…
Seorang teman mengambil tempatnya di sebelahku. Di dalam sebuah restoran makanan Siam di pinggir bandar.Bersalam-salaman dengan teman-teman lain yang mengelilingi meja bulat beralaskan kain alas bewarna merah darah ikan.
Nasi dan lauk-pauk sudah terhidang, aroma tom yam meruwap dan menusuk ke deria hidu kami.
Jam menunjukkan pukul 6.30 petang.
Masih ada setengah jam sebelum Maghrib menjelang dan azan berkumandang menandakan pengakhiran ibadah puasa untuk hari itu.
Kami bersembang tentang macam-macam. Tentang politik, tentang keluarga dan tentang apa sahaja. Bersulam dengan gurauan, bersimpul dengan sebuah persahabatan.
Sememangnya kami akan cuba untuk bersama-sama berbuka walau sekurang-kurangnya sekali dalam bulan Ramadhan di setiap tahun. Sebagai tanda persahabatan di samping cuba mengemaskini berita tentang keluarga masing-masing. Tentang anak-anak, tentang kerjaya dan cuba memberi jalan penyelesaian sekiranya terdapat apa juga masaalah yang mungkin menjadi halangan sepanjang perjalanan kehidupan.
Majlis yang sederhana itu sudah kami mulakan semenjak 6 tahun yang lalu.
Segala-galanya disebabkan oleh Adam.
Adam.
Adam yang telah membuka seluas-luasnya pengertian Puasa, pengertian Hari Raya dan pengertian sebuah kehidupan.
Enam tahun yang lalu, kami semua berkumpul seperti petang itu tetapi dalam suasana yang amat berbeza. Terlalu berbeza.
Kamal, seorang sahabat yang telah kami kenal semenjak bangku sekolah dan seorang kakitangan kerajaan yang serba sederhana. Di satu petang, pada enam tahun yang lalu, Kamal kami peluk dengan erat. Esak-esak tangisannya menggetarkan pelukan kami.Kami cuba menyabarkannya. Kami cuba untuk membawanya kepada pengertian takdir, kepada pengisian takbir.
…
Allahhuakbar Allahhuakbar Allahhuakbar Allahhuakbar
LailahaillAllah hu Allahhuakbar
Allahhuakbar walillah hillham.
Petang Hari Raya yang sayu. Teramat sayu, seolah-olah angin yang berhembus dijaringkan sendu.
Apabila kami semua duduk di bawah pohon mangga di hadapan rumahnya, berpusatkan seluruh deria kepadanya.Dengan luluh dia bercerita.
“kau tahu…tahun ini kami tidak pernah terlepas walau satu malam Solat Tarawikh. Dia yang terlalu beria-ia. Dia tak mahu walau diajak untuk keluar membeli-belah pakaian baru di malam hari kalau itu bermakna dia harus meninggalkan solat jemaah Tarawikh.”
Kami mengangguk dan menepuk-nepuk belakang Kamal. Cuba sedaya kami untuk menyabarkannya.
“Setiap kali aku dan Adam sampai di masjid, aku akan sorongkan kerusi rodanya terus sampai ke dalam masjid. Dia akan turun berjengket dan mengambil tempat biasanya di sudut kanan masjid.”
Airmata mulai berderai di pipinya. Sambil, dia meneruskan cerita.
“semua sudah kenal pada Adam..dan semua memberi ruang kepadanya untuk bersolat dengan kemudahan.”
“para jemaah sudah faham dan merasakan kehadiran Adam membawa seribu keberkatan dan sejuta keinsafan kepada mereka. Itu yang mereka ucapkan kepada aku setiapkali aku menyorong kerusi roda Adam untuk pulang setelah usai Solat Sunat Witir pada setiap malam.”
Bicaranya tersekat-sekat dan dia menyeka airmata.
“bila muazzin mengalunkan seru-seru memuji Nabi Muhammad dan para sahabat di antara ruang rakaat ….Allahummasolli’ ala saidina wa habibi’ina wa nabi’ina wa syafi’ina wa zukrina wa maulana Muhammad !.
“Adam akan turut menyeru nyaring, sehinggakan semua jemaah akan berpaling kepadanya dengan senyuman terukir di bibir-bibir mereka. Adam tidak pernah mengambil kisah tentang padangan-pandangan itu, senyuman-senyuman mereka itu.”
“dia hanya mahu mengabadikan dirinya pada Tuhan…”
Airmata kami sudah tidak tertahan lagi. Menitik deras membasahi bumi.
“Adamm..”
Kamal memekup mukanya dengan kedua tangannya sambil esakan mulai panjang.
“kau tahu, pagi tadi…Solat sunat Aidil Fitri…aku sedikit terlewat dan masjid kita pada tahun ini agak berbeza jemaahnya, jumlahnya ramai dan imarahnya menakjubkan.”
Kamal sudah mulai mendapat kekuatan untuk bercerita semula.
“aku tak dapat meletak kereta berhampiran dengan masjid, jadi aku mencari ruang di tepi pagar masjid. Selepas itu, aku keluarkan kerusi roda Adam…tapi kau tahu apa Adam cakap pada aku?”
Kami menggelengkan kepala kami dalam tunduk meredam kepiluan.
“Adam kata kepada aku…Ayah, Adam nak cuba berjalan sendiri kali ini… boleh tak? Adam nak jadi macam orang lain, orang lain tak ada bantuan untuk ke masjid, bukan ke setiap langkah kita ke masjid akan dikira dengan pahala Ayah?”
“aku hanya mampu mengiakan kata-kata Adam dan aku tak sanggup melihat dia berjalan sendiri. Kau bayangkan keadaan Adam kalau dia berjalan sendiri…”
Airmata Kamal meluncur lagi sederas airmata kami.
Adam adalah anak yang baru berusia sepuluh tahun dan cacat kedua kakinya semenjak dilahirkan. Dia hanya separas pinggang dan dia bergerak menggunakan kedua belah tangannya.
“aku tak sempat nak menghalang, dia sudah berjalan ke masjid…lepas aku simpan kerusi roda, dari kejauhan aku lihat dia dengan gigih bertatih dan debu menyapu-nyapu seluarnya.”
“pagi tadi, aku sebak bila khalayak yang berduyun-duyun ke masjid berhenti dari pergerakan, memberi laluan kepada Adam, Adam pula tak putus-putus mengucapkan salam. Semua memandang dengan senyuman seikhlas mentari pagi…sampai ke dalam masjid pun semua memberi jalan kepada Adam sehingga dia sampai ke saf terkehadapan”
“beri’ktiqaf beberapa ketika, Pak Razak Bilal memulakan Solawat dan Takbir Aidil Fitri yang mendayu-dayu…mikrofon di gilir-gilirkan untuk memberi peluang jemaah berlagu.”
Kamal meneruskan cerita.
“Di satu ketika, aku terkejut bila mikrofon dihulurkan kepada Adam…mungkin diniatkan untuk aku,aku yang berada di sebelah kanannya tak sempat nak mengambil mikrofon itu bila aku dengar Adam menggemakan takbir dengan suara sedikit terketar tetapi penuh keyakinan.”
“merdu suara Adam…”
Kamal sudah tidak lagi dapat mengawal dirinya. Dia menangis sungguh-sungguh.
“selepas itu…jemaah lain sudah tidak mahu menyambut mikrofon itu, Adam bertakbir sehingga ke akhir dan jemaah lain seperti aku, mereka mengalirkan airmata…” kata Kamal tersekat-sekat.
“Adam pulang dari solat sunat Aidil Fitri dengan senyuman hingga ke telinga dan semua jemaah menegur dia, bersalam dan ada yang tunduk memeluknya…”
“Hari ini adalah hari yang paling membanggakan aku….suaranya berkumandang ke seluruh alam maya…dan hari ini juga hari yang paling menyedihkan bila Adam tidak lagi bersama..”
…
Azan Maghrib berkumandang dari corong radio dan kami sama-sama membaca doa dan seterusnya berbuka puasa.
Kamal di sebelah aku, kelihatan tenang tetapi sekali sekala aku lihat dia seolah-olah merenung ke hamparan kejauhan.
Mungkin dia merindukan Adam.
Adam yang sedang damai menemui Tuhan.
Adam meninggalkan kita pada tengahari aidil fitri selepas dia mengalunkan merdu takbir dari corong suara di Rumah Allah. Adam menderita sakit spina bifida selain kecacatan fizikalnya.
Adam yang mendalamkan pengertian aidil fitri dalam dia bersemadi dan kami mencari hakiki.
~Po. - Selamat mencari Lailatur Qadar.