
Kak...
Abah menulis di sini dan mungkin suatu hari nanti, kakak akan membacanya. Pasti.
Kak.
Semasa kakak dilahirkan ke dunia ini, sembilan tahun dulu. Kakak sebenarnya telah memberi makna kepada Abah, Umi dan Abang Fiq. Ketika itu, ramai yang berhasrat hendak melahirkan zuriat bersempena dengan millenium baru. Kakak adalah antara bayi-bayi millenium itu.
We are so happy for you, kak.
Sebenarnya kak, umi dan abah mahu melihat kakak menjadi peneman kepada Abang Fiq yang ketika itu, tampak kesunyian dan seterusnya menjadi peneman kepada kami.
In a happy family.Ketika kakak lahir, dengan berat melebihi empat kilo, kami cukup gembira apabila melihat kakak sihat dan sempurna sifat.
Melihat kakak membesar di hadapan mata kami, penuh dihiasi dengan kegembiraan. Mengingatkan apabila kakak hilang dari ruang hadapan dan tiba-tiba terjumpa di ruang di bawah sinki dapur adalah antara kenangan yang pastinya akan membuatkan umi dan abah tersenyum sendirian.
Kakak tak macam Abang Fiq yang lebih suka bersendirian di dalam dunianya tersendiri. Kakak lebih sukakan cabaran.
Adventures. Mahukan pengalaman, mahu mencuba sesuatu yang belum pernah dilakukan.
Ketika kakak berusia lima tahun, kakak sudah bersungguh mahu ke sekolah dan mata abah merah apabila meninggalkan kakak di dalam kelas.
Kakak masih ingat ketika kita sama-sama berpimpinan menyusuri laluan di tepi perumahan ketika abah menjemput kakak pulang dari tadika? Mendengar kakak bercerita, bagaikan meneroka dunia yang serba tersedia buat kita.
Melihat kakak menunggu abah menjemput pulang, di tepi tembok sekolah. Kadang-kadang abah terasa sayu. Sayu apabila mengingatkan yang abah bertegas dengan Abang Fiq kerana abah mahu mengajar dia tentang tanggungjawab anak sulung lelaki yang di suatu hari akan menjadi kemudi buat kita sekeluarga. Abah kurang bertegas dengan kakak.
Abah memanjakan adik kerana adik suka dibelai tetapi abah tidak terlalu memanjakan kakak.Abah tak mahu kakak nanti terlalu dimanjakan sehingga terlupa akan cita-cita dan impian.
Umi bersikap tegas dengan kakak mungkin kerana umi mahu kakak menjadi anak perempuan yang akan menemaninya suatu hari nanti.
Kadang-kadang kita menjadi kawan yang sangat akrab.
Kita berbicara tentang apa sahaja. Tentang dunia kecil kakak ataupun tentang dunia besar abah.
Kakak pantang dicabar. Ingat lagi ketika keputusan peperiksaan kakak yang menjunam turun ketika dalam darjah dua dulu? Kakak bangkit dan buktikan kepada kami yang kakak mahu menjadi antara yang terbaik.
Kakak pernah melangkah di atas pentas ketika tadika dengan persembahan.
Kakak gigih menepis dan menendang di dalam taekwondo walaupun baru darjah satu.
Bagi Abah, kakak melangkaui usia sembilan.
Entahlah, Abah rasa kita lebih banyak masa berdua berbanding Abah dengan abang fiq ataupun adik. Mereka mempunyai masa-masa mereka yang tidak sama dengan masa yang kita habiskan berdua.
Kakak adalah peneman Abah yang baik. Pendengar yang amat baik dan seorang pencerita tentang kehidupan yang amat berbekas di hati Abah.
Abah sayangkan kakak.
Selamat Hari Jadi ke Sembilan, kakak.
~po.