Monday, December 10, 2012

42

...

...it seems like, a birthday without a specific entry would be...incomplete.

2 days ago. I was 42.

Nothing much to say. Nothing much to write here.





Thank you to all the good people who conveyed wishes and doa's. Through social web page, whats app. , status on the walls.

Thank you. It meant a lot to me.

Being 42 is being a father to a grown up family. Kakak is 12 going 13 and may be going away next year. A new life in hostel. Sekolah Agama. Her choice.

Fiq is 15 and if the result is good, going to another school which fits his interest better than the current school he's attending now. My prayers to him.

Fifi will be Fifi. A small girl with loud voice.

...and Arissa is going to school next year at the age of 5. Hopefully all ends well.

Being 42 is also being a husband to a wife. A lovely wife. The one who still feels warm after we snuggled back to another hour of extra sleep on weekends right after subuh prayers.

Also, the jemaah on every Isya'. Trying very hard to make it possible each day.

well...I guess, being 42 is just being 40 with the extra 2. If they say that life begins at 40..then 42 is just 2 years of life.

and at this stage of life, istiqomah in doing small ibadah but continuously is a prime thing in daily life.

Thanks people.

I'm now 42.

I am now larger than life.

"Yeah, every time we're down
Yeah, you can make it right
Yeah, and that's what makes you larger than life..."


backstreet boys.


have a nice day everyone.


~po.



Tuesday, November 27, 2012

Hujan November

melebat...

Berlari-lari anak menuju ke kereta.

Basah di atas bahu baju.

Menghempaskan pintu.

Berada selamat di dalam kereta, menghidupkan enjin. membuka pendingin hawa. Menggerakkan 'wiper'.

....

Melihat ke dalam hujan. Semakin lebat.

....

Aku seharusnya berada di dalam hujan itu. Merasai dinginnya air yang turun mencurah dari langit.
Merasai hembusan angin yang bertiup deras.
Merasai rintik-rintik yang membasahi muka ini.

....

merasai betapa bebasnya hidup ini.

betapa pejalnya bumi ini.

kembali menjadi anak-anak yang melihat hidup dari perspektif yang lebih mudah.

hidup lebih ringkas.

menjelajah.
....

lantas, aku memasukkan gear kenderaan

meluncur perlahan

ke dalam hujan.

...

alangkah.

~po.

Thursday, October 18, 2012

Be Kind...






...for everyone you meet is fighting a hard battle.

~po

Wednesday, September 12, 2012

Matematik Kertas Satu.

...

Kadang-kadang aku meminta dari Tuhan.

Doa.

Aku juga teringin ingin menjadi seperti kebanyakan ibubapa yang aku kenal yang anak-anak mereka berjaya mendapat semua A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah.

Kadang-kadang...

Aku mahu merasa apa yang mereka rasakan ketika anak mereka mendapat keputusan cemerlang.

Aku, dulu walau aku tak sangat kecewa dengan keputusan Fiq tetapi di satu sudut jiwa yang paling jauh, terasa juga mahu lihat dia berjaya di peringkat itu.

Hari ini.

Hari kedua berlangsungnya peperiksaan UPSR 2012.

Hari ini hanya ada satu ujian diambil oleh kakak. Matematik kertas Satu.

Semalam, ujian Matematik Kertas Dua, katanya boleh jawap dengan sedikit keyakinan.

Kakak tidak pernah mendapat A di dalam kertas Matematik selepas Darjah 3. Mengikut aku gamaknya, tak berapa sukakan nombor.

Seminggu ini, kami hantar dia setiap hari berguru dengan sepupunya. Seorang guru juga. Latihan pecutan saat akhir.

Selama setahun ini pun, kelas tambahan untuk membuat latih tubi dibuat setiap hari. Balik sekolah macam kerja pejabat.

Akhir-akhir ini nampak kesungguhan dia.

Selama dua hari peperiksaan kami menemani dia di sekolah. Isteri mengambil cuti dan aku masuk kerja sekerat hari.

Kami juga buat solat hajat dan kadang-kadang aku minta untuk merasa apa yang ayah lain yang anak-anak  mereka cemerlang merasa.

Aku minta dari Tuhan.

Sungguh-sungguh.

Hari ini, selepas tamat Peperiksaan Matematik kertas Satu.

Tuhan berikan aku lebih dari apa yang aku minta.

Kakak datang kepada kami dengan air mata.

Hiba.

katanya..."kakak tak sempat masa buat kira-kira untuk 5 soalan"

Hari ini.

Aku dapat rasa satu perasaan halus yang ayah-ayah lain di luar sana yang anak-anak mereka terer dan cemerlang tidak langsung merasa.

Perasaan kesungguhan walau mungkin bukan A keputusannya.

Kami peluk kakak.

You have done your best, that's all that matter to us.

...dan aku melihat ke padang sekolah, terbayang kakak menconteng dinding rumah dengan crayon sambil tersengih kepada kami.

Sembilan tahun dulu.

~po.


Thursday, July 26, 2012

Besar UjianMu Ya Allah.

Semalam. Entah kenapa. Aku tiba-tiba sakit lutut. Tempurung lutut aku macam tidak sejajar dengan urat dan sendi. Berjalan hencut. Naik tangga ke pejabat 'one leg up at a time'. Payah terasa.

Solat. Berpeluh-peluh menimbang badan dan mengimbang antara turun sujud dan melipat kaki antara dua sujud.

SubhanAllah.

Maha suci Mu Allah memberikan ujian sebegini.

Kafarah mungkin untuk dosa-dosa berjalan ke tempat dosa suatu masa dahulu. Mungkin.

Merungut. Tidak.

Terkilan. Ya. Bulan Ramadhan dan tak dapat menunaikan solat terawikh di Masjid, Bimbang tak dapat ikut Imam.

Semalam juga. Melawat sahabat di Kuala Ibai. Di rumah ayah dia. Rusdi namanya. Kerja jadi kontraktor elektrik di Dungun.

Hari Sabtu lepas. Satu Ramadhan. Isteri beliau dipanggil Tuhan.

Kanser payudara.

'Fighting' semenjak 2009 dan menolak rawatan Chemotherapy. Selang tiga tahun lebih kurang semenjak di diagnose dengan kehadiran benjolan di dalam kulit. Awal 2012 arwah semakin mengalah dengan derita yang cukup pasrah. Umur sebaya kami juga. Empat puluh dua.

Kami bertiga di beranda rumah setingkat sederhana besar. Angin dari arah laut kadang-kadang bertiup kuat.

Kadang-kadang perlahan.

Macam Rusdi yang sedang bercerita tentang isteri beliau.

Anak lima. Paling bungsu darjah satu. Comel. Datang bersalam dengan kami. Aku usap kepalanya.

Bercerita tentang arwah yang jatuh ketika dipegang Rusdi semasa solat. Bercerita tentang hari-hari akhir arwah yang mahu pulang ke rumah mertuanya.

Bercerita tentang anak-anak yang seakan redha dengan pemergian ibu tercinta. Ibu tak akan sakit lagi di mata mereka.

Kadang-kala kami bertukar cerita tentang kami. Tentang anak-anak kami.

Tentang kawan-kawan yang lupa diri. Kawan-kawan yang sejati.

Rusdi. Batch kami ketika SPM 1987 dulu di Sekolah SS. Rambut kerinting dan ada gelaran tersendiri.

Kadang-kadang ketika angin bertiup kencang di petang lima Ramadhan kami ketawa dengan cerita-cerita lama. Betapa kami sudah tua.

Kadang-kadang hanya Rusdi bercerita dan kami hanya memandang jauh ke arah padang yang ditumbuhi pokok-pokok resam dan pucuk-pucuk kayu. Berselang memandang anak-anak beliau di dalam rumah menonton TV.

Kami tidak pernah kenal dengan Allahyarhamah.

Tak pernah.

Kami tahu dia pergi pun setelah beberapa hari.

Kami kirimkan Al-Fatihah.

Rusdi menjemput untuk tahlil sebelum Iftar tetapi kami tak dapat penuhi. Banyak komitmen yang perlu kami sudahi.

Kami berangkat pulang setelah memeluk bahu Rusdi yang kami lihat tenang.

Petang yang cukup tenang.

Angin berhembus perlahan.

Besar ujian Mu Tuhan.

~po.


Tuesday, June 05, 2012

Di Tengah-Tengah Laut China Selatan





Di tengah-tengah lautan.

Ketika hujan dan angin memukul kami dengan kencang.

Tatkala dialunkan zikrullah.

Aku mengangkat tangan bersyukur, aku ditemukan semenjak dari kecilku sehingga ke hari ini; teman-teman yang cukup menjaga solatnya.

Biar pun di lambung gelombang.

Walau bukan ulama' terbilang.

Terima kasih Tuhan.


~po.

Monday, May 21, 2012

Roda Roda (sebuah 'tribute')

Sembilan belas lapan puluh enam.

November.

Aku berkayuh ke pondok suratkhabar kira-kira 300 meter dari rumah kayu senget aku di Batu Buruk. Seingat aku, aku disuruh membeli suratkhabar untuk abang aku.

Tingkatan empat.

Cuti sekolah.

Ketika menarik satu naskah akhbar dari timbunannya aku terpandang sebuah majalah yang tergantung antara banyak-banyak majalah hiburan yang dipamerkan pada tali-tali melintang yang menutupi ruang hadapan pondok tersebut.

Gambar hadapannya sangat ringkas. Sebuah superbike warna merah darah dari jenama Kawasaki diletakkan di sebuah jalan tandus dengan lalang menguning dan berlatarkan bukit bukau dari kejauhan sayup pandangan.

Majalah tersebut walau ringkas tetapi menonjol antara puluhan majalah hiburan yang memaparkan artis di muka hadapan.

Aku melihat harga dan menyeluk poket. Ada lebihan dari wang suratkhabar pemberian abang aku dan jika dicampur sedikit dengan duit poket utk sekolah yang masih bersisa. Aku mampu membelinya.

Aku pun sudah lupa harganya ketika itu.

Sebuah majalah berbahasa melayu yang dibuat khusus untuk peminat dan penggemar jentera dua roda dan dinamakan Roda-Roda.

(gambar diambil daripada sumber : Retro Malaysian Riders - penama: Classic Racing)

Semenjak hari itu, aku tidak pernah lupa untuk menjenguk pondok akhbar berdekatan dengan rumah aku pada setiap awal bulan untuk membeli dan menatap majalah Roda-Roda itu.

Di zaman itu, cerita Azura pernah meletup di panggung-panggung.

Bagi seorang anak berusia enambelas tahun memasuki ke tujuhbelas tahun, majalah itu cukup untuk membuat aku bermimpi di suatu hari aku akan memiliki Kawasaki Ninja 900R milik aku sendiri. Cerita-cerita di dalamnya cukup membuai dengan kisah-kisah di perjalanan. Jauh dan dekat. Ada nasihat-nasihat berguna dan ada informasi yang penuh makna.

Suatu hari, mungkin. Aku akan menghirup teh panas di sebuah warung yang entah di mana dalam negara sambil melihat kenderaan lalu-lalang dan sesekali menjeling superbike milik aku yang diletakkan di hadapan warung. Keledar penuh muka dan sarung tangan kulit di atas meja. Jaket kulit dibuka hingga ke dada untuk membuang haba yang terkepung.

Alangkah.

Bila aku sambung belajar di Universiti di ibu kota, jika duit pinjaman pelajaran masih berbaki, majalah itu akan tetap aku beli. Poster-posternya menghiasi papan nota di depan meja. Kisah-kisahnya menjadi penyuntik semangat membara. Cerita-cerita di dalamnya membakar jiwa.

Aku pun mahu jadi biker!.

Ketika itu, aku masih dengan Honda Fame 90cc yang aku ibaratkan seperti Honda CBR 900.

Membaca kisah editornya, MYB yang pernah hidup diselubung dengan kemiskinan sehingga mengembara jauh untuk mencari rezeki dan balik ditangkap Polis kerana mencuri makan di rumah sendiri. Cukup mengesankan dan menginsafkan aku.

Betapa majalah yang bertapak dari satu pejabat kecil sehinggalah ke hari ini. Artikel-artikel pandu uji yang seakan menjadi panduan sekiranya aku mahu membeli sebuah superbike kelak.

Tapi, sehingga ke hari ini.

Aku cuma mempunyai 28 buah superbike yang aku letakkan di atas kaca di satu sudut ruang bilik aku di pejabat.





Superbike sebenar, aku tak pernah ada waima sebuah motor cub sekalipun, sekarang ini.

Paling besar motosikal yang aku ada sekarang hanyalah ini :-


Boleh dikatakan aku membesar dengan Majalah Roda-Roda dan menjadi tua dengan Majalah Roda-Roda.

Sebuah impian yang masih lagi menjadi mimpi.

Masih...

Semalam, ketika aku membelek-belek majalah di rak dalam sebuah kedai buku kecil di hadapan pejabat aku. Aku menarik keluar Majalah Roda-Roda dari celah-celah majalah yang lain untuk aku bawa ke kaunter pembayaran.

Aku terkedu seketika.

Tiada lagi gambar motosikal yang terkini dan tercanggih menjadi 'cover' hadapan majalah sebagaimana biasa semenjak 25 tahun yang lalu. Yang ada hanya gambar MYB dan tertulis 'Dalam Kenangan'.


Orang yang dipanggil Boss RR dalam lingkungan dunia permotoran telah pergi mengadap Ilahi.

Alangkah!


Aku pernah sekali bersua dengan MYB ketika pesta 'Convocation UIA' yang ketika itu di Petaling Jaya dan aku lihat MYB dengan seorang lagi sedang duduk di atas rumput di tepi padang sambil memerhatikan deretan Superbikes di tengah padang yang menjadi pameran.

Aku tak berani menegurnya.

Aku cuma ada Honda Fame.

Aku sedekahkan Al-Fatehah buat MYB semoga rohnya damai dan aman di sana sedamai laluan berselekoh di perbukitan ketika rembang senja dan deruman superbike itu semakin lama semakin menghilang di telan kegelapan.



Teman sebilik aku ketika di Universiti sekarang ini menjadi seorang juruterbang dan memiliki sebuah BMW 1200RT dan sebuah S1000RR ketika aku tanya; 'tak takut ke bawak 300km/j kat highway?'

'tak ada rasa apa-apa mate...' jawap dia.

Suatu hari nanti...

mungkin.

Suatu hari nanti...

bila hati sudah kering, barangkali.

~po.

Thursday, March 08, 2012

A Story 3

...

Pernahkah kalian melihat cerita-cerita di dalam kaca tv atau di layar perak?

Cerita perang, cerita penyiasat persendirian, cerita tentang kehebatan.

Kalau dulu, dalam kotak fikir aku. Aku akan memegang watak hero.

Dulu.

Sentiasa menjadi hero. Sentiasa mulia. Menang di akhir cerita dengan penuh gaya.

Kini.

Kalau kalian sesekali memberi fokus. Barangkali. Cuba perhati.

Ada watak-watak kecil menjadi penolong penjahat yang mati ketika hero cuba mendapatkan ketua penjahat.


Ditembak, dipukul, di 'karate', di tendang.

Sekali. Terus mati.

Aku menjadi watak-watak itu. Kini.

Life is short and death may sometimes be simple.

 Kata Nabi, orang yang paling pintar adalah orang senantiasa mengingati mati.

Ini muqaddimah cerita ini.

~po.

Wednesday, February 29, 2012

A Story 2

...

The story might be long.

Divided into sections, parts and non continuous plots.

I may paused for a short while, I may paused a long while.
I'm trying to rearrange all the phrases. I'm trying to dig the words.

I hope you will not stop listening.

for, I might not repeat myself.
I might not know how....

~po.

Tuesday, February 28, 2012

A Story.

...

I want to tell you a story.

I think I'm ready...

A story about me.

I hope that you will listen.

I hope...

~po

Monday, February 20, 2012

15 tahun berselang.

...

Hari ini, genap 15 tahun usia perkahwinan kami.

Melihatkan kau melangkah keluar dari balik tirai kamar lalu duduk bersimpuh di sudut ruang tamu.

Serba putih.

Serba cantik.

Memukau rasa memikat jiwa.

Aku masih terasa hangatnya tanganmu bersalaman dengan ku. Pertama kali dulu.

Dengan sekali lafaz kita bersatu di dalam dunia baru. Dunia yang hanya ada kau dan hanya ada aku..

...dan 15 tahun yang kita sama-sama harungi rasa bahagia, suka dan duka. Tawa dan airmata.

Setiap detik dan setiap ketika.

Aku sayang kamu dari mula kita bertemu sehingga nanti ke penghujung waktu.

Tidak terkurang walau sebutir pasir dan bagaikan angin yang bertiup, kasih kita akan kekal berpuput selama pasti di izinkan Ilahi.
InsyaAllah.

~po.

Kayuhan Terakhir Kali

...

Pagi Jumaat itu kami bersalaman tanda perkenalan.

Aku mengikut rapat dia dari belakang. Kayuhan yang tidak laju dan tidak terlalu perlahan. Sederhana.

Abang Mat kelihatan selamba sahaja berkayuh.

Kami menyusuri jalan-jalan melintasi Unisza lalu membelok ke jalan pantai Batu Rakit sehingga penghujung. Berhenti seketika di sebuah pondok beratapkan rumbia di tepi pantai sesambil melepaskan lelah. Bersembang berkenal-kenalan. Bertukar-tukar buah fikiran.

Setelah kami menyambung kayuhan, Abang Mat masih 'maintain' dengan kelajuan dia dan aku kadangkala tercungap mendapatkan nafas dan rentak untuk menyaingi beliau.

'Hebat orang tua ni..' hati berbisik.

Kayuhan pagi itu sejauh hanya 30 kilometer pergi dan balik.

Aku terus demam pada petangnya. Kaki aku sengal-sengal. Urat peha menegang-negang.

Minggu seterusnya aku turun lagi. Menyusuri jalan pantai bersama-sama Abang Mat sambil melihat ombak, pepohon kelapa, merasai bayu laut dan kami menjadi akrab.

Sangat akrab.

Tak lama, kami membuat keputusan untuk menubuhkan Kelab Berbasikal yang kemudiannya kami namakan KBC.

Kami mengajak tak kira siapa. Kami menjemput sesiapa sahaja. Asalkan mahu berbasikal dan mengikut cara selamat yang kami anjurkan dan kami amat titikberatkan.

Mulanya hanya sekadar berkayuh dalam satu kumpulan berempat atau berlima. Semakin hari semakin bertambah bilangan ahli. Ada yang hanya turun sekali dan serik tak turun-turun lagi. Ada yang menjadi pengikut setia saban aktiviti yang kami anjurkan.

Pada tahun awal 2011, kami menganjurkan kayuhan ke tasik kenyir yang jaraknya lebih kurang 60km tetapi cabarannya sangat hebat. Mendaki bukit yang sangat tinggi bagi kami tetapi kami berjaya atasinya dengan jaya.

Kami berkhemah di kawasan perkhemahan Tasik Kenyir di tepi air tasik yang hijau kelabu. Kami yang datang dari usia yang berbeza, pelbagai golongan dan berbagai latarbelakang.

Masih aku ingat dan aku rasa sangat teruja adalah setiap kali masuk waktu solat ketika berkhemah itu. Ada bilal yang mengalunkan azan. Ada imam yang mengetuai sembahyang.

Sesekali aku melihat raut wajah Abang Mat yang tampak sangat gembira. Misi kami berjaya. Aktiviti besar pertama kali kami menerbitkan rasa bangga.

Bilangan kami bertambah ramai dan ukhwah antara kami semakin serasi.

Ketika kami ramai-ramai menunaikan solat fardhu kifayah di ruang solat masjid Unisza, aku terasa seperti kembali semula ke waktu perkhemahan itu. Rasa hangat di jiwa dan rasa teruja dengan semua yang hadir adalah dari kalangan kami sendiri. Kami bersalaman dan kami berpelukan.

Cuma kali ini, Abang Mat terbaring kaku di hadapan kami. Kami yang berjemaah menyembahyangkan beliau sebagai perhormatan terakhir kali.

~po.

Sunday, February 19, 2012

kayuhan terakhir.

...

Awal 2009.

Ketika aku membuat u-turn pada satu malam itu, isteri aku lantas bertanya.

'nak ke mana bang?'

Aku diamkan.

Ketika aku memperlahankan kenderaan dan masuk ke laman di hadapan bangunan itu barulah isteri aku membuat muka meluat dia.

'patut laaa...ada kedai basikal rupanya.'

Aku masuk ke kedai dan bertanya serba sedikit dengan pemunya kedai yang baru sebulan dua membuka kedai basikal di kawasan tersebut.

Bersembang seketika di luar kedai kira-kira jam 10 malam, aku terpandang kepada satu poster kecil bersaiz A4 yang di cetak oleh komputer yang bertulis. "weekend ride, join us."

Aku bertanya; apa boleh aku turut serta?

Aku diberitahu; 'bang ...sebenarnya, kita baru nak buat group cycling, untuk start ni kita akan follow sorang bekas askar yang umur 50 tahun lebih. Dia tahu selok belok jalan kampung sekitar ni...gagah dia kayuh bang..saya pun kadang-kadang tak larat nak kejar dia..'

Setelah mengambil beberapa perincian tentang kayuhan pagi Jumaat, aku meninggalkan kedai basikal itu.

Pagi minggu seterusnya aku mengenali Abang Mat.

Abang Mat yang kami sama-sama simpan jasadnya selepas solat zohor di Pusara Bukit Kecil sebentar tadi.

~po.

Sunday, February 12, 2012

Seketika itu...

...


Kadang-kadang, bila aku berbasikal di pagi hari minggu atau petang yang syahdu.

Menyusuri ke segenap ceruk kampung, setiap denai hutan, jalan-jalan pesisir pantai, setiap anak sungai, bukit, parit, tali air dan batas-batas sawah.

Dalam kelelahan, otot peha yang menegang, dahaga yang terlampau, nafas yang tercungap...

mata akan menangkap satu pemandangan, keajaiban, keindahan ciptaan Tuhan.

Sebuah lukisan alam.

Seketika itu..aku mensyukuri nikmat Tuhan.

Satu detik ketenangan.

dan...sesekali aku berbisik.

'alangkah ...kalau kau ada di sini.'

~po.

Thursday, February 09, 2012

Rumah Kita

...

Sejak aku mula celik mata dan melihat dunia. Itulah rumah aku.

No. 723, Jalan Negara. Kuala Terengganu.

Sebuah rumah senget di tepi lembah pasir yang memutih. Pohon-pohon kelapa meninggi di sekeliling. Sebatang pohon tembusu rendang yang dililit dengan dahan-dahan pokok rotan yang menjalar. Akar-akar halus yang terjuntai dari hujung-hujung dahan.

Aku terlalu kecil dibandingkan dengan tumbuhan-tumbuhan di sekeliling aku. Ketika itu.

Rumah aku dibuat dari kayu dan beratap rumbia. Tiada pelan, tiada kemasan yang menarik. Dibuat oleh arwah ayah berperingkat seiring dengan pembesaran anak-anak. Keperluan yang mendesak.

Sebelum ada bilik mandi yang dilingkung dari keping-keping zink dan masih beratapkan langit,  aku mandi hanya di telaga 100 meter dari rumah ibu. Ada sepohon pokok kekabu yang dikatakan berhantu dan sepohon pokok kelapa sawit yang entah dari mana datang benihnya. Sepohon jambu batu yang berbuah kecil tetapi merah isinya.

Sebelum atap rumah digantikan dengan zink kerana atap rumbia rumah aku diterbangkan ribut Disember yang menggila, rumah aku boleh dikata 'cozy' sepanjang masa.

Selepas beratapkan zink, kalau bulan-bulan Mac sehingga Jun atau Julai, panas membahang sehingga aku tak betah berada di dalam rumah, lebih banyak di luar, di bawah lembah mencari belalang atau bermain pondok-pondok atau membina rumah di atas dahan pokok di belakang.

Rumah aku itu kalau di pandang dari jauh, seperti sebuah kapal korek. Saling tak tumpah dengan keadaannya yang memanjang ke bawah lembah serta papan dinding yang tidak sekata, tidak serona dan tidak mendatangkan rasa cantik di mata.

Tapi itulah rumah aku.

Di dalam rumah tiada hiasan, tiada lukisan atau tiada kemasan yang menarik sesiapa yang datang bertandang. Rumah aku hanya ada manusia dan keperluan hidup, bukan ada ruang untuk menjamu mata. Peti TV dari jenama SIONG itu sahaja yang menjadi punca tumpu. Itupun setelah lama aku terpaksa melihat tv dari celah-celah tingkap rumah jiran.

Bila petang, kami akan duduk di beranda kecil yang tiada kerusi, tiada meja dan tiada apa-apa. Hanya kami berborak dan melihat ke luar ke arah masa depan yang entah bagaimana.

Kalau baik nasibnya, aku akan disuruh beli goreng pisang di lorong jauh untuk kami nikmati bersama-sama di beranda bersama seteko teh O.

Kalau aku ingat-ingatkan, tiada apa pun yang ada di rumah aku itu.
Langsung tiada.

Tapi rumah itulah segala-galanya.

Setiap langkah bermula, setiap detik tercipta, setiap titis air mata, setiap kembara yang bagai tiada hujungnya.

Di situ bermula.

…dan rumah itu sudah tiada lagi. Dirobohkan demi pembangunan.

Lantas,di setiap rumah yang kita huni.

Ada ceritanya, ada permulaannya.

Ada sejarahnya.

Walau buruk, walau tiada apa-apa.

Walau hanya ada kita, kerana kita adalah permulaan segala cerita
...selagi kita ingat pada Dia sentiasa.

~po.

Thursday, January 26, 2012

1982

...

Arwah ayah untuk kali ke berapa entah, membawa aku ke Stadium keramat kami, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Petang yang masih berbahang.

Dulu, perlawanan bola sepak diadakan pada petang hari melainkan pertandingan akhir yang dilangsungkan di Stadium Merdeka pada sebelah malam. Mungkin, lampu limpah belum lagi dipasang di stadium kami.

Aku duduk di barisan paling bawah. Sengaja. Terasa lebih dekat dengan pemain. Dulu, tak kisahkan corak permainan atau gaya, yang penting gol dan susuk tubuh pemain yang menjadi impian.

Aku pun lupa ketika itu pasukan Terengganu menentang pasukan negeri mana tapi di padang yang berdebu itu aku melihat kelibat C. Nadarajan, penyerang utama Terengganu ketika itu sedang mendapat bola dan melarikannya ke pintu gol lawan.

Hanya beberapa meter sahaja dari mata aku.

C. Nadarajan atau Cikgu Rajan dihalang oleh pemain pertahanan dan beliau rebah di atas padang. Tiada gol dapat dihasilkan.

Debu berterbangan.

Penonton bersorak gegak gempita. Mungkin meluahkan rasa kecewa.

Aku memekik "Rajan!!! Rajann!!" dari sebalik jaring-jaring besi penghadang.

Penyerang utama Terengganu, C. Nadarajan bangkit lalu berpaling dan melambai kepada aku.

Aku senyum.

..sampai esok hari.

Pada usia 12 tahun, seorang pemain bolasepak pujaan yang telah menjaringkan banyak gol kepada pasukan negeri telah melambai kepada aku.

Sesuatu yang harus aku ceritakan kepada rakan-rakan di sekolah. Mesti.


Pada tahun itu, 1982; pasukan Terengganu layak ke Final Piala Malaysia di Stadium Merdeka. Aku terlalu kecil untuk pergi menyaksikan sendiri di Kuala Lumpur. Hanya melihat penuh debar dari kaca TV.

Melihat betapa gagahnya benteng pertahanan yang diterajui oleh Kapten Yahya Jusoh, di kekang baik oleh Allahyarham Zakaria Musa atau ketika itu lebih dikenali sebagai Pok Cer.

Melihat betapa bahagian tengah yang cukup kreatif dan bijak diketuai oleh Allahyarham Ahmad Syawal. Melihat betapa kelakarnya permainan yang ditunjukkan oleh Allahyarham Nasir Jalil tetapi tetap berbisa dengan larian-larian menggila sehingga digelarkan sebagai kuda gila.


Allahyarham Nasir Jalil pernah tiba-tiba berlari meluru keluar sehingga ke luar padang dan masuk ke bilik persalinan ketika perlawanan sedang berlangsung tanpa menghiraukan pengadil dan selepas seketika meminta izin masuk semula. Rupanya beliau pergi membuang air kecil. Satu stadium Sultan Ismail bingit dengan gelak ketawa.

Nama-nama lain seperti penjaga gol Zulkifli Ismail yang amar gemar terbang melayang sambil libasan kakinya akan menggerunkan penyerang lawan.

Zulkifli Hamzah, penyerang prolifik. Abdullah Ali yang baru kembali dari pasukan Selangor, pakar sepakan 'inswinger'. Norzaidi, Mohd Nik, Syed Muttalib dan nama-nama besar yang lain.

Sebahagian mereka sudah kembali ke rahmat Allah.

Mereka bermain tanpa mengira untung, tanpa mengira imbuhan. Mereka bermain atas rasa cinta mereka kepada sukan itu, bolasepak. Mereka berlari dengan ikhlas.


Mereka memercikkan peluh demi kerana nama dan maruah.

Pernah aku ketika itu, ketika hampir Maghrib, di padang tandus di tepi sebuah jalanraya sedang menunggu sepakan dari rakan sepermainan aku, Yusri. Berbaju lengan panjang putih tanpa jenama dan sarung tangan kain, aku bersedia. Yusri menendang dan aku melompat tinggi sambil menolak bola melampaui palang gol yang kami buat dari batang buluh. Aku berjaya menyelamatkan dari satu jaringan.

Tetapi malam itu, aku menitiskan airmata bila Abdul Muin dari Selangor menanduk masuk satu-satunya gol di perlawanan akhir itu dan pasukan Selangor menjadi Juara Piala Malaysia edisi 1982.

Hari ini, aku menulis di 'wall facebook' C. Nadarajan dan aku ungkitkan kisah kenangan aku. Aku ucapkan terima kasih atas lambaian satu ketika dahulu.

...dan Cikgu Rajan membalas, berterima kasih kerana masih mengingati dirinya.

Aku senyum.

Aku kembali menjadi budak umur 12 tahun itu.

Terima kasih Cikgu Rajan.

Terima kasih.

~po.~ ketika Azan Maghrib berkumandang di padang tandus, tepi Jalan Negara, Kampung Batu Buruk mengebas-ngebas pasir yang melekat pada baju lengan panjang tanpa jenama, menguis-nguis bola getah dari dalam semak dan bermimpi di satu hari nanti aku akan jadi pemain sehebat Zulkifli Ismail atau Goalie Mamat.