
...
Aku asalnya sudah tidak mahu menulis cerita-cerita sebegini, tetapi aku terasa kehilangan dan aku harap dengan luahan ini, aku akan merasa lebih tenang.Suatu hari Sabtu, di minggu lepas.
Pagi, isteri memanggil supaya aku menukarkan tabung gas memasak yang sudah habis. Kami mempunyai tabung gas masak simpanan kerana kami malas untuk menunggu tabung gas dihantar ke rumah dan masa akan terbuang walaupun Haji Zaid atau ‘Haji’ sahaja aku memanggilnya, kalau aku menelefon; dia akan segera datang membawa tong gas masak di atas bonceng motornya. Biasanya, tak sampai sepuluh minit pun.
Aku mengambil tabung gas simpanan dari dalam stor dan menukarkannya dengan tabung yang sudah kehabisan di bawah kabinet dapur.
Aku meletakkan tabung gas yang kosong ke atas troli kecilnya dan menolak ke ruang beranda di depan.
Hajat hati aku, untuk menelefon Haji Zaid dan menukarkannya dengan tabung yang baru. Tak perlu tunggu sehingga kedua-dua tabung kehabisan. Hajat aku tangguhkan.
Tabung gas yang kosong itu aku tinggalkan di beranda.
Sabtu, aku menghantar anak-anak ke tuisyen dan menjemput mereka pulang jam 5.20 petang.
Balik dari mengambil anak-anak, aku mengajak mereka berjogging di kawasan tasik buatan berhadapan dengan Stadium Sultan Mizan.
Tabung gas itu, aku biarkan di situ. Hajatnya; untuk menelefon Haji Zaid selepas pulang dari jogging pada petang yang redup itu.
Pulang dari jogging, seorang jiran datang singgah sekadar berbual-bual mengenai perkembangan hidup sehari-harian. Dia melihat tong gas yang kaku di atas trolinya di sudut beranda rumah.
Sembang-sembang.
Jiran tadi kembali melihat kepada tabung gas tersebut dan berkata.
‘dah tak ada yang nak hantar tong gas ke rumah kita…’
Aku macam terkejut. ‘huh?’
‘laa..tak dengar berita ke? Haji Zaid sudah meninggal lebih kurang sebulan lepas?..’
Aku macam hendak terduduk.
…
Aku tak pernah berjumpa dengan seorang manusia sebaik Haji Zaid ini. Apabila ada panggilan akan kehabisan gas untuk memasak, dia akan bersegera menghantarnya. Menurut jiran aku tadi, dia pernah menelefon pada waktu sahur di bulan Ramadhan dan Haji Zaid menghantarnya tanpa banyak bicara, malah meminta maaf kalau-kalau dia terlewat hantar!. Bimbangnya dia kalau-kalau orang yang memesan tabung gasnya tak sempat memasak.
Mulianya hati insan yang bernama Haji Zaid ini.Kuntuman senyum tidak pernah luntur dari wajah bersihnya.
Hantarlah di mana sahaja. Harga tabung gasnya tetap sama dan tiada caj tambahan untuk hantaran. Tenaganya dan minyak motornya adalah percuma. Dia melakukannya dengan ikhlas.Aku, kadang-kadang tidak mengambil wang baki kerana kasihan melihat tenaga yang dikeluarkannya.
Bila sampai sahaja ke rumah pelanggan-pelanggan tabung gas masaknya, dia akan bertanyakan soalan yang lazim beliau tanyakan...
“dang massok dok agi?" (sempat masak ke belum?)
suara halus dan penuh tertib Haji Zaid seolah-olah memberitahu…anda sudah boleh memasak demi hidup anak dan isteri.
Seluruh kawasan perumahan aku teramat menghargai pertanyaan lazim beliau itu.
…
Kadang-kadang, seolah-olah aku dapat melihat dia di atas jalan dengan motosikalnya membawa tong gas menuju ke rumah pelanggannya.
…dan aku akan membunyikan hon pendek sebelum memotong motosikalnya sambil mengangkat tangan.
Haji Zaid akan tersenyum dan membalas angkat tangan.
…
Manusia semulia dan seikhlas Haji Zaid yang berjihad dengan caranya tersendiri. Seorang manusia kecil yang amat besar hati dan jiwanya.
…
Aku menolak semula tabung gas yang sudah kosong masuk ke dalam rumah dan aku tinggalkannya di satu sudut stor sambil aku membacakan Surah Al-Fatihah buat Allahyarham Haji Zaid. Semoga rohnya bersemadi dengan aman dan dicucuri oleh RahmatNya.
Haji Zaid masih tersenyum di atas motosikalnya sambil mengangkat tangan ketika aku memotongnya. Seolah-olah aku terdengar dia berbisik lagi.
“dang massok dok agi?”
Al-Fatihah.~Po. –
Allahyarham Haji Zaid meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya dengan motosikalnya ketika pulang dari masjid kira-kira sebulan yang lalu.
Semalam, aku melayan kehendak anak-anak yang mahu melewati rumah kedai arwah kerana mereka juga seolah-olah tidak percaya yang 'Pakcik Gas' mereka itu sudah pergi meninggalkan dunia...