Thursday, June 28, 2007

Selumbar



…

Kadang-kala, aku terasa seperti ingin menulis
Tentang hidup yang terguris
Tentang garis-garis
Yang terpisah antara luka dan pedih

Cuma, aku tak punyai kata-kata
Untuk aku melukiskan cerita
Lantas ia berlalu, laju
sederas waktu

Kadang-kala, aku terasa seperti ingin menyanyi
Lagu-lagu tentang sunyi
Tentang sepi yang bersarang di danau hati

Cuma, aku tak punyai melodi
Untuk aku melagukan puisi
Lantas nyanyian aku, sirna pergi bersama pelangi

Kadang-kala, aku seakan mahu menangis lagi
Tatkala terjaga dari mimpi-mimpi ngeri
Dunia yang penuh dengan tragedi
Hidup yang seakan-akan tak punyai erti

Cuma, aku tak lagi punyai air mata
Untuk dirembeskan setiap detik dan ketika
Lantas tangisan aku, melemaskan sisa-sisa rasa

Kadang-kala, aku seperti mahu bercerita
Tentang bahagia
Tentang saat-saat gembira
Dalam menyusur perjalanan yang sementara

Cuma, aku tak punyai pendengarnya
Bila semua saling mendabik dada
Bahawa mereka sahaja yang mampu mengecap nikmat dunia

Dan aku hanya seorang penglipur lara

Bagai selumbar
Tidak terasa ngilunya
Tidak terlihat hujungnya
Tapi ianya tetap berbisa
Menusuk jiwa

…dan aku masih tidak tahu bagaimana
untuk menyatakannya.

~Po.

Sunday, June 24, 2007

One Promise You Will Keep

...



...

"Nanti bila mak balik, mak bawa biskut banyak-banyak..adik jangan nangis ya.."

...

One promise.

A promise made 61 years ago.

Sixty one years ago to a five years old child.

...

Would you still be there?

...


Berita Minggu 24hb. Jun, 2007.
...

Reminds me of not to make promises that I couldn't keep.
Even, to a five years old.

...

Would she still be there...running towards me, smiling, laughing, once I opened the door..when i arrive home, after work?

"Bah..mana epal merah..Abah janji nak beli..malam tadi?"

The night before, trying to make her sleep, lying next to her, rubbing her back with her eyes shut.

She remembers...

yes, she remembered.

..and how can you possibly forget the frustrated face when you told her..

"aaaa..Abah lupa aaaa...."

~Po. ~ another personal entry and i bought her red apples on the next day...and i will not forget that smile.Never.

Thursday, June 14, 2007

HAPPY FATHER'S DAY...to me.

...

Yah...

Malam tadi, saya terima dua keping kad dan sekotak kecil hadiah (yang dibeli oleh menantu ayah) dari cucu-cucu ayah yang berbaris di ruang tamu.

Mereka malu-malu yah...



Sekurang-kurangnya yah..mereka tidaklah semalu saya mencurah rasa di suatu ketika.

Saya membuka dan membaca kad.Saya tersentuh yah...(dan mungkin saya harus membayar denda RM 50 itu yah..).



Mereka menulisnya sendiri yah. Dari hati. Dari rasa yang pasti.

Kalau saya mampu memutarkan masa, membalikkan ketika.

Saya akan tulis kad yang sama..ketika ayah masih ada.Ketika ayah masih hidup dan bernyawa.

Saya mahu ayah tahu...yang saya sayangkan ayah. Seperti mana cucu-cucu ayah ini sayangkan anak ayah.

Saya memeluk mereka sehangat-hangatnya.Kerana dulu, saya tidak berpeluang memeluk dan dipeluk oleh Ayah.Saya mahu mereka tahu yah...anak ayah ini terlalu sayangkan cucu-cucu ayah itu.Tidak terbanding.

Bagai hidup hilang ertinya jika mereka tiada di samping.

Di Hari Bapa ini yah..saya hadiahkan ayah sekalung Al-Fatihah.

Semahal-mahal hadiah.

Moga roh ayah tenang di sana.Moga kita berjumpa lagi di hari perhimpunan nanti.

Anakmu,

~Po.

Tuesday, June 05, 2007

Alleycats..sebuah dedikasi.

...

“eh..u tau tak? Loga Alleycats passed away this morning.”

Partner aku interkom. Semalam.

“oh..ye?” Aku.

“ha’ah..lung cancer”

“ooo ok.”

Malam tadi, menerusi berita utama aku melihat liputan tentang Mendiang Loga.

Kotak-kotak memori aku terlerai. Satu demi satu.

Alleycats.Tiada apa lagi yang mahu diperkatakan. Aku membesar dengan iramanya, lagu-lagunya, lirik-lirik puitisnya dan imej rambut afro penyanyinya.

Seingat aku, ketika kotak memori aku mula belajar menyimpan data. Aku sudah mengenali lagu-lagu dari Alleycats.

Malah, ketika zaman Rock kapak melanda tanahair, aku tidak malu untuk mengakui bahawa aku masih mendengar irama dari Alleycats berselang-seli dengan kebingitan muzik Scorpions, Dio, Loudness, Van Halen atau dari band-band tempatan. Aku tidak malu mengakui kerana mat-mat rock yang lain juga seperti aku, hanyut sekali-sekala dengan kesyahduan melodi Alleycats.

Eleh..korang jangan tipulah!.

Entahlah, setiap lagunya punyai sejarah bagi diri aku. Bagaikan ia berdendang di setiap perhentian hidup aku.

Umpamanya, ketika aku berkelana ke kota di suatu ketika dahulu untuk menimba ilmu. Di saat bas ekspress yang cermin tepinya terweluap akibat air-cond yang terlalu kuat memasuki Gombak atau Batu Caves dari hala Pantai Timur, aku pasti terjaga. Waktu itu sekitar jam mungkin 4.30 atau 5 pagi dan irama itu pasti bernyanyi-nyanyi di jiwa aku.

“Kuala Lumpur senyumanmu
Di pagi ini
Sungguh bererti
Kerna cinta bersemi lagi
Setelah kemarau panjang

Di lebuhraya
Di papan tanda
Tergambar wajahmu
Dengan kalimat
Cinta untuk kita
Semoga kekal selamanya”


Suatu ketika dahulu, semasa aku di sekolah menengah. Aku sering mengikuti aktiviti perkhemahan dan biasanya aku akan membawa bersama Toshiba Bombeat (masa itu, belum bermula inovasi Mini Compo) milik kakak aku dan pastinya keset-keset Alleycats kepunyaan abang aku.

Paling aku ingat, ketika semua orang bersiul lagu ‘Sampaikan Salam’ yang menjadi hits ketika itu, aku dan beberapa teman asyik bersendu-syahdu di dalam hutan hujan Tropika dengan lagu ‘Dalam Kerinduan’ yang kami rasakan begitu ‘catchy’ tetapi tenggelam dengan irama dan lirik ‘Sampaikan Salam’ yang nyata lebih dekat kepada jiwa pendengar lain ketika itu.

Kalau aku dengar lagu ini, pastinya memori perkhemahan yang membawa sejuta kenangan di zaman persekolahan akan mula terbayang.Suara mendiang Loga begitu gemersik.

“ Dalam kerinduan
yang memuncak membunuh
Lalu berlinangan airmata menahan perasaan
Di goda khayalan

Dalam kerinduan
Yang memuncak menjauh
Tak ku sedar kiranya cinta kita telah hampir pudar
Tiada percantuman

Lalu aku bayangkan wajahmu di dalam sepi
Betapa syahdu pertemuan indah pula senyuman
Ku lihat mawar merah mekar di jejari manismu
Tapi mekar hanya seketika lalu ia kering layu.”


Begitu puitis sekali.Mungkin kerana ketika itu aku memang di dalam kerinduan? Entahlah.

Daerah aku, di hujung-hujung November pasti akan dilanda tengkujuh yang menggila.Walau pun cuti sekolah, tak banyak aktiviti yang boleh kami lakukan ketika itu selain mendengar keset dari lagu-lagu Alleycats dan apabila lagu ini berkumandang; tak dapat digambarkan perasaan itu.

“Ku terpegun di jendela bila hujan gerimis senja
Tak ku lihat di hadapan ku diri ku dalam lamunan
Tiada lain yang ku bayangkan hanyalah peristiwa itu
Dosa-dosa yang ku lakukan tetap mengganggu batin

Tanya pada diri apakah ini semua cobaan belaka
Kesal ku tak berakhir menduga keyakinan ku kepadanya
Batin ku menjerit namun tiada suara

Aku cuba menyatukan semua harapan yang berkecai
Tuhan ku bimbingkanlah diri ku agar kesal ku hilang
Gerimis sungguh mencengkam tiada dapat ku tahan lagi
Sungguh-sungguh tak ku menduka hingga jadi begini”


Hinggakan anak kecil aku, bernyanyi-nyanyi rangkap ini baru-baru ini akibat berulang-ulang di mainkan di dalam kereta.

“Batin kuuu mennnnjerit namunnnn tiadaaaa suaraaaa!!”

Terlalu banyak yang mahu aku ceritakan tentang aku dan lagu-lagu Alleycats tetapi biarlah ia menjadi memori buat diri sendiri.Aku pasti aku tidak berseorangan.

Ketika ramai yang ‘tangkap syahdu’ dengan suara serak basah David, aku sebenarnya lebih gemalai dengan gemersik suara Mendiang Loga yang menusuk ke dalam jiwa.

Lagu-lagu nyanyian beliau seperti; Jika Kau Bercinta Lagi, Lagu saduran Dust In The Wind oleh Kumpulan Kansas (yang aku lupa tajuknya), Hatiku Kau Luka, Nota Terakhir, Berjuta Batu dan lagu-lagu lain yang sudah sebati tetapi aku lupa tajuknya.

Loga pergi pada jam 10.50 pagi 4hb. Jun, 2007 di Georgetown, Pulau Pinang.

..dan aku terdengar rangkap-rangkap terakhir lagu 'Jika Kau Bercinta Lagi' terngiang-ngiang di telinga.

“Kini aku hanya dapat berdoa
Agar berbahagia kau disampingnya
Selamat tinggal
Aku mengundurkan diri…”


~Po.