Sunday, December 09, 2007

Angka/Ungka

...

Kata orang, bila tumbesaran fizikal seorang manusia itu terhenti, umur hanyalah angka.

Semalam, umur hanyalah angka.

Hari ini, umur adalah angka-angka yang berganda!

Happy Birthday Po.

Sesungguhnya kau adalah manusia yang istimewa. Sebagaimana manusia-manusia selainnya.

~Po - tapi Po, adakah manusia selainnya mempunyai Nokia Siri E90 yang baru (yang mempunyai capaian Tiga G)? he he

Wednesday, December 05, 2007

Segmen Dua

...

Jam sudah menunjukkan pukul dua belas setengah. Tengah malam.

Aku dan Sya masih duduk-duduk di atas kerusi rotan. Berbincang tentang projek kemasyarakatan yang sedang direncanakan. Angin berhembus perlahan dicelah-celah perbukitan.

Ruang antara blok asrama itu selalunya menjadi tempat perbincangan atau sekadar pusat bersembang. Salah satu acara kehidupan di kampus yang sentiasa bergerak dalam rentaknya yang tersendiri.Kerusi-kerusi rotan tidak tersusun memanjang dan bantal-bantal alasnya bertaburan.

Hanya tinggal kami berdua, penghuni asrama yang lain sudah entah ke mana.

Aku dan Sya masih rancak berbincang. Atau, ikhlasnya.Kami bersembang tentang perkara yang bermacam.

Ustaz Khalil yang merupakan pensyarah subjek Undang-Undang Islam Fakulti aku merangkap Timbalan Pengetua Kolej tiba-tiba muncul dari arah belakang sambil menjinjing sebuah fail biru. Melangkah di tengah-tengah ruang itu.

Aku memberi salam.

"Assalamualaikum Ustaz.."

"Wa'alaikumusallam Shukri.." balasnya.

Ustaz memang kenal aku.Sebagai pelajarnya dan sebagai penghuni asrama yang aktif dalam program-program yang dirancang.

Tiba di penghujung ruang, Ustaz berpaling kepada kami.

"Err..Shukri, tak guna lampu kan?" tanyanya. Atau, hanya sekadar berkata-kata tanpa menunggu aku menjawabnya.

Ustaz Khalil memadamkan lampu-lampu yang menerangi seluruh ruang itu tanpa bertanya apa-apa.

Gelap.

Gelita.

Aku dan Sya bangkit dan pulang ke bilik kami masing-masing di blok yang terasing antara keduanya.

Tiada sambungan pada cerita kami.Hanyalah kegelapan menyusuri setiap ruang yang kini tinggal sepi.

Nama-nama yang tertera adalah semata-mata rekaan.
~Po.

Tuesday, November 13, 2007

Segmen

…

Kuliah subjek Malaysian Legal System pada petang Jumaat itu amatlah membosankan.Mata tumpu aku sudah tidak mampu untuk memberikan fokus yang sebagaimana biasanya.

Lantas, di celah-celah catatan-catatan kuliah aku melakarkan sebuah wajah. Gadis manis bertudung cerah. Selang beberapa baris dari cerun dewan kuliah.

Dia membetulkan kacamatanya beberapa kali dan turut melurut masuk anak rambut yang terkeluar dari sisi tudungnya. Mungkin, terasa ada mata yang menjamu halwa.

Lakaran itu terlukis dan kekal di helaian nota aku. Seorang teman mencuit bahu dan berbisik.

‘kau berkenan? Aku boleh usahakan.’

Aku hanya tersenyum. Mengiyakan tidak, menolak pun tidak.

Aku berkirim salam beberapa kali. Beberapa kali tidak mendapat sambutan.Kekal diam.

Yanti.

Setelah lama, aku mendapat berita. Dia sudah berpunya. Temannya bukan sebarang, anak saudara seorang Ketua Menteri.Ada kereta.Jurusan Sastera di universiti yang sama.

Tenggelam.

Sesuatu yang tidak pernah bermula tidak seharusnya membawa apa-apa rasa kecewa.

Sehingga suatu hari…

Seorang teman yang menyewa di Brickfields datang berkunjung ke asrama aku.

“kau kenal Yanti? Budak Law tahun dua..?”

ya.kenal.kenapa?

Teman mula bercerita.Betapa. Yanti itu mula tinggal bersama dengan teman lelakinya di dalam satu bilik di rumah sewa.Menjengkelkan rakan-rakan serumah sewa dengan kelakuan yang terpalit noda.

Aku bagaikan tidak percaya.

Bukankah dia bekas pelajar sekolah agama?

Ah.Manusia boleh berubah sekelip mata.

Percaya atau tidak.Itu hakikat. Aku mulai jarang melihat dia di kuliah. Dia semakin hilang di celah-celah kehidupan mahasiswa yang penuh suka duka. Bagaikan lagu dari filem Ali Setan.

Semakin hari, dia semakin tiada. Di mata, di dalam jiwa.

Sehinggalah di suatu hari.

Sedang aku berjalan masuk ke Fakulti dari tempat letak motosikal di bawah redup mentari pagi.Menyandang beg dan membimbit topi keledar.Aku melihat dia, diiringi mungkin ibu dan bapanya.Berjalan pergi.Ke kereta.

Kami berselisih, dia menundukkan muka.Hati tertanya-tanya.

Sedang selangkah dua aku menghampiri koridor sebelah Mahkamah Moot, Fakulti Undang-Undang. Kaki terhenti.Sendiri.

Entah kenapa, aku berpaling.

Saat itulah aku menangkap anak matanya yang turut sama berpaling.

Kami berpandangan.Seolah menghimbau segala kenangan yang tidak pernah ada. Seolah membayangkan apa yang seharusnya kami rasakan bersama. Seolah menjawab semua salam yang tiba-tiba hilang ditelan masa.

Aku melangkah ke depan semula.

Itulah kali terakhir aku melihat dia.

Ketika tahun akhir, aku mendapat berita.

‘Aku jumpa Yanti bekerja di kedai gambar Sungai Wang Plaza’

Ah!.Hidup ini terlalu banyak cerita.Terlalu banyak dan aku tak mampu untuk menghabiskan kesemuanya.

Lantas, aku biarkan sahaja pandangan mata terakhir suatu ketika dahulu menjadi epilognya.

~Po.

Thursday, October 25, 2007

Tengkujuh Tiba Lagi...




Seminggu ini, hujan berlagu dari awan yang kelabu. Sudah hampir seminggu langit tidak membiru.

Kata orang-orang tua, kalau hujan melebat di malam Jumaat maka ia akan berterusan sehingga bertemu Jumaat yang lagi satu.

Malam-malam menjadi dingin bak salju.

Pokok-pokok menghijau dan rumput-rumput mula menjalar.

Kenangan terusik dan jejak-jejak catatan lalu menghimbau.

Hujan-hujan sebegini. Muhasabahkan diri. Apa yang datang dan siapa yang telah kembali.

Untuk apa kita berdiri dan apa lagi yang hendak di cari.

Hujan-hujan sebegini.

Marilah kita mencari hakiki.

~Po.

Thursday, October 18, 2007

Ayahku Dan Angkasawan

...

Ada satu cerita dari ayahku
Kisah pengalamannya bertemu dengan
Seorang angkasawan yang baru pulang
Setelah menjelajah bulan dan bintang

Sambil menunjuk ke arah cakerawala
Dan berkata sungguh indah
Tiada hipokrasi tiada korupsi
Tiada peperangan tiada benci

Menurut cerita darinya lagi
Mereka hidup berharmoni
Begitulah dunia di sana
Dan Ayah pun melihat sekitarnya lalu berkata

Sawah ladang ini
Adalah hidup dan milik kita
Di mana-mana sama saja
Kerana kebahagiaan
Letaknya di jiwa sendiri
Oh Angkasawan
Oh Ayahku

la la la la
la la la la la la la la

la la la la
la la la la la la la la

ayahku dan angkasawan
kembara


~Po - la la la la la lagu ini semakin dinyanyikan, semakin relevan sekarang.
Click imeem di bawah untuk mendengar lagu ini.

Tuesday, October 09, 2007

eid

minal aidil wal faizin
maaf dzahir dan batin

~po & keluarga.

Thursday, October 04, 2007

Tangisan Aidil Fitri

…

Seorang teman mengambil tempatnya di sebelahku. Di dalam sebuah restoran makanan Siam di pinggir bandar.Bersalam-salaman dengan teman-teman lain yang mengelilingi meja bulat beralaskan kain alas bewarna merah darah ikan.

Nasi dan lauk-pauk sudah terhidang, aroma tom yam meruwap dan menusuk ke deria hidu kami.

Jam menunjukkan pukul 6.30 petang.

Masih ada setengah jam sebelum Maghrib menjelang dan azan berkumandang menandakan pengakhiran ibadah puasa untuk hari itu.

Kami bersembang tentang macam-macam. Tentang politik, tentang keluarga dan tentang apa sahaja. Bersulam dengan gurauan, bersimpul dengan sebuah persahabatan.

Sememangnya kami akan cuba untuk bersama-sama berbuka walau sekurang-kurangnya sekali dalam bulan Ramadhan di setiap tahun. Sebagai tanda persahabatan di samping cuba mengemaskini berita tentang keluarga masing-masing. Tentang anak-anak, tentang kerjaya dan cuba memberi jalan penyelesaian sekiranya terdapat apa juga masaalah yang mungkin menjadi halangan sepanjang perjalanan kehidupan.

Majlis yang sederhana itu sudah kami mulakan semenjak 6 tahun yang lalu.

Segala-galanya disebabkan oleh Adam.

Adam.

Adam yang telah membuka seluas-luasnya pengertian Puasa, pengertian Hari Raya dan pengertian sebuah kehidupan.

Enam tahun yang lalu, kami semua berkumpul seperti petang itu tetapi dalam suasana yang amat berbeza. Terlalu berbeza.

Kamal, seorang sahabat yang telah kami kenal semenjak bangku sekolah dan seorang kakitangan kerajaan yang serba sederhana. Di satu petang, pada enam tahun yang lalu, Kamal kami peluk dengan erat. Esak-esak tangisannya menggetarkan pelukan kami.Kami cuba menyabarkannya. Kami cuba untuk membawanya kepada pengertian takdir, kepada pengisian takbir.

…

Allahhuakbar Allahhuakbar Allahhuakbar Allahhuakbar

LailahaillAllah hu Allahhuakbar
Allahhuakbar walillah hillham.

Petang Hari Raya yang sayu. Teramat sayu, seolah-olah angin yang berhembus dijaringkan sendu.

Apabila kami semua duduk di bawah pohon mangga di hadapan rumahnya, berpusatkan seluruh deria kepadanya.Dengan luluh dia bercerita.

“kau tahu…tahun ini kami tidak pernah terlepas walau satu malam Solat Tarawikh. Dia yang terlalu beria-ia. Dia tak mahu walau diajak untuk keluar membeli-belah pakaian baru di malam hari kalau itu bermakna dia harus meninggalkan solat jemaah Tarawikh.”

Kami mengangguk dan menepuk-nepuk belakang Kamal. Cuba sedaya kami untuk menyabarkannya.

“Setiap kali aku dan Adam sampai di masjid, aku akan sorongkan kerusi rodanya terus sampai ke dalam masjid. Dia akan turun berjengket dan mengambil tempat biasanya di sudut kanan masjid.”

Airmata mulai berderai di pipinya. Sambil, dia meneruskan cerita.

“semua sudah kenal pada Adam..dan semua memberi ruang kepadanya untuk bersolat dengan kemudahan.”

“para jemaah sudah faham dan merasakan kehadiran Adam membawa seribu keberkatan dan sejuta keinsafan kepada mereka. Itu yang mereka ucapkan kepada aku setiapkali aku menyorong kerusi roda Adam untuk pulang setelah usai Solat Sunat Witir pada setiap malam.”

Bicaranya tersekat-sekat dan dia menyeka airmata.

“bila muazzin mengalunkan seru-seru memuji Nabi Muhammad dan para sahabat di antara ruang rakaat ….Allahummasolli’ ala saidina wa habibi’ina wa nabi’ina wa syafi’ina wa zukrina wa maulana Muhammad !.

“Adam akan turut menyeru nyaring, sehinggakan semua jemaah akan berpaling kepadanya dengan senyuman terukir di bibir-bibir mereka. Adam tidak pernah mengambil kisah tentang padangan-pandangan itu, senyuman-senyuman mereka itu.”

“dia hanya mahu mengabadikan dirinya pada Tuhan…”

Airmata kami sudah tidak tertahan lagi. Menitik deras membasahi bumi.

“Adamm..”

Kamal memekup mukanya dengan kedua tangannya sambil esakan mulai panjang.

“kau tahu, pagi tadi…Solat sunat Aidil Fitri…aku sedikit terlewat dan masjid kita pada tahun ini agak berbeza jemaahnya, jumlahnya ramai dan imarahnya menakjubkan.”

Kamal sudah mulai mendapat kekuatan untuk bercerita semula.

“aku tak dapat meletak kereta berhampiran dengan masjid, jadi aku mencari ruang di tepi pagar masjid. Selepas itu, aku keluarkan kerusi roda Adam…tapi kau tahu apa Adam cakap pada aku?”

Kami menggelengkan kepala kami dalam tunduk meredam kepiluan.

“Adam kata kepada aku…Ayah, Adam nak cuba berjalan sendiri kali ini… boleh tak? Adam nak jadi macam orang lain, orang lain tak ada bantuan untuk ke masjid, bukan ke setiap langkah kita ke masjid akan dikira dengan pahala Ayah?”

“aku hanya mampu mengiakan kata-kata Adam dan aku tak sanggup melihat dia berjalan sendiri. Kau bayangkan keadaan Adam kalau dia berjalan sendiri…”

Airmata Kamal meluncur lagi sederas airmata kami.

Adam adalah anak yang baru berusia sepuluh tahun dan cacat kedua kakinya semenjak dilahirkan. Dia hanya separas pinggang dan dia bergerak menggunakan kedua belah tangannya.

“aku tak sempat nak menghalang, dia sudah berjalan ke masjid…lepas aku simpan kerusi roda, dari kejauhan aku lihat dia dengan gigih bertatih dan debu menyapu-nyapu seluarnya.”

“pagi tadi, aku sebak bila khalayak yang berduyun-duyun ke masjid berhenti dari pergerakan, memberi laluan kepada Adam, Adam pula tak putus-putus mengucapkan salam. Semua memandang dengan senyuman seikhlas mentari pagi…sampai ke dalam masjid pun semua memberi jalan kepada Adam sehingga dia sampai ke saf terkehadapan”

“beri’ktiqaf beberapa ketika, Pak Razak Bilal memulakan Solawat dan Takbir Aidil Fitri yang mendayu-dayu…mikrofon di gilir-gilirkan untuk memberi peluang jemaah berlagu.”

Kamal meneruskan cerita.

“Di satu ketika, aku terkejut bila mikrofon dihulurkan kepada Adam…mungkin diniatkan untuk aku,aku yang berada di sebelah kanannya tak sempat nak mengambil mikrofon itu bila aku dengar Adam menggemakan takbir dengan suara sedikit terketar tetapi penuh keyakinan.”

“merdu suara Adam…”

Kamal sudah tidak lagi dapat mengawal dirinya. Dia menangis sungguh-sungguh.

“selepas itu…jemaah lain sudah tidak mahu menyambut mikrofon itu, Adam bertakbir sehingga ke akhir dan jemaah lain seperti aku, mereka mengalirkan airmata…” kata Kamal tersekat-sekat.

“Adam pulang dari solat sunat Aidil Fitri dengan senyuman hingga ke telinga dan semua jemaah menegur dia, bersalam dan ada yang tunduk memeluknya…”

“Hari ini adalah hari yang paling membanggakan aku….suaranya berkumandang ke seluruh alam maya…dan hari ini juga hari yang paling menyedihkan bila Adam tidak lagi bersama..”

…


Azan Maghrib berkumandang dari corong radio dan kami sama-sama membaca doa dan seterusnya berbuka puasa.

Kamal di sebelah aku, kelihatan tenang tetapi sekali sekala aku lihat dia seolah-olah merenung ke hamparan kejauhan.

Mungkin dia merindukan Adam.

Adam yang sedang damai menemui Tuhan.

Adam meninggalkan kita pada tengahari aidil fitri selepas dia mengalunkan merdu takbir dari corong suara di Rumah Allah. Adam menderita sakit spina bifida selain kecacatan fizikalnya.

Adam yang mendalamkan pengertian aidil fitri dalam dia bersemadi dan kami mencari hakiki.

~Po. - Selamat mencari Lailatur Qadar.

Sunday, September 23, 2007

…dan episod itu berakhir dengan jeritan-jeritan luka.

…



kalian tataplah wajah bidadari ini.

Bidadari yang membawa secangkir air di antara jutaan manusia yang dahaga dan tidak lagi berdaya. Berlari-lari di celah-celah kaki-kaki kita sambil bertanya, ‘Di manakah ibu? Di manakah bapa saya?’

‘saya membawa air untuk mereka hilangkan dahaga’.

Katamu…

Suatu hari, di padang Mahsyar kelak.

Bidadari inilah juga meruntun jutaan jiwa, merembeskan jutaan airmata tatkala melihat sekujur tubuh kecilnya disembahyangkan dan talkin di baca. Bidadari yang mencairkan sejuta sebak yang terkumpul di dada dengan kenangan wajahnya yang comel dan ceria.

Adik Nurin.

Sebulan yang lalu…

Semasa hilangmu, kami berdoa agar kau kembali.Kami menaruh harap kepada sesuatu yang belum pasti.Kami masih percaya lagi, anak sekecilmu bakal mengundang simpati kepada sesiapa sahaja yang memerhati.

Saat kau kembali.

Tubuhmu kurus, warnamu membiru, mukamu cengkung dan wajahmu berubah!

Alangkah!

..dan kau kembali tidak lagi bernafas.

Titis jernih merintih perih gugur berderai mengingatkan bagaimana kau menjerit, bagaimana kau menangis, bagaimana kau menggigil ketakutan…tak siapa yang mendengar. Tak ada siapa yang sedar.

…

Aku mahu termasuk di antara doa empat puluh yang diangkatkan di langit tatkala ramadhan membuka hijab.

Nurin Jazlin sudah pasti tempatnya di syurga. Dan kau! binatang…moga kau dihadapkan ke pengadilan. Mungkin tidak di dunia, jangan kau lupa…akhirat bakal menimbangkan neraca agar kau dihumban ke neraka!.

…

Kalian, ini bukan kali pertama kita mengalirkan airmata. Ini sudah kali ke berapa.

Kadang-kadang, ia terjadi hanya disebelah kita. Di sebalik pagar rumah kita. Di hujung mata kita sahaja.

Masyarakat kita semakin individualistik, semakin sakit. Keakraban kita semakin perit. Hubungan baik hanyalah plastik.

Kalian, mahukah kita menangis lagi bila layar memaparkan bacaan Al-Fatihah dengan visual pak imam yang tak tertahan sebaknya berselang-selang dengan gambar anak-anak kecil yang tidak berdosa, anak-anak kecil yang belum mengenal dunia, anak-anak kecil yang jiwanya masih bersih dari noda, anak-anak kecil yang berhak untuk bermain, bergelak dan ketawa kerana itulah wujudnya mereka!

Anak-anak yang kita dakap, kita belai dan kita kucup dahinya tatkala mereka memejamkan mata.

Mahukah kita menangis lagi?

…

Nurin Jazlin sedang tersenyum ketika ini, di sebuah padang yang terlukis indah. Bunga-bunga mekar saujana mata memandang dari sungai, gunung, batas dan sawah.

Damailah bidadari hati kami di sana.

Damailah…

Al-Fatihah.

~Po.

Tuesday, August 07, 2007

In The End...

Cerita Satu.
...

In the end...it's how you look at life that matters.

It's how that defines happiness.

Not who, not when and not even what.

...

Cerita Dua.
...

Do you really want to know why Saggitarians have this 'moody' syndrome all the time? ...and why Saggitarians would tend to hurt other people's feelings with the things that came out from their mouth?

Are you ready to accept the fact?

..because Saggitarians evaluate, re-phrase,self-examining and do the counter checking of what they want to say for a hundred of times before they speak.

..and when they speak; it's just a mere 5% of all the words in their minds. They have done talking.

and sometimes, it is better not talking at all.Far better, may be.For them.

May be.

I don't know. I'm a Saggie.

...
Cerita Tiga
...

Aku memaki hamun, menyumpah-menyeranah, berkata keji dan segala apa yang jijik yang terlintas di fikiran aku. Kuat. Dalam kereta yang berhawa dingin. Tertutup rapat. Radio bergema pekak.

...ketika aku sedang menunggu. Seorang wanita mendukung bayi yang baru beberapa hari melangkah masuk ke dalam kereta sambil suaminya yang baru menjadi seorang ayah menggendong beg-beg serta botol-botol air lalu memasukkannya ke dalam kereta.

Di kawasan letak kereta hospital.Di tepi pantai. Angin berhembus permai.

Sebuah van, tiba-tiba muncul entah dari mana terus membontoti kereta pasangan tersebut. Bersedia untuk berganti petak.Letak kereta.

Aku memaki hamun, menyumpah-meyeranah, berkata keji dan segala apa yang jijik yang terlintas di fikiran aku. Kuat. Dalam kereta yang berhawa dingin. Tertutup rapat. Radio bergema pekak.

Skrin kaca kereta aku diketuk orang.Tiba-tiba.Dari sebelah penumpang.

Aku menurunkan skrin.Kehairanan. Muka yang penuh persoalan.

"encik..saya nak keluar parking. Kereta saya di sana.Encik pusing dulu, saya tunggu."

Berlalu.

Aku berpusing tawaf tempat letak kereta.Menuju ke arah keretanya. Dia menunggu. Setiba aku, dia keluar petak berganti kereta aku.

Di kawasan letak kereta hospital.Di tepi pantai. Angin berhembus permai.

Aku mengangkat tangan tanda berterima kasih kepada kereta sukan bewarna putih.Penuh bertampal sticker.Beroda besar dan ekzos yang selebar upih.

"aahh..aku belum merdeka, nampak gayanya."

Berbisik.

...
Tamat.


~Po.

Thursday, August 02, 2007

Pasti.

...

Lewat malam tadi, aku menerima mesej pesanan ringkas.

'Sahabat kita, Nordin telah kembali ke Rahmatullah...semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya dan halalkan segala makan minumnya. Al-Fatehah.'

Pagi ini aku membalas.

'sakit apa?'

'kemalangan kereta...'

Mata fikir aku mula membuka lipatan.Helaian demi helaian memori.

Aku mula mengingati Nordin.

Terakhir kami bersua. Di zaman persekolahan. 20 tahun nan lalu.

..dan aku amat tidak suka mengingati sebegini. Tatkala wajahnya jelas terbayang di layar memori. Kau tahu yang kau tak mungkin akan bersua dia lagi.

Ianya memberikan satu perasaan halus dari dalam diri.Tak mampu aku ungkapkan di sini.

Mungkin, ini satu peringatan.

Nordin,

Semoga rohmu bersemadi dengan aman dalam iman.
Al-Fatehah.

~Po.

Monday, July 30, 2007

Catatan Perjalanan.

…

26.7.2007

8.15 pagi.Bertolak dari pejabat. Sebuah bas ekpress dan tiga buah kereta. Dimulakan dengan doa minta diberkati perjalanan olehNya.

“perjalanan ini, terasa sangat menyedihkan…sayang engkau tak duduk disampingku kawan..” – Ebiet G. Ade bernyanyi-nyanyi di dalam kereta.

3.30 petang. Tiba ke kemuncak. Masuk parking, tolak handbrake dan tekan-tekan brake…terus sampai ke lantai, tak ada sangkut-sangkut.Aku sangkakan brake aku panas.Intai di celah-celah tayar, minyak hitam berkubang. Sah, hos brake kereta aku bocor.Tak makan langsung.

Nasib baik sudah sampai ke tempat parking.Kalau kena masa naik tadi? Atau, kalau kena masuk turun nanti? Camana?. Syukur.Anak-anak sudah meloncat-loncat. Bapaknya pulak mengucap-ngucap.Alhamdulillah, Tuhan telah selamatkan dan rahmatkan kami sekeluarga.

Minta tolong dengan sorang Polis Bantuan, Alhamdulillah.Rupanya kat atas puncak ini ada bengkel. Dua mamat Melayu datang naik kereta.Ramah.

“Bang…kena bawak pegi bengkel la Bang..”

Okay..tapi kau bawak. Aku tak berani!.

“No problem bang..punggah dulu barang-barang naik bilik.”

Rombongan yang naik bas ekspress tiba di lobi Hotel.Isteri aku Check-In, aku ke bengkel.

“Hyundai maa? Kita tadak stock woo..kena tunggu order angkat naik..Bila mau balik?” - Tokei.

Lusa.

“Esok petang aaa lu angkat, boleh siap maa”

Ok.

Mamat Melayu tadi hantar aku balik ke Lobi Hotel.Aku lupa tanya nama dia.Dia bawa kereta naik di jalan melingkar-lingkar macam pejam mata. Mungkin dia dah terlalu biasa.

“sejak bila dok sini?” aku tanya.

“Sejak tahun '86 bang..jumpa bini pun kat sini bang…dah beranak pinak di sini”

oooo

Aku uruskan serba sedikit ahli rombongan yang masih check-in.Selesai.Aku ke bilik.Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala disumbatkan di bawah pintu. Disumbatkan dari luar.

Petang kami sekeluarga mencari keseronokan.Inikan Kota keriangan.

Ahli-ahli rombongan membawa diri masing-masing. Berbungkus. Sejuk!.

Lewat petang balik semula ke bilik.

Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala bergulung disumbatkan di bawah pintu. Disumbatkan dari luar.

Malamnya, sebagaimana rancangan.Kami makan malam di Café Hotel seberang jalan. Jam 7.30 petang sudah bersusun-susun kami masuk. Silap timing. Ramai orang, aku lupa yang kaum Cina makan malamnya awal.Tak pe, untuk malam esok, kita turun jam 8.00.

Usai makan malam, kami berjalan-jalan lagi.Mencari keriangan.

Masuk ke Rumah Salji atau sebenarnya bilik Freezer terbesar dalam negara.Anak-anak berguling, berlari meloncat dalam ‘salji’. Sikecil sudah hampir biru bibirnya tapi masih mahu berdukung dalam air batu. Aku peluk kemas, berkongsi sedikit haba dan duduk di atas bangku sambil gambar di ambil. Duduk pun terasa sejuk sekali, maklumlah poket semakin nipis.Tak mengapa, asal anak-anak gembira. Nak di bawa ke London, tak ada daya upaya lagi. Setakat ini.

10.00 malam. Kami pulang ke bilik.

Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala putih bergulung disumbatkan di bawah pintu.

Kami tidur lena dalam gebar tebal dan kabus di luar menusuk masuk ke dalam bilik kami dari jendela yang sedikit terbuka. Pendingin hawa semulajadi.

Pagi esok. Makan pagi di dalam bilik sahaja. Sengaja membawa bekal dari rumah. Makanan di kota ini sangat mahal! Berkali ganda bezanya. Mungkin, mengikut kadar ketinggian kaki dari aras laut. Mungkin.



10.30 pagi. 27.7.2007. Masuk ke dalam taman tema. Bersuka ria.Mesin-mesin berputar berpusing tak ingat dunia.Terjerit terpekik di mana-mana. Aku sekadar naik cawan berputar sahaja, temankan anak-anak bergembira.



Merasa naik kereta kabel yang sayup bergantungan.Turun dan naik semula. Sekadar melihat bumi Tuhan yang terbentang indah dan gayat yang bagai disiat-siat.
Mendiang Loga bernyanyi-nyanyi di dalam benak aku. “kehijauan, di saput awan, kau dan aku …dingin bayu membuat aku.. cuba merayu.Senyuman manis mu menggoda sukma…Di tasik biru.Seandainya kau rasa sayang…Katakanlah! usah diragu.Bagi ku bintang bergemerlapan…Tak seindah sinar mata mu.Untuk mu matahari… ku jadikan hantaran…Kasih ku pada mu.”


Lagu Rayuan Di Puncak Genting – Alleycats.

Petang. Hujan selebat-lebatnya. Sejuk menggigit sehingga ke hujung telinga.Aku balik ke bilik buat seketika, jamak dan qasarkan solat.

Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala putih bergulung disumbatkan di bawah pintu.

Lewat petangnya, kabus tebal memenuhi ruang dan meluapkan cermin-cermin kaca.



Anak-anak dan isteri masih di dalam. Masih melayan keriangan.

Aku menerima panggilan, mamat melayu yang aku lupa tanyakan namanya sudah menunggu. Aku bergegas ke Lobi Hotel semula. Terus ke bengkel.

“Dua latus lima puluh sajaa…ologinal maaa. Minyak brek wa sudah tambah woo..kena kasi buang angin dalam hos maa..itu hos oliginal, satu latus lebey woo.”

Tak bleh kurang?

“Ologinal maaa..”

Terbang dua ratus lima puluh di celah-celah kabus dingin.

Balik semula ke tempat anak-anak.

Menghampiri malam, kami balik ke bilik untuk bersiap ke makan malam di tempat semalam.Harapnya sudah kurang orang.

Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala disumbatkan di bawah pintu.

Kami keluar jam delapan.

Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala disumbatkan di bawah pintu.

Selepas makan, berjalan-jalan mengambil angin dingin sambil melihat panorama kotaraya Kuala Lumpur dari kejauhan dan neon-neon berkelipan bagai sebuah taman larangan.

Mendamaikan.

Jam menghampiri 10 malam dan anak-anak sudah keletihan.Letih dalam keriangan.Letih mengumpul kenangan.

Kami balik ke bilik.

Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala disumbatkan di bawah pintu.

Aku keluar jam 11.30 malam untuk turun berbincang dengan rakan-rakan pengurusan di kedai kopi dalam lobi hotel yang segelas kopinya bersamaan kopi untuk enam orang di warung depan pejabat aku. Tak apa, inikan kota keriangan.

Jam satu pagi. Aku mengheret kaki yang letih naik ke bilik.

Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala disumbatkatkan di bawah pintu.

Malam itu, kami tidur lena dalam gebar tebal berbungkus dan kabus di luar menusuk masuk ke dalam bilik kami dari jendela yang sedikit terbuka.

28.7.2007

Besoknya, rombongan bas pulang jam 10.30 pagi bertolak pulang menaiki kereta kabel dan bas menunggul mengikut rancangan jam 12.00 tengahari. Kami masuk semula ke taman tema sebab semalam, hujan. Tak sempat ke tempat Dinosaur.Tak apalah, asalkan anak-anak dapat mengumpul pengalaman.



Duduk di atas bot mengelilingi taman binatang pra-sejarah terasa nipis sekali.

Aku dan keluarga balik semula ke bilik untuk mengemas dan untuk check out jam dua belas.

Selang dua bilik dari bilik aku, aku lihat ada satu bilik. Tergantung notis ‘Do Not Disturb’ dan sehelai tuala disumbatkan di bawah pintu.

Kami bertolak selepas makan di Keriangan Bewarna Coklat (Merrybrown) jam 1.00 petang.

Menyusuri jalan berlingkar mengelilingi gunung dengan brek yang sudah mahu makan.Alhamdulillah.

Di pertengahan jalan pulang, kami singgah di Kuala Gandah, Pahang dan jam sudah sekitar 2.30 petang. Masuk ke Taman Pehilitan Pahang khas untuk memulihara Gajah (Elephant’s Sanctuary- Conservation Centre) dan baju kami ditampalkan dengan pelekat merah, gred B yang tertulis “tidak dibenarkan menaiki Gajah atau Mandi bersama Gajah”.

Hampa.

Selepas memberi makan gajah dengan pisang, tebu dan tembikai yang dihiris kecil dan setelah anak-anak aku ditegur supaya mengambil makanan HANYA dari dalam bakul plastik di depan (anak aku ambil dari bakul di belakang yang mungkin mereka khaskan untuk makan malam…mungkin).

Setelah membeli sehelai seorang t-shirt gajah. Kami bertolak pulang.



Tiba dengan selamat di rumah 10.00 malam. Keletihan.Alhamdulillah dan syukur kepadaNya yang memberkati perjalanan kami dan dihindarkan dari sebarang petaka malang.

Besoknya, tidur kami terbabas dan anak-anak tidak ke sekolah.

Petangnya, aku masuk ke pejabat dan baru aku tahu tentang bilik yang tergantung ‘Do Not Disturb’ dan terdapat tuala putih bergulung di bawah pintu disumbatkan ke dalam rupanya bilik ‘keras’ setelah ditanya kepada pekerja ‘house keeping’ yang sedang membersihkan bilik oleh salah seorang kakitangan aku yang anak kecilnya melalak sepanjang malam.

Dan ada juga terdengar jerit pekik seperti orang yang sedang naik ‘roller-coaster’ jam 2 atau 3 pagi dari arah Taman Tema.

Huh?

~Po.

Wednesday, July 18, 2007

…dan burung kakaktua Sikorsky itu akhirnya gugur.

…

Tiga puluh sembilan tahun usiamu
Sudah berjuta peristiwa hitam, hijau dan biru
Telah kau lalu

Tanpa penat
Tanpa rasa berat
Memutarkan sayap
Penuh kudrat

Kau bawa bersama
Anak-anak bangsa yang gagah perkasa
Terbang tinggi di angkasa
Menjulang nama
Menjaga sebuah negara

Dari konfrantasi yang maha hebat
Sehinggalah negara kekal berdaulat
Dari misi memburu musuh-musuh laknat
Sehinggalah ke operasi mencari dan menyelamat
Kau sememangnya hebat

Terlalu hebat
Sehebat sejarah yang tercatat

Tiga puluh sembilan tahun meniti hari
Misi bertukar operasi
Sikorsky bertukar Nuri
Seekor burung besi
Akhirnya mati

Dan

Tiga puluh sembilan tahun usia
Anak-anak bangsa yang gagah perkasa
Gugur bersama
Di tengah-tengah rimba
Di pinggir lebuhraya

Sebak-sebak di dada
Meruntun hiba

Bapak-bapak Menteri
Ketua-ketua turus angkatan tertinggi
Aku merayu dan merayu lagi
Burung Nuri telah lama terbang tinggi
Sejuta khidmat diusung bakti
Mungkin masanya tiba kini
Burung Nuri
Hinggapnya di bumi




Aku panjatkan Al-Fatihah buat Kapten Nor Azlan Termuzi, Kapten Noor Intan Asykeen Mohd Arof, Sarjan Udara Khusnizam Arrifin, Sarjan Udara Mohd Azmie Md Yassin, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad yang gugur demi pertiwi dalam Tragedi Nuri di kaki Gunung Bunga Buah, Karak pada Jumaat, 13 Julai, 2007 hanya berbilang hari dari ulangtahun ke –50 kemerdekaan bumi berdaulat ini.

Nama kalian akan terpahat di hati kami sebagai pejuang-pejuang yang terkorban demi maruah yang dijulang.

~Po.

Wednesday, July 11, 2007

Puisi

Di Satu Petang Hari Sabtu
…

Satu petang
Sabtu yang lalu

Di sebuah taman awam
Batu Buruk
Kuala Terengganu

Aku
Duduk-duduk di situ
Di atas bangku batu
Melihat anak-anak bermain buai laju-laju

Mereka ketawa gelak bergurau
Bagai dunia ini akan sentiasa hijau
Tiada seranting onak dan ranjau

Aku seraya
Lepaskan pandangan mata
Ke luas perspektif maya
Melihat keletah manusia

Dari satu sudut
Ada pasangan pinggang berpaut
Di bawah ranting pokok yang melendut
Memadu kasih sebiru air laut

Mahu sahaja aku merapati
Berbisik dari hati ke hati
Dan aku memberi ingatan berulangkali
Hakikat percintaan yang kalian alami
Hanyalah setitik dari makna cinta itu sendiri
Masih banyak yang tersembunyi
Jangan serahkan setiap inci
Kalau nanti betul-betul jadi
Kalian akan tahu juga nanti

Dari satu sudut di depan
Anak-anak muda belia satu kumpulan
Dengan motosikal bising mengalahkan suara ungka di hutan
Ke sana ke sini mengasah jalan
Bagaikan kambing tidak bertuan
Tiada arah tiada tujuan

Mahu saja aku menghampiri perlahan-lahan
Dan aku lempang setiap seorang

Aku dulu pernah muda
Aku dulu pernah memiliki jentera dua roda
Tapi aku bukan buat berlumba
Aku masih ingat pesan orang tua!

Dari tepi sudut terlindung
Sepasang warga emas duduk termenung
Kabur penglihatan
Pandangan terhalang

Pada agakan aku la kan
Melihat ke belakang
Kenangan yang ditinggalkan
Pengalaman yang tidak ternilai dengan wang
Lebih terang
Lebih mendamaikan

Kan Pakcik kan?

Sudut pandangan menyongsang
Jauh ke tepi pantai ombak berkejaran
Seorang gadis sedang melayan perasaan
Mungkin meratapi nasib yang malang
Pedih bukan kepalang
Bila diri ditinggalkan
Tanpa pesan

Mahu sahaja aku mengubati
Tapi aku batalkan niat yang suci
Aku masih sayangkan pipi aku ini
Dan aku mahu tidur dalam bilik kami
Bila balik ke rumah nanti
Aku faham benar jelingan berapi
Dari ‘member’ yang duduk bersama di sisi

Aku
Duduk-duduk di situ
Di atas bangku batu
Melihat anak-anak bermain buai laju-laju

Hari semakin menghampiri malam
Aku mahu memimpin tangan gebu yang dihalalkan
Melalui salam kemas Pak Imam
Dan tangan-tangan kecil yang bersilang-silang
Berebut-rebut kasih dan sayang
Kemuncak kasih sayup ke awan

Kalau ada umur yang panjang
Kita jumpa lagi di Sabtu depan.

~Po.

Sunday, July 08, 2007

Tangisan Nantaboga...

...

Aku menulis ini tatkala hujan merebas di bingkai kaca.Melurut perlahan dan jatuh berjalur-jalur bagai lekuk-lekuk nantaboga.

Seleret meninggalkan panta-panta jernih melekat di muka kaca beberapa ketika sebelum retai dan jatuh kembali.

Ahh..dingin-dingin sebegini.Aku kembali mengingati.
Dingin-dingin sebegini, lebih enak melihat kepulan ditelan pelangi.

Jauh menerobos dari daksina ke paksina syamali.

Bezanya menggantang asap antara dulu dan kini.

Dulu, seingat aku…sekotak duapuluh hanya dua ringgit lebih. Seawal ia meneroka paru-paru aku.

Kini, sekotak duapuluh sudah menjadi Ringgit delapan dan sen dua puluh.

Alangkah….


Glosari :-

Rebas – menitik
Nantaboga – sejenis naga (nantaboga origami?)
Seleret – panjang segaris
Panta – guli
Retai – retak
Daksina – selatan
Paksina – utara
Syamali – paling ke utara (kutub)
Menggantang asap - perbuatan yang sia-sia (ya..aku tahu, tak perlu ingatkan aku)
RM 8.20 – Sekotak rokok Mild Seven Lights Soft Pack.

Alahai…



~Po.

Wednesday, July 04, 2007

Tiada Secebis Niat...

...

Hunky customer triggers catfight

KUALA TERENGGANU: A man, who reportedly looked like a Bollywood actor, walked into a food court for a teh tarik and triggered a brawl among three women that left one woman scalded and another woman's T-shirt ripped open.

Several chairs and tables were damaged during the fight among the women at the outlet in Merega Beris in Kijal, Kemaman on Saturday.

The shocked man fled the scene.

It all began when the man walked in alone. Two women at two separate stalls immediately tried to get his attention and lure him over to their stalls.
When he stopped to speak with one of the women, her competitor, 21, became so incensed that she marched over to the woman, tore her T-shirt and accused her of being gatal and dressing seductively.

The other woman, 22, immediately grabbed a pan and splashed her attacker with hot water, scalding her.

The scalded woman's mother, 46, rushed to her daughter's aid, hurling chairs at her assailant, damaging tables and alarming the other customers, said state Deputy CID Chief Supt Khairi Ahrasa yesterday.

He said the scalded woman was now warded at the Kemaman Hospital.
Monday July 2, 2007 – The Star


...

Sumpah..aku cuma mahu minum teh tarik di situ. Aku tak berniat untuk menimbulkan sebarang kekacauan.

Salahkah aku?

he he he he

~Po.

Thursday, June 28, 2007

Selumbar



…

Kadang-kala, aku terasa seperti ingin menulis
Tentang hidup yang terguris
Tentang garis-garis
Yang terpisah antara luka dan pedih

Cuma, aku tak punyai kata-kata
Untuk aku melukiskan cerita
Lantas ia berlalu, laju
sederas waktu

Kadang-kala, aku terasa seperti ingin menyanyi
Lagu-lagu tentang sunyi
Tentang sepi yang bersarang di danau hati

Cuma, aku tak punyai melodi
Untuk aku melagukan puisi
Lantas nyanyian aku, sirna pergi bersama pelangi

Kadang-kala, aku seakan mahu menangis lagi
Tatkala terjaga dari mimpi-mimpi ngeri
Dunia yang penuh dengan tragedi
Hidup yang seakan-akan tak punyai erti

Cuma, aku tak lagi punyai air mata
Untuk dirembeskan setiap detik dan ketika
Lantas tangisan aku, melemaskan sisa-sisa rasa

Kadang-kala, aku seperti mahu bercerita
Tentang bahagia
Tentang saat-saat gembira
Dalam menyusur perjalanan yang sementara

Cuma, aku tak punyai pendengarnya
Bila semua saling mendabik dada
Bahawa mereka sahaja yang mampu mengecap nikmat dunia

Dan aku hanya seorang penglipur lara

Bagai selumbar
Tidak terasa ngilunya
Tidak terlihat hujungnya
Tapi ianya tetap berbisa
Menusuk jiwa

…dan aku masih tidak tahu bagaimana
untuk menyatakannya.

~Po.

Sunday, June 24, 2007

One Promise You Will Keep

...



...

"Nanti bila mak balik, mak bawa biskut banyak-banyak..adik jangan nangis ya.."

...

One promise.

A promise made 61 years ago.

Sixty one years ago to a five years old child.

...

Would you still be there?

...


Berita Minggu 24hb. Jun, 2007.
...

Reminds me of not to make promises that I couldn't keep.
Even, to a five years old.

...

Would she still be there...running towards me, smiling, laughing, once I opened the door..when i arrive home, after work?

"Bah..mana epal merah..Abah janji nak beli..malam tadi?"

The night before, trying to make her sleep, lying next to her, rubbing her back with her eyes shut.

She remembers...

yes, she remembered.

..and how can you possibly forget the frustrated face when you told her..

"aaaa..Abah lupa aaaa...."

~Po. ~ another personal entry and i bought her red apples on the next day...and i will not forget that smile.Never.

Thursday, June 14, 2007

HAPPY FATHER'S DAY...to me.

...

Yah...

Malam tadi, saya terima dua keping kad dan sekotak kecil hadiah (yang dibeli oleh menantu ayah) dari cucu-cucu ayah yang berbaris di ruang tamu.

Mereka malu-malu yah...



Sekurang-kurangnya yah..mereka tidaklah semalu saya mencurah rasa di suatu ketika.

Saya membuka dan membaca kad.Saya tersentuh yah...(dan mungkin saya harus membayar denda RM 50 itu yah..).



Mereka menulisnya sendiri yah. Dari hati. Dari rasa yang pasti.

Kalau saya mampu memutarkan masa, membalikkan ketika.

Saya akan tulis kad yang sama..ketika ayah masih ada.Ketika ayah masih hidup dan bernyawa.

Saya mahu ayah tahu...yang saya sayangkan ayah. Seperti mana cucu-cucu ayah ini sayangkan anak ayah.

Saya memeluk mereka sehangat-hangatnya.Kerana dulu, saya tidak berpeluang memeluk dan dipeluk oleh Ayah.Saya mahu mereka tahu yah...anak ayah ini terlalu sayangkan cucu-cucu ayah itu.Tidak terbanding.

Bagai hidup hilang ertinya jika mereka tiada di samping.

Di Hari Bapa ini yah..saya hadiahkan ayah sekalung Al-Fatihah.

Semahal-mahal hadiah.

Moga roh ayah tenang di sana.Moga kita berjumpa lagi di hari perhimpunan nanti.

Anakmu,

~Po.

Tuesday, June 05, 2007

Alleycats..sebuah dedikasi.

...

“eh..u tau tak? Loga Alleycats passed away this morning.”

Partner aku interkom. Semalam.

“oh..ye?” Aku.

“ha’ah..lung cancer”

“ooo ok.”

Malam tadi, menerusi berita utama aku melihat liputan tentang Mendiang Loga.

Kotak-kotak memori aku terlerai. Satu demi satu.

Alleycats.Tiada apa lagi yang mahu diperkatakan. Aku membesar dengan iramanya, lagu-lagunya, lirik-lirik puitisnya dan imej rambut afro penyanyinya.

Seingat aku, ketika kotak memori aku mula belajar menyimpan data. Aku sudah mengenali lagu-lagu dari Alleycats.

Malah, ketika zaman Rock kapak melanda tanahair, aku tidak malu untuk mengakui bahawa aku masih mendengar irama dari Alleycats berselang-seli dengan kebingitan muzik Scorpions, Dio, Loudness, Van Halen atau dari band-band tempatan. Aku tidak malu mengakui kerana mat-mat rock yang lain juga seperti aku, hanyut sekali-sekala dengan kesyahduan melodi Alleycats.

Eleh..korang jangan tipulah!.

Entahlah, setiap lagunya punyai sejarah bagi diri aku. Bagaikan ia berdendang di setiap perhentian hidup aku.

Umpamanya, ketika aku berkelana ke kota di suatu ketika dahulu untuk menimba ilmu. Di saat bas ekspress yang cermin tepinya terweluap akibat air-cond yang terlalu kuat memasuki Gombak atau Batu Caves dari hala Pantai Timur, aku pasti terjaga. Waktu itu sekitar jam mungkin 4.30 atau 5 pagi dan irama itu pasti bernyanyi-nyanyi di jiwa aku.

“Kuala Lumpur senyumanmu
Di pagi ini
Sungguh bererti
Kerna cinta bersemi lagi
Setelah kemarau panjang

Di lebuhraya
Di papan tanda
Tergambar wajahmu
Dengan kalimat
Cinta untuk kita
Semoga kekal selamanya”


Suatu ketika dahulu, semasa aku di sekolah menengah. Aku sering mengikuti aktiviti perkhemahan dan biasanya aku akan membawa bersama Toshiba Bombeat (masa itu, belum bermula inovasi Mini Compo) milik kakak aku dan pastinya keset-keset Alleycats kepunyaan abang aku.

Paling aku ingat, ketika semua orang bersiul lagu ‘Sampaikan Salam’ yang menjadi hits ketika itu, aku dan beberapa teman asyik bersendu-syahdu di dalam hutan hujan Tropika dengan lagu ‘Dalam Kerinduan’ yang kami rasakan begitu ‘catchy’ tetapi tenggelam dengan irama dan lirik ‘Sampaikan Salam’ yang nyata lebih dekat kepada jiwa pendengar lain ketika itu.

Kalau aku dengar lagu ini, pastinya memori perkhemahan yang membawa sejuta kenangan di zaman persekolahan akan mula terbayang.Suara mendiang Loga begitu gemersik.

“ Dalam kerinduan
yang memuncak membunuh
Lalu berlinangan airmata menahan perasaan
Di goda khayalan

Dalam kerinduan
Yang memuncak menjauh
Tak ku sedar kiranya cinta kita telah hampir pudar
Tiada percantuman

Lalu aku bayangkan wajahmu di dalam sepi
Betapa syahdu pertemuan indah pula senyuman
Ku lihat mawar merah mekar di jejari manismu
Tapi mekar hanya seketika lalu ia kering layu.”


Begitu puitis sekali.Mungkin kerana ketika itu aku memang di dalam kerinduan? Entahlah.

Daerah aku, di hujung-hujung November pasti akan dilanda tengkujuh yang menggila.Walau pun cuti sekolah, tak banyak aktiviti yang boleh kami lakukan ketika itu selain mendengar keset dari lagu-lagu Alleycats dan apabila lagu ini berkumandang; tak dapat digambarkan perasaan itu.

“Ku terpegun di jendela bila hujan gerimis senja
Tak ku lihat di hadapan ku diri ku dalam lamunan
Tiada lain yang ku bayangkan hanyalah peristiwa itu
Dosa-dosa yang ku lakukan tetap mengganggu batin

Tanya pada diri apakah ini semua cobaan belaka
Kesal ku tak berakhir menduga keyakinan ku kepadanya
Batin ku menjerit namun tiada suara

Aku cuba menyatukan semua harapan yang berkecai
Tuhan ku bimbingkanlah diri ku agar kesal ku hilang
Gerimis sungguh mencengkam tiada dapat ku tahan lagi
Sungguh-sungguh tak ku menduka hingga jadi begini”


Hinggakan anak kecil aku, bernyanyi-nyanyi rangkap ini baru-baru ini akibat berulang-ulang di mainkan di dalam kereta.

“Batin kuuu mennnnjerit namunnnn tiadaaaa suaraaaa!!”

Terlalu banyak yang mahu aku ceritakan tentang aku dan lagu-lagu Alleycats tetapi biarlah ia menjadi memori buat diri sendiri.Aku pasti aku tidak berseorangan.

Ketika ramai yang ‘tangkap syahdu’ dengan suara serak basah David, aku sebenarnya lebih gemalai dengan gemersik suara Mendiang Loga yang menusuk ke dalam jiwa.

Lagu-lagu nyanyian beliau seperti; Jika Kau Bercinta Lagi, Lagu saduran Dust In The Wind oleh Kumpulan Kansas (yang aku lupa tajuknya), Hatiku Kau Luka, Nota Terakhir, Berjuta Batu dan lagu-lagu lain yang sudah sebati tetapi aku lupa tajuknya.

Loga pergi pada jam 10.50 pagi 4hb. Jun, 2007 di Georgetown, Pulau Pinang.

..dan aku terdengar rangkap-rangkap terakhir lagu 'Jika Kau Bercinta Lagi' terngiang-ngiang di telinga.

“Kini aku hanya dapat berdoa
Agar berbahagia kau disampingnya
Selamat tinggal
Aku mengundurkan diri…”


~Po.

Tuesday, May 22, 2007

Si Bangang Manakah Yang Menghantar Surat Ini Kepada Aku?

...



...



...

Yang best tu...the ending note - "Segala masalah tidak akan selesai dengan berfikir sahaja. Peluang tidak akan datang bergolek. Tapi kita harus berusaha merebutnya."

Good advice.

Good advice indeed.

Bangang.

~Po.

Tuesday, April 17, 2007

SUARA MAYA

Kita bertemu
Di cermin kaca yang bisu
Nyanyikan lagu
Di hujung waktu

Kita bersenda
Tanpa batas usia
Hulurkan tanganmu
Di sini bersatu

Chorus:

Dan bersama riang ria
Di atas talian maya
Bagaikan dunia kita
Tiada berbeza aaaa

Tanpa suara
Atau wajah yang nyata
Masa pun berlalu
Di ukir senyummu

Repeat Chorus.
Repeat 1st. paragraph to fade.


~Po.

Sunday, April 15, 2007

Yin II...

...

Alhamdulillah...syukur.

Dia kembali.

Setelah harapan makin menipis dan gambaran-gambaran ngeri mulai menghiris.

Alhamdulillah...syukur.

Walau, pertemuan itu mencuit sejuta persoalan...


Aku sekadar ingin mengucapkan..Syabas Rakyat Malaysia!

Kepada yang berusaha menjejaki, yang sukarela mengedarkan gambar-gambar, yang mengadakan solat hajat, yang berusaha walau apa cara.

Kalian, masih belum hilang nilai kekitaan.

cuma, hati-hati..ia mungkin hilang lagi di balik tawaran-tawaran duniawi.

~Po.

Sunday, April 08, 2007

Yin...

…

Ku tangisi kehilanganmu.Ku rasai getar debarmu. Ku sentapi kemuncak getir cemasmu.

Entah di mana kau berada ketika ini. Hanya Tuhan yang lebih mengetahui. Hanya waktu yang akan menyaksikan kembali, barangkali.

Barangkali.

Seluruh tubuh ini, bagaikan tiada rasa lagi.Bumi ini bagaikan mati.Resah ini adalah lautan yang tidak bertepi.

Selurut tubuh kecilmu, entahkan berselimut di dingin menggigit. Entahkan bersuap dalam lapar yang menjerit. Entahkan terlindung di panas mentari terik.

Sejuta entah, selangit pasrah.Tak terhitung resah gelisah.

Antara celah-celah kaca dan kerikil, antara sekilas wajah kecil dalam arus hidup yang mengalir. Bertali arus bagai semilir.

Haruskah engkau pedulikan seorang anak kecil yang kau temui terbaring di belakang lorong, dengan pakaian comot celoreng tertidur dengan kelaparan. Dalam kepenatan. Dalam kerisauan. Dalam hilang arah tujuan. Haruskah?

Sebagaimana harus kau memperdulikan lambaian gadis tanpa seurat benang dari dalam sebuah bas kilang yang tersadai menanti kegelapan yang jahanam.

Tuhan lebih mengerti. Meski. Aku panjatkan doa dari dalam diri.

Aku rayu, aku minta simpatimu. Bangkitkan setiap anak kecil itu, renung lebih dalam setiap raut wajah kecil yang berlalu di sisimu. Tanyalah pada setiap dinding-dinding bisu yang selama ini kaku.

Itu mungkin Yin.

Dia masih belum mengerti apa-apa tentang hidup ini.

Dan kau, barangkali telah berselisih dengan Yin dalam perjalananmu tadi.

Barangkali...


…

Kerana aku sendiri pernah mengalami. Beberapa tahun yang lalu ketika kami sekeluarga dalam cuti.

Usai pertunjukan perarakan dan bunga api di dalam taman tema Bandaraya Melaka. Khalayak mulai berselerak dengan destinasi mereka.

Aku menyedari, anak sulung aku sudah tiada di sisi.Kami mencari dan mencari dengan harapan dia mungkin sekadar tak jauh melangkah kaki. Seluruh taman di jejaki dan setiap anak kecil kami amati, namun dia tetap tidak memunculkan diri.

Anak sekecil enam tahun bukan pandai bersembunyi di tempat asing bagi kami.

Apabila kami berpecah dan berkumpul kembali dengan gelengan kepala. Tanpa senyum, tanpa rasa teruja di hati. Ketika itu seribu doa sudah aku panjatkan kepada Ilahi. Dan entah berapa kali air mata seakan-akan mahu menitik lagi.

Itu baru beberapa jam. Bukan lagi berhari-hari.

Naluri ibu sebenarnya kurniaan yang paling misteri. Isteri menemuinya menangis di pintu masuk dengan muka pucat lesi. Terikut bayangan yang seakan keluarga sendiri sehingga ke tempat meletak kenderaan yang agak jauh berjalan berlari. Tak mampu masuk lagi apabila gelang di tangan di potong oleh pekerja taman tema di pintu keluar tadi.

Ketika di tanya, dunia sudah dirasakan gelap gelita.

Ketika kami berkumpul semula, hanya air mata yang mampu kami titiskan dan aku tak jadi nak marah sebagaimana mula-mula.

Semenjak itu, setiapkali kami bercuti, kami bekalkan dia dengan telefon bimbit sendiri. Supaya dia tidak tersesat lagi.

Baru-baru ini, telefon itu hilang di celah-celah pokok teh di perbukitan tanah tinggi ketika dia berlari-lari menyusuri lembah dengan hilai dan tawa memecah dingin pagi.

Tak apalah, asalkan dia tidak lagi hilang di mata kami.
…

Kalian, hulurkanlah simpati.


~Po.

Tuesday, April 03, 2007

Seputih kasih di awan

…

Anak kecil itu memerhatikan kepada kenderaan yang lalu-lalang dari jeriji pintu yang berlorek besi tempawan. Di dadanya ada rasa, di jiwanya ada peristiwa.

Satu demi satu kenderaan berlalu tanpa ada satu pun yang seperti di tunggu.

Manik-manik jernih tertapis di pipinya, mengalir lesu bagai semilir angin yang berlalu.Dia tahu, dia melakukan sesuatu yang telah menghiris sendu. Kesilapan yang terbit dari akal kecil yang baru mula belajar berfikir.Longgar bagaikan batu-batu kerikil.

Dia menunggu dan menanti.

Masa seakan-akan terlalu lama terhenti.

Anak sekecilnya belum mengerti erti suka dan duka hidup ini, tetapi anak sekecil ini tahu erti sayang sesama insani.Dia tahu erti titis airmata yang mengalir di pipi ibunya tanpa henti.

Seringkali.

Acapkali.

Dia tahu bahawa hidup ini akan menjadi gelap dan sunyi tanpa alunan ombak kasih sejati.

Buat pertama kali dia mengenali makna kemanusiaan itu sendiri. Dan, itulah yang di nanti-nanti.Belum muncul lagi di saat ini.Bagaikan menanti terbit mentari setelah kelam hujan dinihari.

Renungan si anak kecil semakin menjauh pergi. Betapa dia menyesali perbuatannya malam tadi. Betapa dia ingin melupakan apa yang berlaku tanpa di sangka menjadi tragedi.Betapa dia masih ingin menjadi anak kecil yang belum mengerti.

Dia tidak pernah merasai kehadiran seorang ayah, walau dulu, dia pernah punyai seorang ayah. Dia tidak tahu apakah lelaki itu selayaknya di panggil ayah. Seharusnya digelarkan sebagai pelindung maruah. Dia tahu erti payah. Dia tahu erti gundah.

Kini, yang di nanti di pintu jeriji adalah seorang ayah tiri. Ayah yang tidak pernah tiris dengan takungan kasih. Ayah yang mewarnai bunga-bunga mekar yang selama ini hanyalah sekadar hitam dan putih.Walaupun sekadar ayah tiri.

Walau bukan darah dagingnya sendiri.

Dia tahu, ibu lebih tenang kini berbanding dulu. Airmata sudah tidak lagi menjadi cermin yang membiaskan wajah pilu. Hiba sudah menjadi lagu yang terbang di bawa angin lalu.

Dia tahu kini, bagaimana hendak ketawa dari mulut kecilnya yang tak kering dari garis-garis senyum.Dia tahu kini, bagaimana mahu bergurau senda di halaman hijau indah beralun.

Dia mengerti kini.
Dia masih anak kecil yang masih mencari jiwa-jiwa yang simpati.

Bukan niatnya untuk menghiris hati, kadang-kala dalam dia mencari perhatian dari insan-insan yang amat disayang, dia tak tersedar dia mengguris perasaan. Bukan niat, bukan sengaja perlakuan.

Dia sekadar mahu mengenali erti bahagia.

Bahagia yang tak pernah di rasa.

Dan, dia menanti.

Sebuah kereta berhenti dan masuk ke laman. Dia mengungkai kunci dengan ceria tidak terpalang.Dia berlari.

Berlari.

Pintu kereta dikuakkan. Melangkah si ayah menerima pelukan anak yang masih mencari. Erti bahagia. Eri kasih sejati.

Tanpa kata-kata.

Tanpa perlu bicara.

Dia menemui detik yang paling akan diingati sepanjang hayat ini.

Sepanjang perjalanan hidup yang masih belum pasti cerah atau gelap langit di payungi.

Yang pasti, ketika ini...

dia merasai putihnya awan.


~Po.

Wednesday, March 28, 2007

Dia, Akan Bertemu Hari Bahagia...

...

Mulanya, dia hadir di sini dengan nama 'anakmalaya'.

Ku sangkakan, mamat mana..rupanya dia adalah seorang wanita yang telah bertemu Cintanya. Bercerita tentang lelaki yang berjaya menambat hatinya tetapi bukan falsafahnya.Dia bercerita dan bercerita tentang apa dan bagaimana.Kenapa dan mengapa.

Sehinggalah...dia, akan bertemu hari bahagianya pada Sabtu ini. Hari bersejarah dalam peradaban dunia. Lahirnya seorang pemimpin agung, Nabi dan Rasul terakhir kita.

Hari bersejarah bagi dia juga.

Aku cuba mencari-cari kata ucap selamat yang pernah aku tuliskan kepada sahabat aku suatu waktu dahulu di dalam catatan lalu. Malangnya, tidak aku temui.Buntu.

Biarlah aku mencatat kata ucap selamat yang baru.

Buat Angah, seorang wanita yang aku anggapkan sebagai manusia yang tidak mudah rebah dengan masaalah, tidak pernah lelah dengan tuntutan hidup yang kadang-kadang tak tentu hala arah.

Dua jiwa yang bersatu dengan senafas lafaz, bakal menerjah berbagai pengalaman yang indah. Mungkin sesekali gundah dengan penyesuaian dan perubahan 360 darjah, itu lumrah.

Kamar bertatah indah tidak akan kekal selamanya terhias. Sekali kaki melangkah, tanggungjawab tergalas dan bermulalah gandaan pahala bagi setiap kebaikan yang dilakar ikhlas.

Aku tahu, itu semua bukan mudah.

Selama ini, hanya kulit yang terpapar di wajah. Proses mengenali isi bukan sehari malah mungkin memakan erti jarak yang belum pasti. Kadang-kadang tak tersedar yang ada budak kecil di sisi sedang mengeja ABC dan perut berisi lagi.

Itu semua, kitaran hidup yang telah dijanjikan dalam kita meneruskan hidup ini.

Tiada guru yang boleh membantu, tiada ilmu yang boleh di baca dari buku, tiada amalan yang boleh disampaikan melainkan pengalaman kita sendiri dalam meniti hari demi hari.

Di kala ianya menjadi indah, sematkan di dalam lubuk ingatan dengan mekar senyuman di wajah.

Di kala gundah, tabahkan hati dan buat keputusan di akhir muhasabah.

Engkau punya cita-cita, dia punya mimpi.Hanya kesabaran dan toleransi yang mampu menjadikan mimpi itu, satu realiti.

Selamat bangkit merasai dingin air dinihari.

Selamat terkejut 'mamat mana pulak tidur sebelah aku ni?'

Selamat melayari bahtera merentas lautan hidup ini.

Selamat merencanakan jiwa-jiwa baru yang bakal melihat betapa luas bumi ini.Kalau 'accident', pandai-pandailah kau buat pelan 'contingency'.

Selamat bergaduh berkelahi tentang benda-benda kecil dan basi.Tengok-tengok...'aii..buat check-up lagi?'

Teringat kepada seorang kawan aku..kata-katanya sebelum dia mengucapkan lafaz yang menukar status bujang kepada suami orang.

"Tiga puluh tahun aku tunggu nak tel****** depan orang!"

he he he..

Apapun Angah..Selamat Pengantin Baru, moga-moga kau kekal berbahagia ke anak cucu dan sama-sama tua untuk mengecap penghujung rindu.

~Po.

Tuesday, March 20, 2007

Kadang-kala.

...

Kadang-kala, keberanian bukanlah milik mutlak sang pahlawan. Menghunus pedang di dada medan pertempuran. Menyangga setiap asakan.Menghambat petualang.

Kadang-kala, pengucapan bukanlah milik si penyair.Mengalun patah-patah perkataan.Membicarakan tutur bersulam makna antara pembayang.

Kadang-kala, kerinduan bukanlah menjadi milik insan-insan di lamunan.Berlagu sayang bersaksi bulan, berhantarankan bintang.Memujuk pertemuan, merawat hati yang rawan.

Kadang-kala, keindahan bukan hanya terletak pada raut wajah.Garis-garis warna nan ceria atau lakar-lakar halus seninya.

Kadang-kala, titik noktah bukan bermakna pengakhiran.

Ianya satu permulaan.

Seharusnya...

Berani menghadapi dan menerima ketentuan.Bukan calang-calang peperangan.

Memanjat kesyukuran atas segala yang diberikan sebelum ianya nanti dipulangkan.Bukan mudah pengucapan.

Indah perjalanan dari saat kelopak melihat sehingga tertutup rapat. Satu pengembaraan.

Merindui helai-helai kenangan tatkala sepi bersarang.Kemuncak segenap perasaan.

...menjadi kadang-kala yang telah dijanjikan.

Tiada kekecualian;

Maka, kesabaran itu adalah satu anugerah yang menjadi milik setiap yang bergelar insan.

Aku, mahupun, kamu.

Pasti.

~Po.

Sunday, March 18, 2007

Tatkala Aku Bersua...

...

…dan kalian pun berbicara.

Antara detik waktu yang amat singkat, bayang-bayang mentari berarak. Hari menjadi semakin lewat.

Menghambat resah, mengulit gelisah.

Bidai telah kalian singkapkan. Menjengah wajah-wajah yang selama ini hanyalah garis-garis kisah.Bicara mendesir bagai angin semilir di balik langsir.

Resah menjadi semakin berat. Keluh dan kesah menjadi semakin sarat.

Barangkali, perjalanan kali ini banyak mengheret erti. Antara isi hati dan kehendak hakiki. Antara tulus suci dan mimpi-mimpi malam tadi.

Harus kita temukan lagi nanti, butir-butir hujan dalam panas membahang.Dalam laung-laung yang hilang di celah-celah sayup bangunan menjulang.

Harus kita temukan lagi nanti, kilas-kilas wajah dalam cermin kaca. Dalam meniti jejak-jejak usia.

Terima kasih aku panjatkan. Atas kesudian.Atas kehadiran. Dinding batu telah kalian ubah menjadi ruang tingkap teluspandang.

Perjalanan kali ini sarat dengan makna.Mendengar kalian berbicara. Cuma kali ini aku mendengar dengan halwa telinga dan bukan lagi dengan kerdip mata sebagaimana sebelumnya.

Garis-garis kata kini menjadi bilah-bilah suara.

Dan aku masih di sini.

Dan aku masih begini.

~Po.

Tuesday, March 13, 2007

Itu Aku...

...

Tahukah lagu yang kau suka

Tahukah bintang yang kau sapa

Tahukah rumah yang kau tuju

Itu aku...

(Itu Aku -Shiela On 7)



~Po.

Wednesday, March 07, 2007

yang bersuara...

...

yang menutur bait kata-kata

aku

yang menjerit penuh luka

aku

yang berlari dengan pedih peri

aku

yang tercari-cari juntaian dahan tatkala arus menarik tenggelam

aku

yang tersungkur rebah dengan nafas yang lelah

aku

yang bersuara dalam diam

kamu.

noktah.

~Po.-maaf, aku tak sempat membalas komen-komen kalian.Maaf.

maaf...

Thursday, February 22, 2007

Sepuluh Tahun Berlalu...

...

Kau masih...

Srikandi Di Sisi


Ini bukan pertama kali
Aku pernah jatuh hati
Tiap saat berilusi
Tanpa dirimu di sisi
Dikau manis mencabar puteri
Senyum indah melembut hati
Biar sepi melanda diri
Hadirmu tetap dalam mimpi

Kehadiranmu ku terpaku
Menyaksikan tingkahmu
Dikau ayu mencabar ratu
Jeling mata selembut bayu

Berkebaya merah jambu
Senyummu manis menikam kalbu
Biar resah melanda diri
Hadirmu kukuh dalam hati

Oh sayangku
Genggamlah tanganku
Hati ini milikmu
Oh manisku
Ku pinta senyummu
Yang seindah suria pagi

Oh puteriku
Engkaulah ratu
Hatiku dikau curi
Oh dikau permaisuri hati

Srikandi di sisi
Srikandi di sisi

Oh dikau ibarat mentari
Menerbitkan sinar pelangi
Di kala hidupku sepi

Kasih
Dikau laksana purnama
Di malam yang gelita
Menyinarkan asmara


-Belantara
-Album : Srikandi DCC (1994)

Tigabelas tahun dulu, aku bernyanyi-nyanyi lagu ini dalam kamar asrama menghadap tasik varsiti tanpa sesiapa di sisi.

Ya..ya, aku lupa lagi Hari Anniversary kami.

Mana kau tahu ni?

~Po.

Tuesday, February 06, 2007

Jangan...

Jangan.

Jangan kejutkan aku.





Aku sedang bermimpi.






~Po.