan aku …dingin bayu membuat aku.. cuba merayu.Senyuman manis mu menggoda sukma…Di tasik biru.Seandainya kau rasa sayang…Katakanlah! usah diragu.Bagi ku bintang bergemerlapan…Tak seindah sinar mata mu.Untuk mu matahari… ku jadikan hantaran…Kasih ku pada mu.”

Lagu Rayuan Di Puncak Genting – Alleycats.
Petang. Hujan selebat-lebatnya. Sejuk menggigit sehingga ke hujung telinga.Aku balik ke bilik buat seketika, jamak dan qasarkan solat.
Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala putih bergulung disumbatkan di bawah pintu.
Lewat petangnya, kabus tebal memenuhi ruang dan meluapkan cermin-cermin kaca.

Anak-anak dan isteri masih di dalam. Masih melayan keriangan.
Aku menerima panggilan, mamat melayu yang aku lupa tanyakan namanya sudah menunggu. Aku bergegas ke Lobi Hotel semula. Terus ke bengkel.
“Dua latus lima puluh sajaa…ologinal maaa. Minyak brek wa sudah tambah woo..kena kasi buang angin dalam hos maa..itu hos oliginal, satu latus lebey woo.”
Tak bleh kurang?
“Ologinal maaa..”
Terbang dua ratus lima puluh di celah-celah kabus dingin.
Balik semula ke tempat anak-anak.
Menghampiri malam, kami balik ke bilik untuk bersiap ke makan malam di tempat semalam.Harapnya sudah kurang orang.
Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala disumbatkan di bawah pintu.
Kami keluar jam delapan.
Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala disumbatkan di bawah pintu.
Selepas makan, berjalan-jalan mengambil angin dingin sambil melihat panorama kotaraya Kuala Lumpur dari kejauhan dan neon-neon berkelipan bagai sebuah taman larangan.
Mendamaikan.
Jam menghampiri 10 malam dan anak-anak sudah keletihan.Letih dalam keriangan.Letih mengumpul kenangan.
Kami balik ke bilik.
Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala disumbatkan di bawah pintu.
Aku keluar jam 11.30 malam untuk turun berbincang dengan rakan-rakan pengurusan di kedai kopi dalam lobi hotel yang segelas kopinya bersamaan kopi untuk enam orang di warung depan pejabat aku. Tak apa, inikan kota keriangan.
Jam satu pagi. Aku mengheret kaki yang letih naik ke bilik.
Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala disumbatkatkan di bawah pintu.
Malam itu, kami tidur lena dalam gebar tebal berbungkus dan kabus di luar menusuk masuk ke dalam bilik kami dari jendela yang sedikit terbuka.
28.7.2007
Besoknya, rombongan bas pulang jam 10.30 pagi bertolak pulang menaiki kereta kabel dan bas menunggul mengikut rancangan jam 12.00 tengahari. Kami masuk semula ke taman tema sebab semalam, hujan. Tak sempat ke tempat Dinosaur.Tak apalah, asalkan anak-anak dapat mengumpul pengalaman.

Duduk di atas bot mengelilingi taman binatang pra-sejarah terasa nipis sekali.
Aku dan keluarga balik semula ke bilik untuk mengemas dan untuk check out jam dua belas.
Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala disumbatkan di bawah pintu.
Kami bertolak selepas makan di Keriangan Bewarna Coklat (Merrybrown) jam 1.00 petang.
Menyusuri jalan berlingkar mengelilingi gunung dengan brek yang sudah mahu makan.Alhamdulillah.
Di pertengahan jalan pulang, kami singgah di Kuala Gandah, Pahang dan jam sudah sekitar 2.30 petang. Masuk ke Taman Pehilitan Pahang khas untuk memulihara Gajah (Elephant’s Sanctuary- Conservation Centre) dan baju kami ditampalkan dengan pelekat merah, gred B yang tertulis “tidak dibenarkan menaiki Gajah atau Mandi bersama Gajah”.
Hampa.
Selepas memberi makan gajah dengan pisang, tebu dan tembikai yang dihiris kecil dan setelah anak-anak aku ditegur supaya mengambil makanan HANYA dari dalam bakul plastik di depan (anak aku ambil dari bakul di belakang yang mungkin mereka khaskan untuk makan malam…mungkin).
Setelah membeli sehelai seorang t-shirt gajah. Kami bertolak pulang.

Tiba dengan selamat di rumah 10.00 malam. Keletihan.Alhamdulillah dan syukur kepadaNya yang memberkati perjalanan kami dan dihindarkan dari sebarang petaka malang.
Besoknya, tidur kami terbabas dan anak-anak tidak ke sekolah.
Petangnya, aku masuk ke pejabat dan baru aku tahu tentang bilik yang tergantung ‘Do Not Disturb’ dan terdapat tuala putih bergulung di bawah pintu disumbatkan ke dalam rupanya bilik ‘keras’ setelah ditanya kepada pekerja ‘house keeping’ yang sedang membersihkan bilik oleh salah seorang kakitangan aku yang anak kecilnya melalak sepanjang malam.
Dan ada juga terdengar jerit pekik seperti orang yang sedang naik ‘roller-coaster’ jam 2 atau 3 pagi dari arah Taman Tema.
Huh?
~Po.

