Thursday, July 21, 2005

Elegi Di Suatu Pagi

...

Di muka kuala, di hujung jeti,
Air mengalir sepi,
Sunyi.

Aku bernyanyi lagi.

Perjalanan Hidup - Ramli Sarip

Aku yang masih di perjalanan hidup ini
Begitu lama berlegar di persimpangan dunia
Menempuh jarak dan titian
Rimba dan lautan
Mencari sesuatu yang abadi

Aku yang masih di perhentian hidup ini
Begitu jauh menggembara ke serata hidup ini
Mengejar siang dan malam
Surut dan pasang

Mencari sesuatu kebebasan
Mencari sesuatu kedamaian

Di mana berakhirnya
Perjalananku ini
Esok dan lusa bukan miliku
Oh Tuhanku

Lindungilah hambamu yang hina ini
Aku setia hanya padamu
Oh Tuhanku

~Dr Wan Zawawi Ibrahim
Dunia Muzik WEA Sdn Bhd
1987 WEA Records Sdn Bhd


…dan puing-puing buih yang melatari pasir putih mulai terhakis.Betapa aku harus menerima kenyataan yang terkandung sejuta cabaran dan hakikat kehidupan.

Lantas aku terus bernyanyi…

Kenyataan - Ramli Sarip

Detik-detik bebayang yang mengejar
Bagai nelayan di tangan jala tertebar
Menadah di pancar suria nan mencabar
Menjamah pasir karang nan kasar
Sebagai tanda karya bermula
Mengharungi hari muka

Begitu getirnya mancari kedamaian
Buat kehidupan penuh beriman
Bangkitkan dirimu di alam kenyataan
Menghambat senja sebelum malam
Yang belum pasti menjadi titi
Pencapaian pernuh erti

Korus :
Semalam telah berlalu
Menjadi tunggak penentu

Esok yang belum berlaku
Terserah pada akalmu

Punya usia juga tenaga
Mewarnai nubarimu

~Ramli Sarip / Hartina Ahmad
Dunia Muzik WEA Sdn Bhd
1986 WEA Records Sdn Bhd


Aku dah habis nyanyi.

Tepuk laa tangan!...
He he he.

~ Po.

Monday, July 18, 2005

Jernih.

…

Kadang-kadang, pabila rindu datang bertandang. Aku laungkan nada-nada memuji namaMu, Tuhan.
Maha Suci, Syukur yang dalam, Tiada yang selain, Maha Agung Mu Tuhan.

Dalam jernih air yang mengalir, dalam suram.
Bertafakur.Melihat alam.Mengkaji kejadian.

Selamatkah anak-anak aku nanti?

Dentuman demi dentuman di kiri dan kanan. Tebing Barat, Yala, Moscow, Kabul,Kota London,Grozny, Bali…sekadar mengulang rantaian kecelakaan.Kota-kota yang malang.

Kekejaman, kemanusiaan, kesombongan dan perjuangan. Bercampur baur. Berselang-selang.

Berita kematian. Bagai satu ubat.Pahit.Mesti ditelan walau apa jua kenyataan.

Akidah.
Sesat dan mengaku tuhan.Membina kerajaan di atas kayangan.

Arak, judi dan zina. Mainan.

Selamatkah anak-anak aku nanti?

Anak-anak kecil terlepas dari genggaman. Jatuh dan diragut. Disambar. Terbiar.

Penindasan, pembohongan. Hak untuk hidup dinafikan. Senang.Ringkas.

Hanyut dalam hanyir kebusukan. Hanyut dalam harum kemodenan.

Maruah. Itu hanya kata-kata Hang Tuah. Sejarah.


Selamatkah anak-anak kita nanti?
Di mana lagi untuk kita berdiri?
Kalau bukan merah bumi ini.
Kalau bukan dari jernihnya air yang mengalir.
Dari pipi-pipi
Mereka yang sedar dan memahami.

Anak-anakku……
Aku pasrah dan resah

Aku tak mampu membaca masa depanmu sayang...

~po.

Thursday, July 07, 2005

Apa Kau Rasa….

…

Pagi tadi. Sejuk. Aroma selepas hujan memenuhi ruang udara. Dingin. Angin nipis berhembus membelai mesra.

Aku dan kakak (anak perempuan aku) sedang duduk di warung, menikmati nescafe dan milo panas. Menyelak helai-helai berita dalam akhbar. Bercerita. Bermanja. Sebagaimana biasa.

Di rumah, dia akan kalah pada adik yang mendominasi seluruh pancaindera.

Tiba-tiba, datang seorang lelaki bersama anak perempuannya. Berdiri di sisi meja kami. Dia bertanya anaknya ‘dia yang buat?’ sambil menunjukkan kepada kakak.

Aku menjadi pegun. ‘Apa cerita ?’

Aku bertanya dan si bapa memberitahu, lengan anaknya lebam di cubit oleh kakak.

‘huh?’

Ketika aku bertanya kepada kakak, dia sudah mengambil pilihan berdiam diri. Sambil air mata membasahi pipi. Akhirnya kakak mengangguk dan tak mahu mempertahankan diri.

Ketika itu, aku buntu. Apa kena di buat dan apa yang perlu?

Aku faham, ini sekadar satu masaalah membabitkan kanak-kanak berusia 5 tahun di sekolah. Ulang. 5 tahun. Mungkin mereka sekadar bergurau. Aku pasti tak akan ada dendam.

Tapi, tak kan aku nak diamkan? Mereka sedang makan di meja berhampiran. Aku juga seorang bapa. Aku boleh dan mampu membaca kehendak mereka.

Lantas, aku memujuk kakak supaya pergi kepada mereka bersama aku dan memohon maaf. Terbuka. Biar hilang resah di dada mereka. Aku tahu, mereka mahu kakak dihukum. Ini hukuman aku.

Tiba di meja mereka, kakak sudah menangis kuat dan mengundang perhatian semua. Ya. Semua.

“apa cerita?” bisik hati-hati mereka.

Aku paksa kakak meminta maaf. Dia enggan. Dia malu. Dia kata yang dia nak minta maaf di sekolah.

Tidak kata aku.Aku tak akan berganjak selagi maaf tidak diucap. Menangislah semahumu. Biar semua orang tahu.

‘kalau kita buat salah, kita kena minta maaf’ kata aku.

Beberapa lama. Dia tetap begitu. Aku faham perasaannya. Tapi, ini hukuman aku. Si Ibu budak tadi sudah mengeluh. ‘Tak apa lah Encik, Tak apalah Encik’. Dia mungkin kurang selesa dengan semua perhatian yang dia terima.

Kalian mahukan hukuman. Aku berikan kalian saksi kepada hukuman.

Akhirnya, kakak menghulurkan tangan tanpa suara. Hanya tangisan yang panjang.

Si Ibu tadi bertanya ‘5 tahun ke?’. Ya.

‘Besar…’ katanya.Pendek.

Tak perlu aku ingatkan bahawa kakak pernah menangis disuatu masa dan bertanya kenapa dirinya ‘besar’. Tak perlu di ingat itu. Hanya akan membuakkan marah di dada.

Kami beredar dan semasa berjalan, aku memberikan amaran. Jangan, jangan dan jangan.

Ketika aku meninggalkan dia di sekolah, dia masih menagis panjang sambil dipujuk oleh guru. Aku biarkan. Ini satu pengajaran dan satu pengalaman.Ini semua supaya dia belajar menjadi matang.Belajar menerima kenyataan.

Nanti pulang. Akan aku peluk dirinya, panjang.

Abah sayang kakak.

~Po. - Maaf, this entry is personal.

Tuesday, July 05, 2005

Akademi Realiti.

…

Maaf, aku terlupa yang aku ada Blog. Itu yang lama aku tak update.

Kali ini aku nak bercerita.

Biasanya, aku jarang nak mengambil endah tentang rancangan-rancangan realiti tv yang bercambah bagaikan cendawan selepas hujan di dalam mana-mana siaran. Baik yang percuma atau berbayar. Lebih-lebih lagi kalau yang membabitkan undian sms.Tak kuasa aku.

Tapi, malam tadi aku telah membuat undian. Penuh ikhlas.Bukan membangga-banggakan. Sekadar bercerita kisah kehidupan.

Apa?

Kalian sangka aku tak mampu menulis sehebat SultanMuzaffar yang mampu mengundang beratus-ratus komen setiap hari?. Walau pun genre penulisan kami pengisiannya berbeza, kami sebenarnya menulis dari hati.

Aku terlepas beberapa siri kisah Akademi Realiti beberapa minggu yang sudah. Malam tadi aku berpeluang melihat diari hidup mereka.

Aku terpegun. Terkesima. Dua peserta yang cukup hebat. Bagi aku, mereka adalah juara realiti. Mereka diberikan lagu tentang kehidupan. Mereka diminta menghafal lirik kemanusiaan. Mereka terpaksa melagukan melodi ketabahan dengan penuh kepayahan.

Mereka tidak pernah memperdulikan tentang lirik yang lintang pukang atau melodi yang terbang melayang. Mereka tetap bernyanyi. Penuh emosi, penuh dengan garis-garis sepi dan sunyi.

Mereka berjaya meraih undian aku. Diari hidup mereka cukup untuk mengundang sejuta sendu.

Aku hampir menitiskan air mata apabila melihat mereka ceria. Menyuap makanan di restoran biasa yang kita-kita hanya pandang dengan sebelah mata.

Bukan, mereka tidak tinggal di rumah banglo bernilai juta-juta. Tidak belajar di akademi impian beribu remaja. Mereka tidak menyanyikan lagu di atas pentas di Putrajaya.

Mereka. Sudah hampir ke penghujung usia tapi masih bernyanyi. Lagu derita, lagu kehidupan di atas pentas dunia. Lagu yang akan kita nyanyikan bila tiba ketikanya.

Seorang pakcik dan makcik yang terpinggir di sebuah rumah usang. Isterinya menghidap penyakit kulit yang tiada kesudahan. Melihatkan makcik yang dilahirkan dengan kekurangan itu menyembunyikan dirinya dari lensa di bawah meja kayu usang, cukup mengguris perasaan. Tiada lensa disebalik cermin di dewan tarian. Tiada lensa untuk mereka meraih undian.

Aku cukup terharu. Isteri dan anak-anakku menjadi kelu apabila melihat mereka makan dengan penuh kesyukuran di sebuah restoran yang mungkin sepanjang hidup mereka, tak pernah mereka rasakan. Senyuman mereka cukup ikhlas. Wajah mereka tetap menunjukkan mereka tetap tabah dengan apa jua rintangan yang singgah.

Mereka menari dengan gerak tari yang mengasyikkan. Sepasang suami isteri yang sunyi. Menunggu saat dan tibanya hari. Mereka pasti akan pergi. Mereka menari sebelum masa memisahkan mereka nanti. Sebelum mereka menarik beg dan bertemu Ilahi.

Itulah rancangan realiti tv, Bersamamu di siaran TV3. Penuh dengan kisah-kisah permata.

…dan para pengkritik hanya mampu mengalirkan airmata apabila mereka mendendangkan lagu. Itu sudah cukup. Tak perlu di komen tentang suara mereka. Gaya mereka. Mereka tak perlu peminat yang berjuta.

They have each other.

~ Po.