…
‘Pak Mat sihat ?’ Tanya aku.
‘Alhamdullilah, sihat. Sengal-sengal tulang, biasalah.’ Ujar Pak Mat sambil membetulkan duduk simpuhnya.
‘Pak Mat dah makan ?’ Tanya aku lagi, memulakan bicara.
‘Dah, orang tua macam aku ni makan macam mana sangat. Asal alas perut udah..’ Kata Pak Mat lagi sambil menggulung rokok daun dan diletakkan pada bibirnya. Gulungan daun nipah bersama-sama tembakau terbakar dan asap nipis terbang perlahan-lahan sebelum menghilang di celah-celah jalinan nipah yang menjadi teduhan Pak Mat selama ini.
Pak Mat sudah terlalu tua. Kedut-kedut sejuta pada wajahnya menyimpan selaksa pengalaman dan kenangan.
Pak Mat yang berbicara dengan aku ini telah dilahirkan di Kampung Pulau Tawar, Daerah Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur tempat dimana sejarah terukir dengan penuh kegemilangan.
‘Pak Mat, betul ke Pak Mat ni kebal ? tak lut peluru?’ Tanya aku sambil mencuit pehanya yang masih tegap bersimpuh.
‘Isyy..kalau aku kebal, tak kan aku nak lari semasa Inggeris menyerang Kuala Lipis tahun 1892 dulu. Aku terpaksa lari menyusur Sungai Tembeling, merentas Gunung Mandi Angin, melangkah Kampung Pasir Raja sampai ke Negeri Siam.’
‘Kalau aku kebal, aku dah lawan semua askar-askar British dan polis Benggali dulu’. Kata Pak Mat sambil merenung Sungai Tembeling yang mengalir lesu dan semakin keruh airnya.
‘Aii Pak Mat, tak kan tak ‘pakai’ apa-apa..’ aku menduga lagi untuk mengorek sejarah orang tua ini.
‘Engkau tengok ni…’ Pak Mat menyelak baju Pagoda nipisnya dan kelihatan parut-parut lama yang bermacam rupa di bahu dan dadanya.
‘Ilmu kebal ada dalam setiap manusia, yang pentingnya hati dan niat. Kalau niat kita suci, nak pertahankan agama, bangsa dan tanahair. Tuhan akan berikan kekebalan.Tuhan akan selamatkan perjuangan. Tuhan akan berikan kemudahan.’ Kata Pak Mat merenung tepat ke mata aku.
Aku kelu dan termanggu.
‘Kalau bangsa itu sendiri tak percayakan diri sendiri, tak berusaha mempertahankan agama dan kepercayaan yang suci. Keballah setakat manapun, penjajah tetap akan dapat menakluk tanah kita ini. Kalau adat dan susila kita gadaikan demi keseronokan, akan hancur lumatlah bumi kita ini.’ Pak Mat menyambung lagi.
Kali ini Pak Mat mendegus dan mengeluarkan satu keluhan yang panjang. Keluhan yang aku cukup mengertikan.Aku cukup-cukup faham.
Aku lihat Pak Mat mengalirkan airmatanya.
‘Kalaulah anak bangsa aku tahu menilai dan menghargai setiap jejak perjuangan aku dahulu…’ Bisik Pak Mat dengan nada yang perlahan.
Bayang-bayang Pak Mat terus menghilang dengan sinaran matahari dari celah-celah pencakar langit yang terbilang menjulang ke awan.
Itu mimpi aku malam tadi. Mimpi dalam sedar dan mimpi dalam jiwa yang tegar.
Apabila munculnya tiga satu lapan, semua anak bangsa bersorak riang. Bersorak demi memecahkan kedamaian tengah malam.Tahukah mereka yang suatu masa dahulu, di detik yang sama Pak Mat atau Allahyarham Mat Kilau sedang merancang strategi peperangan di dalam Gua Balai,berlatih silat di dalam Gua Silat dan berfikir tentang nasib anak bangsa di dalam Gua Kota Gelanggi di tengah-tengah hutan belantara bersama-sama Dato’ Bahaman dan Mat Kelubi serta beberapa Pahlawan lagi demi membebaskan tanah air tercinta dari penjajahan.
Setiap jiwa anak bangsa kita ada Mat Kilau, ada Dato’ Bahaman, ada Mat Kelubi, ada Dato’ Maharajalela, ada Tok Janggut,ada Tok Gajah, ada Tok Kenali dan ada darah pahlawan gagah berani tetapi mereka sudah terlalu tua untuk bangkit menentang penjajahan dalam diri sendiri.
Bayang-bayang mereka terus hilang dalam sorak sorai menghitung detik dua belas malam.Hilang dalam Jalur Gemilang yang megah berkibar dari belakang pelesit di Lebuhraya Persekutuan.
~d’arkampo – Allahyarham Mat Kilau meninggal dunia pada usia 122 tahun di kampungnya, Pulau Tawar, Pahang setelah 10 hari beliau mengumumkan siapa dirinya selepas solat Jumaat di Masjid Pulau Tawar pada bulan Disember, 1969. Dia membebaskan dirinya dari persembunyian supaya anak cucunya akan melangkah segak sebagai pejuang dengan darah pahlawan mengalir ke segenap urat dan tulang.
Semoga rohnya ditempatkan disisi orang-orang yang beriman.
No comments:
Post a Comment