Saturday, December 31, 2005

Seruan…

…

Pagi tadi. Di subuh hari. Aku sudah bergerak meninggalkan rumah bersama isteri.

Membelah hujan pagi menuju ke rumah kakak aku.

Sampai. Sumbat.Angkut. Bergerak semula.

Setengah jam. Sampai di lapangan terbang.

Daftar. Check-in. Masukkan beg-beg ke perut pesawat.

Ada pengumuman di corong pembesar suara meminta semua berkumpul.

Doa di bacakan.

Azan dialunkan. Berkumandang.

Abang ipar aku dan kakak aku mula berpelukan dengan anak-anak dia.Dengan mak aku. Dengan semua yang mengiringi mereka.

Air mata bercucuran.

Mereka berangkat menyahut seruan.

LabaikAllah hummalabaiq! Labbaikala syari kala kala baiq!....

Semua ditinggalkan.

…

Kakak aku tak pernah meninggalkan anak-anaknya, malah dia tidak pernah meninggalkan Semenanjung Tanah Malaysia. Apatah lagi menaiki burung besi yang gagah membelah awan.

Dia tidak pernah ke mana-mana.

Kini dia sedang menuju beribu batu dari rumahnya sendiri.

Aku teringat kepada satu kisah yang aku kurang pasti siapa pengarangnya, siapa penciptanya.

…

Seorang ibu sedang memerhatikan anak perempuannya bermain di taman sambil dia duduk di atas bangku memerhatikan dengan senyuman.

Di sebelahnya duduk seorang wanita yang juga memerhatikan anaknya bermain riang di taman.

Setelah beberapa lama, ibu tadi melihat jam dan memanggil anak perempuannya.

“sayang! Hari dah petang, jom pulang!..”

Si anak menoleh dan menjawab “kejap lagi Bu, lima minit lagi..” sambil terus bermain di atas buaian.

Si ibu tersenyum lagi dan menjawab “ okay..”

Setelah beberapa lama si ibu kembali memanggil anaknya untuk pulang.

Si anak yang sedang asyik bermain menjawab “sekejap aje lagi Bu, lima minit lagi..”

Si ibu tetap tersenyum dan mengiyakan permintaan anaknya.

Begitu jugalah berlaku beberapa lama kemudian sehingga mengundang kehairanan wanita yang sedang duduk di sisinya.

“Maafkan saya,nampaknya awak seorang emak yang penyabar.” Kata wanita tersebut.

Si ibu tersenyum seraya menjawab.

“dulu, saya tak ada masa dengan anak-anak. Saya wanita bekerjaya dan masa saya banyak dihabiskan dengan kerja dan mencari kesenangan. Bagi saya masa itu terlalu berharga untuk dibuang. Semuanya perlu mengikut jadual, mengikut aturan.Mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan pengasuh berbanding dengan saya.."

Dia menyambung.

“dulu, anak-anak takutkan saya kerana saya garang dan mereka harus mengikut setiap kata saya.”

Dia terdiam seketika dan melemparkan pandangannya jauh. Jauh ke hadapan.

“suatu hari, anak lelaki saya sedang bermain basikal di dalam taman perumahan kami dan apabila hari sudah petang, saya memanggil dia masuk.Sebagai anak yang patuh dan takutkan setiap arahan saya, dia mula berkayuh dengan cepat kerana takut nanti dimarahi…”

Dengan sebak, dia menghabiskan cerita.

“dia dilanggar oleh kenderaan ketika melintas jalan kerana bagi dia, dia perlu cepat dan perlu patuh setiap arahan saya. Dia meletakkan perkara-perkara lain dibelakangnya.”

“dia meninggal di situ juga. Di depan mata saya…”

“kini, saya sebenarnya tidak membazirkan masa lima minit saya tetapi saya mendapat lebihan lima minit untuk melihat anak saya bermain”

Anak perempuannya menghampiri dan si ibu menyeka air matanya serta mengelus rambut anak perempuannya.

“jom balik Bu..Nani dah puas main..”

Si ibu melemparkan sekelumit senyuman kepada wanita tadi yang tidak sempat mencari kata-kata lalu bangkit memimpin tangan anaknya. Berlalu.

….

Aku melihat kasihnya ibu tadi dan aku pasti masa yang dihabiskan dalam membesarkan anak-anaknya akan terbayang tanpa henti sepanjang perjalanan beliau ke tanah suci.

~Po.

u

Tuesday, December 13, 2005

Tiga Titik... :.

...

Salam dan terima kasih buat mereka yang memberi ungkapan dan ucapan hari ulang tahun aku.

Terima kasih.

...

Pagi tadi.Dalam kalut dengan anak-anak untuk dihantar ke rumah mak saudara mereka. Dalam kalut isteri bersiap-siap ke tempat kerja. Cuti-cuti sekolah begini, kami lebih senang dengan hanya satu kereta.Pergi dan balik bersama.

Tatkala aku mengambil kasut kerjaku, tatkala aku membelek-belek kulit hitam yang begitu lembut yang sering membaluti kakiku. Kasut yang jarang-jarang aku pakai, hanya untuk majlis-majlis tertentu.

Mungkin Tuhan mengasihani aku. Memberi hidayah kepada aku.

Sedang aku membelek-belek kulit yang dijahit di bahagian dalam. Aku melihat titik-titik yang banyak.Meremut.Halus.

Timbul was-was di dadaku. Titik apakah itu?

Aku merenung dan membuat kumpulan-kumpulan tertentu pada titik-titik itu.Titik-titik yang halus. Meremut.

Tiga titik bersegi tiga penjuru.

Seperti ini (:.)

Timbul keraguan dan ketidakpastian. Aku tak jadi memakainya dan menyimpan di dalam kereta.

Tadi. Tuhan hendak menunjukkan hidayahnya. Aku tersua seorang teman seperjuangan yang dulunya lama bekerja di Pejabat Haiwan.

Dia mengesahkan.

Kasut yang selama ini aku pakai.

Kasut yang selama ini aku sarungkan ke kakiku.

Kasut yang aku beli dengan harga yang boleh tahan mahal.

Kasut yang aku pakai hanya pada majlis tertentu.

.....bahagian dalamannya diperbuat dari kulit babi.

Babi betul pengeluar kasut ini!

....

Aku nak balik samak tangan-tangan dan kaki-kaki aku.

Babi betul!....


~Po. - maaf, aku terkasar bahasa.

Wednesday, December 07, 2005

Trans-Himalaya.

…

ahhh…

Besok sudah hari kedelapan bulan terakhir buat dua ribu lima.

Malam tadi, bagai malam-malam yang sama semenjak tiga atau empat minggu kebelakangan ini. Aku melangut di depan tv. Rangkaian dua.

Melihat dengan penuh minat. Mesin-mesin bagak beroda besar dan tinggi mengungguli jalan-jalan berbatu.Berkerikil. Menyusur laluan sempit bertanah merah. Menyongsang arus-arus deras sungai-sungai kecil. Gah, mencengkam jalan-jalan di pergunungan.

Ya, ekspedisi Trans-Himalaya anjuran dan kelolaan Petronas Adventure Team.Siaran tertangguh minggu demi minggu.

Mereka,peminat-peminat adventure yang gagah dan cekal. Bertarung dengan cabaran-cabaran alam.Bermula dari ibukota merentas laluan Indo-China, meredah jalan-jalan negeri China, Mendaki puncak Tibet sebelum mencecah Everest Base Camp setinggi 5486 meter dari aras laut.

Mereka, dengan kenderaan-kenderaan pacuan empat roda.Bertarung dengan AMS (altitude sickness atau Acute Mountain Sickness).Bertarung dengan kerosakan pada kenderaan.Satu cerita, satu pengalaman yang amat mahal.

Aku. Bermimpi. Aku mahu juga menjejaki gunung-ganang seperti mereka.Meredah cabaran.

Esok, hari ke delapan bulan terakhir buat dua ribu lima.

Genap usia aku ke tiga puluh lima.

Dan. Aku masih di sini. Bukan di puncak Kala Pattar, di kaki Himalaya.Malah, puncak Kinabalu pun masih belum kesampaian.

Aku harus bersedia. Aku harus bermula.

Cita-cita akan aku sematkan. Akan aku semarakkan.

Jadi, hari ini. Aku membuka pendingin hawa ke tahap yang paling maksima. Aku harus membiasakan diri ini dengan cuaca dingin sebagaimana Himalaya.Dan, untuk membuat simulasi udara nipis sebagaimana kemuncak-kemuncak yang tertinggi, aku penuhkan bilikku dengan asap-asap nipis yang aku sedut dari batang-batang tembakau lalu aku keluarkan dari paru-paru sendiri.

Lantas, aku tenggelam bersama gambaran-gambaran di kaki Himalaya.

Selamat hari jadi wahai sang pengembara malam.



~Po.

Thursday, December 01, 2005

Dulu. Aku Pernah Bermimpi.

…

Malam. Cahaya siang sudah lama melemparkan sinarnya ke hujung garisan.Hujan. Titis-titis yang gugur menimpa atap mengalunkan irama yang tenang. Mendamaikan.

Aku yang sedang duduk beriqtikaf di atas sejadah. Membaca surah-surah hadiah buat arwah.

Melihat. Dua anak kecil yang sedang menghirup tauhu di dalam mangkuk di meja makan.

Terukir sekuntum senyuman.

Fikiran ini jauh melayang.

Aku pernah mendambakan satu kehidupan. Punyai cita-cita. Punyai impian dan aku pernah bermimpi.

Ya. Dulu. Aku pernah bermimpi.

Aku pernah bermimpi bahawa aku bekerja menghadap kertas dan pena berdakwat halus.Tajam.Meneroka imaginasi di setiap ruang. Melakar keluk dan garisan.Sebelum permohonan aku untuk pengajian ditolak tanpa sebarang jawapan.

Aku pernah bermimpi yang aku punyai seorang suri yang ketika itu, diingat siang dan malam. Sebelum aku ditinggalkan.

Aku pernah bermimpi yang aku ini menghuni kota besar metropolitan. Menjadi warga yang menongkah cabaran.Hidup disinari lampu neon begemerlapan. Sebelum aku hilang punca apabila semua tempat latihan yang aku pohon dijawab ‘don’t call us, we’ll call u’. Ringkas dan senang.

Aku pernah bermimpi macam-macam. Sebelum aku bangkit disuluh cahaya siang.

Melihat dari satu sudut ruang. Adik, anak yang kecil mengangkat ibu jari kanan menunjukkan isyarat bahawa tauhu yang disuap, sedap di makan.

Tatkala itu, mimpi-mimpi aku lebur.

Aku sudah punyai lebih dari segala yang pernah aku impikan.

Terima kasih Tuhan.

~Po.