
...
Dulu.
Kami sama-sama dalam Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.
Tingkatan Satu, ketika itu. Wajib masuk badan beruniform. Dan, yang paling murah kos berpersatuan yang ada uniform ketika itu adalah PBSM itulah.
Modalnya cuma sehelai baju T berkain putih bercetak gambar bulan sabit warna merah. Seluar sekolah dan kasut sekolah. Tak ada masaalah. Itu pun mintak dgn mak, berminggu baru dapat.Rasanya, tak sampai dua belas ringgit harganya.
Awal tahun, buat endah tak endah kalau ada perjumpaan. Berkawad, belajar buat anduh dan belajar kipaskan orang yang pitam.Tak pergi pun.
Bila dah hujung-hujung, Cikgu Besar dah buat pengumuman. Siapa yang tak hadir perjumpaan kena panggil oleh Cikgu Disiplin dan tak akan masuk sijil.
Hujung-hujung tahun baru bersusah payah hadir perjumpaan setiap pagi Jumaat. Naik basikal dengan T shirt putih bercetak bulan sabit bewarna merah. Cikgu persatuan kata, kalau awak jumpa kemalangan jalanraya dan awak pakai baju T yang itu, kalau awak tak tolong, boleh kena dakwa.
Selepas itu, kami sarungkan alas kemeja kotak-kotak. Naik basikal setiap pagi Jumaat.
Sama-sama Mat Piah.
Hanapiah namanya.
Dia pelajar yang geliga.Kelas pertama.
Aku. Kalau nak tahu cara balutan yang betul untuk setiap kecederaan, aku akan tanya dia. Mat Piah.
...
Baru-baru ini. Awal tahun ini juga. Aku terasa sakit-sakit di dada. Menyucuk-nyucuk. Kadangkala di tengah, kadangkala di belah rusuk kanan, kadangkala di rusuk kiri.
Aku telefon Mat Piah.
"piah! Aku sakit dada!"
Dia suruh aku datang jumpa dia, petang. Minggu depan.
...
Petang, Minggu depannya. Aku hidupkan enjin kereta dan memandu ke hospital kerajaan. Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Aku 'call'. Dia kata..'kau tunggu depan bilik MRI'.
Aku tunggu. Dia datang, siapkan borang-borang dan aku tandatangan. Misi-misi dan doktor-doktor muda yang lain angguk dan tunduk kepala kepada Piah atau sekarang ini dia adalah Doktor Mohd Hanapiah, Pakar Radiologi.'Specialist' radio. (itu kata aku!).he he
Siapa kata masuk PBSM tu rugi?
Mula-mula aku kena buat 'ultrasound'. Periksa buah pinggang dan hempedu.
Piah kata. 'Kidney' dan hempedu kau, baik.
Selepas itu, dia suruh aku pergi ke bilik yang lain. Sejuk menggeletar. Pendingin hawanya hampir ke tahap membeku.
Misi di situ suruh aku buka baju. Pakai jubah putih sahaja.Aku tengok-tengok juga kat atas kalau-kalau ada CCTV. Tak ada!.
Aku kena duduk di atas meja CT Scan, macam gambar kat atas nu. Berbaring, kata Mat Piah. 'Tangan kau depakan macam superman! nanti tak muat nak masuk lubang!' kata Piah. Aku gelak perlahan. Sejuk betul! Menggigil!.
..dan mesin itu pun berputar sambil aku di sorongkan ke depan.Sedikit demi sedikit.
'Tarik nafas
Tahan
Nafas biasa..'
Selesai semua. Piah panggil aku di bilik Doktor. Imej-imej paru-paru aku dipaparkan di skrin putih bercahaya.
Piah menerangkan kepada aku. Sungguh-sungguh. COPD la, itu la ini la, 'medical-medical terms'. Aku angguk dan angguk dan angguk.
ya piah
ya piah
ya piah
Pastu, setelah selesai semua. Dr. Mohd Hanapiah itu bertanya kepada aku.
Di depan Doktor-Doktor muda yang lain.
"dah berapa lama kau berhenti hisap rokok?"
Dia tanya.
"Dah masuk lapan bulan Piah.." aku jawab. Perlahan. Dalam tekak.
Kata dia...
"okay...paru-paru kau okay. Buleh hisap rokok semula!"
Serius muka dia!
...
Aku pulang ke pejabat sambil aku ingat janji dengan Piah. Kalau ada masa, kami akan minum petang sama-sama. Hisap rokok.
Dia!
dia seorang doktor pakar yang masih belum berhenti merokok. Aku sudah TAK NAK!.
~Po.