...
Pentas yang tadinya bingit dengan alunan lagu-lagu rap,techno dan new wave siulan anak-anak muda sekarang menjadi sunyi sepi. Tirai ditutup dan lampu dimalapkan. Dalam kesamaran kelihatan seorang gadis manis berjalan ke tengah-tengah pentas. Suasana menjadi sepi.Derap kakinya menghimpun semua perhatian. Lampu diterangkan semula dan kelihatan gadis tersebut duduk diatas bangku ditengah-tengah pentas bersama-sama sebuah gitar 12 tali. Dia kelihatan gugup dan gementar apabila melihatkan khalayak yang begitu ramai dihadapan. Kebanyakan mereka adalah kawan-kawannya sendiri.
Sambil mengambil nafas yang panjang untuk menenangkan diri, jari jemarinya mula memetik gitar. Nada akustik yang beralun dari gitarnya tenggelam dalam tepukan yang bergemuruh. Apabila hilangnya tepukan, nada itu semakin beralun mendayu. Dia mula menyanyi, perlahan dan gementar pada mulanya tetapi semakin yakin dan lunak merdu.
Ingin kupergi jauh darimu
Agar kukenal erti rindu ini
Ingin aku menyelami jiwamu
Agar kukenal dirimu kasih
Ingin aku membenci dirimu
Tapi kebencian tiada padaku
Walau apa yang kau sangkakan
Aku tetap cinta padamu
Telah lama kuhidup melara
Telah kugagal dalam bercinta
Kini kau datang dengan seribu bintang
Bintang yang dulu sembunyi
Bintang yang tiada bererti
Kalau kau sudi menyentuhi hatiku
Aku kan selalu dekat padaku
Tapi jangan kau hanya cuba
Untuk mempermainkan cintaku
Jangan permainkan cintaku
Setelah selesai dia menghabiskan petikan gitarnya, dewan kembali bergemuruh dengan tepukan. Dia membawakan lagu itu dengan baik sekali dan ramai dari penonton pada hari itu belum pernah mendengar lagu itu.Lagu itu sudah seakan-akan menjadi satu tema dalam kehidupan kecilnya. Setiap malam ketika dia ingin melelapkan mata, lagu itulah yang mendodoikan sehingga ke dalam mimpi. Lagu itu adalah lagu hidupnya.
Di suatu sudut, dia memandang wajah-wajah yang amat dikasihinya. Wajah ibu dan wajah-wajah abang dan adiknya silih berganti.Mereka melambai-lambai.
Dia bangun dan tunduk hormat kepada penonton sambil tepukan masih lagi kedengaran di sudut telinganya. Apabila dia bangkit, dia terlihat figura seorang lelaki separuh umur sedang berdiri di muka pintu dewan sambil bertepuk tangan. Lelaki itu mengukirkan sekuntum senyuman. Dia merasakan satu kebahagiaan berbunga di dalam jiwa kecilnya. Dia menemui damai di hati.
Setelah selesai persembahan sempena Hari Guru itu, dia melangkah keluar dari dewan dan mencari-cari keluarganya. Seorang wanita yang masih anggun bersama-sama dua anak sedang menunggu di tepi dewan sambil mendepakan tangannya. Dia melangkah laju dan terus mendakap ibunya. Dia memejamkan mata.Suasana menjadi hening seketika dan waktu terhenti dari terus berlari meninggalkan mereka.
Apabila dia membuka kelopak matanya, anak matanya liar mencari figura lelaki tadi. Lelaki yang menjadi bintang dalam hidupnya. Lelaki yang ingin dijauhinya dan ingin dibencinya tetapi seperti mana bait-bait lagu yang dinyanyikannya tadi, kebencian tiada padanya.
Wajah lelaki tadi terus menghilang dalam keriuhan. Hilang dalam kerinduan yang sangat dalam.
Mereka terus melangkah keluar dari kawasan sekolah dan menuju ke kereta. Dia berpaling semula ke arah dewan dan masih mengharapkan agar lelaki tadi akan melambai-lambai padanya tetapi hampa. Lelaki tadi terus hilang dalam genangan airmatanya.
Lelaki tadi adalah ayahnya. Dia tidak pernah mengenali ayahnya secara dekat tetapi dia kenal akan raut wajah seorang lelaki yang digelarkan Papa itu. Mereka pernah bersua tetapi hanya seketika cuma. Sekadar melepaskan segala persoalan yang ada di dalam kotak fikirannya. Sekadar kenal tetapi jauh dari mesra.
Dia sebenarnya keliru. Keliru dengan keadaan itu dan keliru dengan apa yang telah berlaku. Dia terlalu kecil untuk memahami hakikat kehidupan. Hakikat yang menjerat hati dan perasaan. Hakikat yang terlalu sukar dimengertikan.Walau apa jua ketentuan, dia tetap menyintai seorang yang bernama Papa.
Dengan pandangan yang sayu, dia yakin bahawa suatu hari nanti, seribu bintang akan menyinari hidupnya. Dia pasti bahawa sinar itu akan terus bergemerlapan walaupun siang melabuhkan tirai malam.
……………………………………….
Cerita ini tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang ada Blog popular. Ini sekadar satu cerita yang aku karang lama dahulu (aku terjumpa semula dalam folder my documents aku). Sekadar cerita dongeng untuk hiburan dan mungkin sedikit perangsang buat teman-teman. Sekadar mengingatkan bahawa seribu bintang tetap akan terang walau dari kejauhan.
~d’arkampo -
No comments:
Post a Comment