Ku tangisi kehilanganmu.Ku rasai getar debarmu. Ku sentapi kemuncak getir cemasmu.
Entah di mana kau berada ketika ini. Hanya Tuhan yang lebih mengetahui. Hanya waktu yang akan menyaksikan kembali, barangkali.
Barangkali.
Seluruh tubuh ini, bagaikan tiada rasa lagi.Bumi ini bagaikan mati.Resah ini adalah lautan yang tidak bertepi.
Selurut tubuh kecilmu, entahkan berselimut di dingin menggigit. Entahkan bersuap dalam lapar yang menjerit. Entahkan terlindung di panas mentari terik.
Sejuta entah, selangit pasrah.Tak terhitung resah gelisah.
Antara celah-celah kaca dan kerikil, antara sekilas wajah kecil dalam arus hidup yang mengalir. Bertali arus bagai semilir.
Haruskah engkau pedulikan seorang anak kecil yang kau temui terbaring di belakang lorong, dengan pakaian comot celoreng tertidur dengan kelaparan. Dalam kepenatan. Dalam kerisauan. Dalam hilang arah tujuan. Haruskah?
Sebagaimana harus kau memperdulikan lambaian gadis tanpa seurat benang dari dalam sebuah bas kilang yang tersadai menanti kegelapan yang jahanam.
Tuhan lebih mengerti. Meski. Aku panjatkan doa dari dalam diri.
Aku rayu, aku minta simpatimu. Bangkitkan setiap anak kecil itu, renung lebih dalam setiap raut wajah kecil yang berlalu di sisimu. Tanyalah pada setiap dinding-dinding bisu yang selama ini kaku.
Itu mungkin Yin.
Dia masih belum mengerti apa-apa tentang hidup ini.
Dan kau, barangkali telah berselisih dengan Yin dalam perjalananmu tadi.
Barangkali...

…
Kerana aku sendiri pernah mengalami. Beberapa tahun yang lalu ketika kami sekeluarga dalam cuti.
Usai pertunjukan perarakan dan bunga api di dalam taman tema Bandaraya Melaka. Khalayak mulai berselerak dengan destinasi mereka.
Aku menyedari, anak sulung aku sudah tiada di sisi.Kami mencari dan mencari dengan harapan dia mungkin sekadar tak jauh melangkah kaki. Seluruh taman di jejaki dan setiap anak kecil kami amati, namun dia tetap tidak memunculkan diri.
Anak sekecil enam tahun bukan pandai bersembunyi di tempat asing bagi kami.
Apabila kami berpecah dan berkumpul kembali dengan gelengan kepala. Tanpa senyum, tanpa rasa teruja di hati. Ketika itu seribu doa sudah aku panjatkan kepada Ilahi. Dan entah berapa kali air mata seakan-akan mahu menitik lagi.
Itu baru beberapa jam. Bukan lagi berhari-hari.
Naluri ibu sebenarnya kurniaan yang paling misteri. Isteri menemuinya menangis di pintu masuk dengan muka pucat lesi. Terikut bayangan yang seakan keluarga sendiri sehingga ke tempat meletak kenderaan yang agak jauh berjalan berlari. Tak mampu masuk lagi apabila gelang di tangan di potong oleh pekerja taman tema di pintu keluar tadi.
Ketika di tanya, dunia sudah dirasakan gelap gelita.
Ketika kami berkumpul semula, hanya air mata yang mampu kami titiskan dan aku tak jadi nak marah sebagaimana mula-mula.
Semenjak itu, setiapkali kami bercuti, kami bekalkan dia dengan telefon bimbit sendiri. Supaya dia tidak tersesat lagi.
Baru-baru ini, telefon itu hilang di celah-celah pokok teh di perbukitan tanah tinggi ketika dia berlari-lari menyusuri lembah dengan hilai dan tawa memecah dingin pagi.
Tak apalah, asalkan dia tidak lagi hilang di mata kami. …
Kalian, hulurkanlah simpati.

~Po.
3 comments:
is this about the unfortunate child yang hilang ?
yes makcik.
Mohd Nazrin @ Yin...
Please pray for him.
po, saya belum pernah mengalaminya dan berdoa tidak akan mengalaminya.saya juga berdoa agar dia segera kembali kepada keluarganya.ada sedikit usaha di esastera mengenainya. pergilah baca jika sedia.
Post a Comment