Thursday, June 29, 2006

Soldadu

…

Tatkala aku menekan butang lif. Pintu-pintu besi itu terbuka dan berbondong-bondong manusia berbagai jenis dan ragam melangkah keluar. Aku melangkah masuk dan pintu-pintu besi itu lantas tertutup bersama bunyi-bunyi keriuk yang menakutkan. Bagai berada di dalam kotak memori. Terurai ingatan. Setingkat. Demi setingkat.

…

Kami berdiri tegap di tengah panas membahang. Peluh memercik dan berjejeran di muka-muka kami yang legam. Basah bermandi hangat mentari.Namun, kami tetap mendongak kehadapan dengan maruah yang ditatang.

Sarjan Mat dari Regimen Askar Melayu bergerak ke arah kiri kami. Langkah-langkahnya tegap. Dadanya bidang.Derap bunyi bootnya dipacakkan ke atas tar yang meruap hangat.Lantas dia menggenggam kedua jari jemari tangannya lalu didakapkan ke dada.

Suaranya lantang.Pekik platoon leader yang memecah damai alam.

Skuad! Bertiga-tiga! Dalam satu barisannnnn!

Dari kiriiiiiip!

Cepattt Lareeey (lari)!


Kami menggenggam jari-jari kami dan didakapkan ke dada lalu memulakan langkah larian dengan langkah-langkah yang pendek. Seirama. Senada. Derap-derap bergema seiring dengan jeritan kami.

Kiriip..kiirip..kirip kanan kiriiip!

Kami sukakan gerakan kawad kaki ini yang biasanya diaturkan oleh Sarjan Mat di penghujung latihan. Ketika mentari tegak di atas kepala. Beret-beret kami tak mampu menahan kemilau sinar terang yang memancar.Gerakan berlari ini biasanya akan menutup latihan untuk pagi itu.Gerakan yang sentiasa bersemangat.

Kiriip..kiirip..kirip kanan kiriiip!

Sarjan Mat yang berlari di kiri mengiringi kami memulakan apa yang kami tunggu-tunggu.

Dia mula bernyanyi. Kami mengikut bernyanyi dengan bait-bait yang dilontarkan oleh Sarjan Mat. Harmoni suara-suara kami.Dalam berlari dengan langkah-langkah yang pendek. Bertiga-tiga dalam satu barisan.Selari.

Oh adikku!

Kau janganlah!

Engkau tunggu!

Abang pulang.

Abang pergi!

Tak kembali.

Agar adik

Carik ganti.

Satu ribu !

Dua Ribu!


Bait-bait pendek seirama dengan derap pendek larian kami diulang-ulang sehingga kami tiba semula di tempat permulaan.Biasanya, nyanyian kami menjadi lebih kuat dan bergetar apabila Sarjan Mat sengaja membawa haluan kami melintasi Aspuri (asrama puteri).

Bola-bola mata ayu yang mengintai dari celah-celah bingkai tirai.

Kata Sarjan Mat, itu lagu Komando sebelum pergi berjuang. Dalam nada semangat ada kesayuan. Ada getar demi maruah dipertahan.

Itu kata Sarjan Mat. Kami budak-budak pasukan beruniform sekolah sekadar menjadi teruja bukan kepalang.Kami mahu berjuang.Dia menyuntik semangat pahlawan.

…

Aku melangkah masuk ke dalam bilik di wad kelas dua. Melihat dia terbaring dengan mata terpejam. Kakinya bengkak, perutnya membuncit.Wajahnya memucat. Tangan-tangannya kurus menampakkan bentuk tulang.

Dia terjaga apabila aku menyebut salam.Perlahan seakan berbisik.

“po..” dia mengukir sekelumit senyuman. Kami bersalaman.Dia cuba menggagahkan diri bangkit tapi aku menghalang.

Kami bersembang. Lama. Air jernih kadang-kadang mengalir di pipinya. Mengingatkan kesakitan yang dialami. Mengingatkan anak-anak yang masih dahagakan belaian seorang ayah. Mengingatkan ujian yang Tuhan telah tentukan kepada umatNya.

Dia menderita akibat kegagalan kedua-dua buah pinggangnya berfungsi. Selama beberapa tahun ini, dia bergantung hayat kepada mesin Hemodialisis yang harus dijalani tiga kali seminggu. Tanpa mungkir.

Dia sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba kakinya membengkak dan kulitnya mengeras serta menggerutu.Aku menjamahnya, bagaikan keras kayu.

Dia mula bercakap tentang pengakhiran dan pemergian.

…

Sarjan Mat memberikan command “bersuuuraii!”

Kami berpusing ke kanan dengan aturan ‘satu, dua tiga satu’dan setelah tiga langkah, kami keluar barisan. Berpecah tetapi masih dalam satu kumpulan. Tidak lagi selari, tidak lagi bertiga-tiga dalam satu barisan.

Sarjan Mat menghampiri kami dan berteriak “Gempurrrrr!!”

Kami sama menyahut dengan nada lantang “Wiraaaa!!”

Kata Sarjan Mat, itu adalah War Cry. Kata-kata semangat yang dilaung-laungkan oleh Pasukan Gerak Khas dari setiap Regimen di setiap masa agar kegagahan tetap tersemat di hati-hati mereka.

Sahabat aku yang satu itu tak mampu menyebut huruf ‘R’ kerana lidahnya pendek.Dia Cuma mampu menjerit penuh bersemangat.

“Wiyaaaa!”

Selepas itu, setiap kali Sarjan Mat berteriak “Gempurrrr!!”

Kami menyambutnya dengan teriakan “Wiyaaaaaa!!”

Disusuli dengan gelak ketawa kecil.

Kami budak-budak sekolah. Lama mana sangatlah semangat itu terhunus di dada, lebih-lebih lagi bila budak-budak perempuan ayu dari Pengakap Laut Kumpulan 13 berlalu dihadapan kami.

…

Setelah beberapa lama, aku meminta diri untuk berlalu pergi.

Kami bersalaman dan aku mendakap bahunya sambil berbisik. “Sabar, Tuhan menguji hambanya dengan berbagai cara, hanya mereka yang bersabar mampu mengatasinya.”

“Hanya sabar yang aku ada…” bisiknya perlahan.

Aku melangkah dan aku berteriak lantang. Di dalam hati. Di dalam keinsafan dan munajad kepada Tuhan agar sahabat aku diberikan kerahmatan.

“Gempurrrr!!” Jeritan yang tidak kedengaran.

Sayup-sayup dari hujung sudut hatiku, aku terdengar dia memekik.

“Wiyaaaaa!!!”

Penuh semangat juang.Penuh aura seorang pahlawan.

…

Kami tewas dalam pertandingan kawad kaki antara sekolah pada tahun itu.

Kata Sarjan Mat, teruskan perjuangan, jangan biarkan semangat pahlawan yang mengalir itu terpadam.

~Po.

Wednesday, June 21, 2006

Demi Masa Dan Demi Cinta...

...

Berikan aku waktu.

Hulurkan aku cintamu.


Kerana waktu mampu menyembuh
Waktu juga mampu membunuh.

~Po. - ketidaksempurnaan itu menjadikan kita, manusia. Seadanya.

Sunday, June 11, 2006

tragedi...

...

Asalmu menjulang tinggi, gagah menyapa pelangi.



Sebelum kau rebah ke bumi. Menjadi satu tragedi.









Syukur kepada Tuhan,mereka tiada di tempat kau rebah.Tempat mereka bermain saban petang tiba-tiba bertukar menjadi satu pemandangan yang menakutkan.





Po.

Tuesday, June 06, 2006

Dalam Diam Nan Dalam

…

Kau lontarkan seluruh jerit pekikmu
Kau hamburkan segenap sumpah seranahmu
Kepada aku
Setajam panah menusuk kalbu
Sepahit hempedu

Aku tak tahu berlagu
Aku tak pandai bernada dengan kata-kataku

Aku
Membisu
Hanya itu yang aku tahu
Sejak awal dunia mungkin sehingga akhir waktu

Dalam diam
Nan dalam

Ada merah dendam
segunung makian
selaut cacian

Dalam diam
Aku menggelepar, aku menggelupur
Bersama pekik lolong yang berkubur
Dalam aku

Dalam retak, dalam beku
Dalam teriak, dalam jarak waktu

Jangan kau cuba, jangan kau ambil tahu
Biarkan aku
Tinggalkan aku

Maafkan aku
Jika diam aku
Sebuah kembara ke penghujung pengertianmu

Aku hanya ingin mencari diri aku
Dalam berjuta-juta diamku



~po.