....
Bilakah masanya kalian benar-benar mendengar apa itu suara-suara dari dalam hidup kalian sendiri?
Suara isteri, suara anak-anak.
Bila?
Kepada yang hanya ada anak tekak, anak kunci atau anak mata...jangan jawab. Kalian akan tahu nanti.
Biasanya aku mendengar keluh kesah dan cerita-cerita hebat dari anak-anak semasa aku menjemput mereka pulang dari nursery atau dari tadika. Di dalam kereta tanpa melihat muka ketika mereka rancak bercerita. Biasanya ketika itulah aku akan bertanya tentang kerja sekolah, keputusan ujian, arahan cikgu dan sebagainya. Aku hanya mendengar suara.
Hanya satu ketika, aku benar-benar mendengar sambil merenung mata-mata mereka.Sewaktu makan malam.
Sekarang, kakak mengambil tugas membacakan doa makan dan dia membacanya dengan penuh bangga. Dia membaca siap dengan terjemahannya.
...doa makan...
In the name of Allah,all....and praisals is only for Allah, bless us with what been given to us and save us from hell’s fire, amin. (yang titik-titik tu aku tak faham, bunyi dalam tekak je..).
Baru-baru ini, ketika makan malam, mereka saling bercerita tentang sekolah, tentang kawan-kawan mereka, tentang siapa yang suka makan carrot, tentang apa sahaja yang terlintas dalam kepala mereka. Bergaduh, kata mengata dan sebagainya.
Si adik pula, terjerit-jerit ..’ Aiiikittt..aiiikiiit...!!’
Kali ini aku biarkan mereka. Sambil makan sambil bergaduh riuh rendah suasana.Hanya suara-suara mereka. Tv aku sengaja tutup supaya kami boleh makan dengan selesa.
‘Aiikiitt..aiiiikiiittt !’
Aku pandang wajah mereka satu persatu.Aku tak berkata apa-apa. Aku mendengar setiap celoteh mereka. Aku makan sambil merenung mata-mata mereka. Mereka perasan aku melihat mereka dan tak menyuruh mereka diam atau ucapan ‘tak baik bergaduh depan makanan’ seperti yang biasa aku ulang-ulangkan. Mereka tersenyum sendiri dan menghabiskan makanan.
Orang rumah aku pun nampak pelik melihat aku. ‘Buang tebiat ke orang tua nih?’
Sebenarnya, aku cuba merakamkan suasana itu dengan se’detail-detail’nya supaya terpahat dalam kotak ingatan aku. Aku merekodkan setiap ekspressi muka-muka mereka ke dalam memori aku.Aku cuba simpankan suara-suara dan riuh rendah suasana.
‘Aiikiitt..aiiiikiiittt !’
Aku buat itu kerana aku tahu, suatu masa nanti suasana itu akan hilang. Bingit suara-suara mereka akan padam. Betapa makan malam pasti akan menjadi suram dan bosan bila tiba ketikanya mereka mula melangkah mengikut haluan dan jalan kehidupan.
Aku mengambil gelas dan menuangkan air lalu aku berikan pada adik.
Aiikiit tu sebenarnya ‘nak air sikit..’ dalam bahasa melayu warga 17 bulan.
Indah kehidupan kalau kita tahu di mana letaknya keindahan itu.
~d’arkampo – aku mendengar suara isteri di masa-masa yang tak boleh aku ceritakan (tu la, orang suruh kawin tak mahu..) he he.
1 comment:
rakaman yang perlu untuk masa2 akan datang. masa2 tua. masa2 bila mereka pulang setahun sekali berjumpa ayahanda & bonda.
Post a Comment