Tuesday, January 17, 2006

Kisah Seorang Weltanschauung Yang Rebah

…

Aku ciarkan jerit-jerit halus yang bergejolak dari dalam diri
Aku alurkan bertempuh ke segenap urat dan warid nadi
Agar tegak ini
Tegap berseni

Aku timpuhkan letak duduk kemas bak kemiri
Aku pasakkan sendi kancing terkunci
Agar silaan ini
Tidak rebah menyembah bumi

Jejak-jejak marhaen di puncak ancala tinggi
Jangkauan sanad wahadah pencipta lazuardi
Seorang amri
Seorang wilakat
Sebuah kesultanan di bawah lelangit bersegi

Seorang wiraswata

Lantas

Lewat malam kabus hawa daba menggigit

Kau, wadon

Bertanyakan wacana sebuah wahmi

“kenapa lelaki masih mencari perempuan lain walau sudah beristeri?”

aaah…!

Tegapku jatuh
Simpuhku luluh
Wedukku lusuh

Seorang weltanschauung rebah
Aku tak punya jawapan
Bisai-bisai tutur menjadi songsang
Dadaku birsam

Bungkam

Lantas diam
Suara-suara mangkir

Aku wanti-wantikan walehku
“kau hanya satu untukku hingga tiba waktu”

Aku
Tenggelam dalam peluk wilangon

Dan
Aku salahkan pengarah, penerbit, pengeluar drama TV yang mengisahkan lelaki yang kurang nilai kesetiaan. Bukan kalian yang perlu menjawab bila disuakan soalan! Wailol!

~Po.

Wednesday, January 04, 2006

A Tribute to GEJU.

...

Tadi.Menjelajah dari satu Blog ke satu blog.

Tak banyak yang ingin aku bicarakan.

Catatan-catatan tentang Perjumpaan Tahunan Geng Journal (GATH GEJU 2005) membuatkan aku bernostalgia semula.

Aku bermula dalam dunia blog ini secara tidak formalnya melalui geng-geng awal Geju apabila mereka banyak memberi galakan dan sokongan juga cabaran kepada aku.secara formalnya apabila aku memulakan blog aku sendiri.

Ketika itu, bilangan Blog tidak banyak apatah lagi yang menggunakan medium bahasa Melayu.Mereka-mereka yang pintar teknologi maklumat ini ketika itu cuba membentuk satu kumpulan penulis yang menghargai antara satu sama lain dan berkongsi minat yang sama. Menulis blog. Sesuatu yang amat baru ketika itu.

Lima tahun dahulu.

Mereka menubuhkan Geju secara maya dan berjumpa secara tidak formal beralaskan kertas suratkhabar di taman KLCC pada tahun 2001. Mereka hadir secara ikhlas dengan latar belakang yang berbeza malah, mereka tidak pernah bersua muka melainkan berbicara melalui papan kekunci.

1 Januari yang lalu mereka membuat perjumpaan lagi di dalam dewan yang serba lengkap. Siap dengan persembahan video, sumbangan suara dan bermacam acara. Anugerah-anugerah sebagaimana lazimnya telah dinilaikan dan diberikan kepada mereka-mereka yang banyak berjasa kepada perkumpulan mereka serta mengiktiraf tulisan-tulisan yang memberi inspirasi atau menjadi ransangan kepada halwa minda.

Geju bermula dengan merangkak, bertatih dan kini berlari selari dengan arus dunia global IT.

Mereka-mereka yang kini masih tegar menulis, mencoret dan memberi sumbangan kepada masyarakat madani secara hikmah yang tersendiri.

Aku zahirkan ‘tribute’ melalui ‘entry’ ini.

Tahniah kepada penerima-penerima anugerah, tahniah kepada penganjur majlis yang bakal mencatat sejarah dalam dunia blog tanahair.

Betapa dunia ini menjadi semakin luas dengan jalinan ukhwah.

Betapa mimpi tidak seharusnya terhenti setakat dalam diri tanpa dikongsi.

~po. - selamat Tahun Baru 2006.