…
Selama dua minggu dia berlatih dengan penuh gigih.Latihan demi latihan dilaluinya secara intensif. Kritikan demi kritikan diterimanya secara membina. Dia menghafal, dia melatih gerak dengan keazaman yang tebal.
Pagi itu, dia bangkit dengan penuh debaran.Bersiap-siap dan mengharap.
Apakah dia mampu melakukannya dengan tanpa silap?.
Tiba di stadium, orang ramai mula memenuhi ruang. Dia di bawa berkumpul dengan para pelajar yang lain.Terlihat debaran yang memuncak. Getar-getar di wajah terlukis tatkala dia dipimpin ke satu sudut tempat.
Menuju puncak.
Khalayak menunggu penuh sabar. Satu demi satu pelajar menaiki pentas dan membuat persembahan. Menyampaikan apa yang selama ini menjadi latihan. Inilah masanya, inilah ketikanya.Semua mahu membuktikan bahawa merekalah juara.
Semua pelajar mempersembahkan persembahan yang terbaik. Semuanya hebat dan menerima tepukan bergemuruh dari setiap penjuru stadium.Lampu-lampu sorot bergemerlapan menyuluh pentas yang suram.
Tiba gilirannya. Kami merasa getarnya. Kami berdoa agar dia kuat dan bersemangat. Sebentar tadi, kami melihat ada pelajar yang tewas dengan kegugupan dan ketakutan badi pentas yang meragut seluruh kudrat.
Dia melangkah ke pentas dengan gagah. Terpancar satu keazaman yang kental. Pentas bukan tempat untuk dia rebah.
Suaranya lantang dan jelas.Gerakan-gerakan yang dihafalnya selama ini mengalir bagaikan air. Semuanya lengkap tanpa silap.Kami bertepuk dan bersorak.
Kami tersenyum bangga dan dalam doa ada mengharap.
Ketika dia melangkah turun dari pentas, kami seakan mahu berlari dan mendakap.
Dia kebanggaan kami, dia titik tumpu kami.Tunas kasih yang bersemi.
Lama menanti dan keputusan dibacakan.
Dia tewas di tempat keempat. Bukan yang pertama dan bukan juga yang kedua.

Apabila selesai sayembara, dia melangkah ke pentas menerima hadiah saguhati berupa sehelai tuala dan sebuah medal untuk pertandingan 'choral speaking' peringkat negeri mewakili sekolah tadika.
Kami berpimpinan melangkah ke arahnya beriringan dengan si adik yang berteriak nama kakak sepanjang-panjang pertandingan.
Bersama-sama kemudiannya, kami mengorak langkah pulang dengan dia memimpin tangan si adik sambil menggenggam medal saguhati.Menyusur dan mengelak khalayak yang sesak bersama bangga di hati.
Tidak segaris pun terlukis kekesalan bila dia tidak menang.Mungkin dia belum mengerti atau mungkin kemenangan tak akan membawa apa-apa erti.Yang pasti, dia telah melangkah gagah di atas pentas.Dia tidak tewas.
Dia tidak pernah tewas.
Kami mahu dia tahu yang dia tetap juara di hati kami. Selamanya.
~Po -
Dia terlena keletihan di ribaan aku tatkala Faizal menyanyikan lagu-lagu kemenangan di Akedemi Fantasia. Tahniah Faizal!.