Monday, May 21, 2012

Roda Roda (sebuah 'tribute')

Sembilan belas lapan puluh enam.

November.

Aku berkayuh ke pondok suratkhabar kira-kira 300 meter dari rumah kayu senget aku di Batu Buruk. Seingat aku, aku disuruh membeli suratkhabar untuk abang aku.

Tingkatan empat.

Cuti sekolah.

Ketika menarik satu naskah akhbar dari timbunannya aku terpandang sebuah majalah yang tergantung antara banyak-banyak majalah hiburan yang dipamerkan pada tali-tali melintang yang menutupi ruang hadapan pondok tersebut.

Gambar hadapannya sangat ringkas. Sebuah superbike warna merah darah dari jenama Kawasaki diletakkan di sebuah jalan tandus dengan lalang menguning dan berlatarkan bukit bukau dari kejauhan sayup pandangan.

Majalah tersebut walau ringkas tetapi menonjol antara puluhan majalah hiburan yang memaparkan artis di muka hadapan.

Aku melihat harga dan menyeluk poket. Ada lebihan dari wang suratkhabar pemberian abang aku dan jika dicampur sedikit dengan duit poket utk sekolah yang masih bersisa. Aku mampu membelinya.

Aku pun sudah lupa harganya ketika itu.

Sebuah majalah berbahasa melayu yang dibuat khusus untuk peminat dan penggemar jentera dua roda dan dinamakan Roda-Roda.

(gambar diambil daripada sumber : Retro Malaysian Riders - penama: Classic Racing)

Semenjak hari itu, aku tidak pernah lupa untuk menjenguk pondok akhbar berdekatan dengan rumah aku pada setiap awal bulan untuk membeli dan menatap majalah Roda-Roda itu.

Di zaman itu, cerita Azura pernah meletup di panggung-panggung.

Bagi seorang anak berusia enambelas tahun memasuki ke tujuhbelas tahun, majalah itu cukup untuk membuat aku bermimpi di suatu hari aku akan memiliki Kawasaki Ninja 900R milik aku sendiri. Cerita-cerita di dalamnya cukup membuai dengan kisah-kisah di perjalanan. Jauh dan dekat. Ada nasihat-nasihat berguna dan ada informasi yang penuh makna.

Suatu hari, mungkin. Aku akan menghirup teh panas di sebuah warung yang entah di mana dalam negara sambil melihat kenderaan lalu-lalang dan sesekali menjeling superbike milik aku yang diletakkan di hadapan warung. Keledar penuh muka dan sarung tangan kulit di atas meja. Jaket kulit dibuka hingga ke dada untuk membuang haba yang terkepung.

Alangkah.

Bila aku sambung belajar di Universiti di ibu kota, jika duit pinjaman pelajaran masih berbaki, majalah itu akan tetap aku beli. Poster-posternya menghiasi papan nota di depan meja. Kisah-kisahnya menjadi penyuntik semangat membara. Cerita-cerita di dalamnya membakar jiwa.

Aku pun mahu jadi biker!.

Ketika itu, aku masih dengan Honda Fame 90cc yang aku ibaratkan seperti Honda CBR 900.

Membaca kisah editornya, MYB yang pernah hidup diselubung dengan kemiskinan sehingga mengembara jauh untuk mencari rezeki dan balik ditangkap Polis kerana mencuri makan di rumah sendiri. Cukup mengesankan dan menginsafkan aku.

Betapa majalah yang bertapak dari satu pejabat kecil sehinggalah ke hari ini. Artikel-artikel pandu uji yang seakan menjadi panduan sekiranya aku mahu membeli sebuah superbike kelak.

Tapi, sehingga ke hari ini.

Aku cuma mempunyai 28 buah superbike yang aku letakkan di atas kaca di satu sudut ruang bilik aku di pejabat.





Superbike sebenar, aku tak pernah ada waima sebuah motor cub sekalipun, sekarang ini.

Paling besar motosikal yang aku ada sekarang hanyalah ini :-


Boleh dikatakan aku membesar dengan Majalah Roda-Roda dan menjadi tua dengan Majalah Roda-Roda.

Sebuah impian yang masih lagi menjadi mimpi.

Masih...

Semalam, ketika aku membelek-belek majalah di rak dalam sebuah kedai buku kecil di hadapan pejabat aku. Aku menarik keluar Majalah Roda-Roda dari celah-celah majalah yang lain untuk aku bawa ke kaunter pembayaran.

Aku terkedu seketika.

Tiada lagi gambar motosikal yang terkini dan tercanggih menjadi 'cover' hadapan majalah sebagaimana biasa semenjak 25 tahun yang lalu. Yang ada hanya gambar MYB dan tertulis 'Dalam Kenangan'.


Orang yang dipanggil Boss RR dalam lingkungan dunia permotoran telah pergi mengadap Ilahi.

Alangkah!


Aku pernah sekali bersua dengan MYB ketika pesta 'Convocation UIA' yang ketika itu di Petaling Jaya dan aku lihat MYB dengan seorang lagi sedang duduk di atas rumput di tepi padang sambil memerhatikan deretan Superbikes di tengah padang yang menjadi pameran.

Aku tak berani menegurnya.

Aku cuma ada Honda Fame.

Aku sedekahkan Al-Fatehah buat MYB semoga rohnya damai dan aman di sana sedamai laluan berselekoh di perbukitan ketika rembang senja dan deruman superbike itu semakin lama semakin menghilang di telan kegelapan.



Teman sebilik aku ketika di Universiti sekarang ini menjadi seorang juruterbang dan memiliki sebuah BMW 1200RT dan sebuah S1000RR ketika aku tanya; 'tak takut ke bawak 300km/j kat highway?'

'tak ada rasa apa-apa mate...' jawap dia.

Suatu hari nanti...

mungkin.

Suatu hari nanti...

bila hati sudah kering, barangkali.

~po.

2 comments:

Anonymous said...

Saya pernah hantar gambar saya disamping motosikal (Wings apa ntah) ke ruangan berkenalan dalam majalah roda-roda thn 1993 kalau xsilap. Saya sahut cabran teman untuk hantar gambar saya berbaju sekolah disamping superbike besar giler. Itulah pertama dan last sekali saya membeli majalah roda-roda selalunya saya belek org punya je ke kedai punya? hahaha tak ingat.Saya pun dah lupa camner boleh terjebak ngan roda-roda ni. BTW saya seorang perempuan...

Anonymous said...

Itu pastinya Honda Gold Wings yang sememangnya seperti mother of all superbikes yang serba mewah dan besar serta serba canggih.

Thanks for reading...

~po.