Wednesday, May 27, 2009

Ketika Aku Datang Bertamu



...

Hawa dingin sesejuk salji keluar menerobos dari dua corong hitam di atas kepala. Wap putih menikam ubun-ubunnya. Dia cuba menutup corong itu secara memusingkan ke kanan dan ke kiri tetapi usahanya hanya sia-sia, seolah-olah corong itu sengaja dibiarkan tanpa boleh ditutup.

Dia cuba pula mengalihkan corong itu agar tidak terus menikam ubun-ubunnya dengan hirisan-hirisan udara sejuk membeku tetapi corong itu sudah kejap dan tak mampu beralih lagi.

Jaket fabriknya sudah tidak mampu menentang kesejukan itu lagi.

Dia menggigil.

Menggeletar.

Jam di tangan menunjukkan hampir empat pagi.

Bas ekspress yang di naiki beroleng-oleng memanjat banjaran titiwangsa yang berliku-liku. Perlahan dan mengaum kepayahan.

Dia melihat ke luar tingkap yang gelap.

Hanya berbayang rumah-rumah yang dibina di pinggir pergunungan. Sayup. Kejauhan.

Tertulis ‘Selesa Hillhomes’.

Siapakah yang tinggal di situ agaknya? Bisik hati kecilnya.

Di lemparkan pandangannya jauh ke dada banjaran. Pokok-pokok yang entah ratusan tahun usianya tegap berdiri menjulang awan. Kabus singgah di ranting dan dahan.

Samar cahaya bulan.

Bulan yang akan menghilang hanya dalam beberapa jam lagi.

Entah mengapa. Kembaranya kali ini cukup emosi. Cukup mengguris hati.

Dari meluh tingkap yang sejuk dikelubung oleh hawa pendingin dan sesekali embun pagi yang baru pecah terpalit di tingkap dan lurut di simbah angin melaju.

Bagaikan kembara hidupnya itu terhimbau dan tertulis di kerikil yang terurai kaku di pinggir jalan yang dilewati pantas.

Dan hidup itu berlalu tanpa sempat dia membaca batu-batu jarak.
Dan hidup itu berlalu tanpa sempat dia mengira waktu.

Tergambar wajah-wajah mereka di awan yang menggumpal.

Nun di langit sana yang semakin mencerah.

Jemari tangan kanannya dilekapkan ke cermin tingkap yang masih meluh meruwap.

Hati kecilnya berbisik.

“maafkan aku kerana meninggalkan mu dulu..”

….

Cahaya yang berbalam menyuluh bangunan yang menyapu awan.

Kuala Lumpur.

Aku lena di ribaanmu.

~po.

Thursday, May 14, 2009

c'est la vie !



Kalau dulu,masa aku kecik-kecik. Masa main combat.Bergaduh bila peluru imaginasi singgah di dada kawan yang bermain askar Jerman. Tapi, dia tak mahu mati juga. Bergaduh tapi esok janji nak main lagi.

Kalau dulu, abang aku beli majalah Gila-Gila, baca dan sengaja ketawa kuat-kuat. Bila dia habis baca, sengaja dia sembunyikan di atas almari supaya aku tak jumpa cari. Bergaduh lagi.

Kalau dulu, meningkat sedikit remaja. Masa rock tengah menggila. Isu siapa yang lebih terer antara Kid Search, Man kidal dan Hillary Ang boleh jadi bergaduh.Gitaris mana yang paling banyak pakai distortion kit. Silap-silap, itu boleh bertumbuk.

Sekarang bergaduh sebab berebut kerusi.

Aku rasa aku nak jadi kecik balik lah.

..dan aku rasa memang kid search tu paling terer main gitar selepas opie Bloodshed.

ha ha.

Jom! tak puas hati jumpa kat simpang!

~Po.

Monday, May 11, 2009

Pengalaman Mengorat Aku Yang Pertama Kalinya.


...

Tadi, ketika menunggu anak aku balik dari sekolah. Aku menunggu di dalam kereta.

Aku pasang cd Jay Jay yang terbaru. Album Emosi.

Ketika loceng berdering-deringan, aku lihat ramai budak-budak sekolah berkeliaran. Darjah satu atau pun mungkin darjah dua.

Menghimbau kenangan mengorat aku yang pertama.

Ketika itu, mungkin dalam darjah satu atau dua.Juga.

Cuti sekolah. Aku dengan seorang kawan sedang mencari biji saga. Entah nak buat main apa. Aku lupa.

Datang seorang brader. Jauh lebih tua. Menepuk bahu aku dan kawan aku dan dia duduk bertenggek di atas konkrit longkang yang diterbalikkan menjadi bangku batu.

Dekat rumah aku, ketika itu, ramai pelajar-pelajar perempuan sekolah Arab yang menyewa beramai-ramai. Mungkin, asrama tidak mencukupi. Entah, aku tak tahu.

Brader itu terus bercerita.

Brader itu, aku tak kenal tapi dia memakai topi dan ada sedikit iras-iras wajah Jay Jay yang ketika itu tengah 'top' dengan lagu Rindu Bayangan.Serupa.

"...berputar-putar, memberikan kata-kata."

Ok. Balik kepada cerita.

Brader tadi membuat satu 'plan' mengorat yang dianggap cukup berkesan ketika itu. Meminta tolong aku dan kawan aku itu.

Kami bersetuju.

Aku diarahkan menunggu satu awek sekolah yang akan lalu balik dari sekolah nanti. Mungkin kelas tambahan. Bertudung labuh dan berkulit putih. Budak sekolah Arab. Mungkin tingkatan lima.

Kami menunggu. Lama.

Bila awek itu berjalan balik, Brader itu memberikan isyarat supaya kami memberikan sepucuk surat bersampul belang putih biru.

Kami pun beri surat. Senyum-senyum.

Awek itu pun turut senyum-senyum. Bertanya kepada kami.

"dik..siapa beri surat ni?.."

Ketika itulah, Brader tadi melangkah berjalan dari kejauhan dengan henjut lagak seperti jay jay!

Kami bertempik.

"Abang yang tu bagi kak! yang tuuu!" sambil tunjuk kepada brader tu.

Selesai semua.

Petang, brader itu datang jumpa kami dan kami diberikan cokelat sorang sebiji.

Entah, mungkin menjadi taktik mengoratnya tadi.

Notakaki- Aksi brader itu keluar dari persembunyian dan berjalan selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku dari kejauhan itu adalah sebahagian daripada 'plan' Brader itu.Kami diarahkan untuk menunjuk ke arahnya.Mungkin, senang cerita untuk kenal muka.

Bila aku dewasa, tak ada pulak budak kecik yang mahu mengikut 'plan' yang aku buat sama seperti brader tadi.

~Po.

Friday, May 08, 2009

Hari Ini.


Hari ini.

tanda. Tiga ratus enam puluh lima hari.

dua belas bulan.

satu tahun.

BEBAS.





asap rokok.
~Po.

Hitam keluar lagi.


...

waktu yang tertera pada skrin komputer adalah 01:57.

pagi.

ya, pagi.

Biasanya aku sudah masuk ke dalam mimpi bahagian kedua selalu-selalunya, malam-malam yang biasa.

Suasana sunyi dan sepi. Hanya kedengaran detik-detik jam di dinding. Semua mergastua sudah hilang dalam lena yang sedia untuk esok pagi.

Aku masih begini. Di meja kecil di dalam kamar beradu.Lampu kecil yang aku sisipkan pada skrin untuk mencerahkan papan kekunci.Menyala malap.

Tak berbaju.

Berpeluh mencurah bagai disimbah.

Ketika begini, hati hanya tertanya-tanya.

"dah ada orang yang call TNB ke tidak ni?"

Blackout pagi-pagi sebegini memang memanaskan jasad dan hati.

~Po.