...
Aku tahu, masuk tahun baru ramai yang dah berkira-kira tentang cuti.Mana nak pergi, di mana destinasi.Aku tak terkecuali sebab merancang cuti bersama keluarga adalah sesuatu yang aku memang tunggu-tunggu. Orang kita memang suka bercuti terutamanya sewaktu cuti sekolah. Dulu, masa anak aku tak sekolah lagi, senang pergi bercuti sebab pusat-pusat peranginan tak penuh, hotel tak payah booking, kolam renang tak ada orang.
Sekarang, terpaksa berebut bersama-sama dengan orang yang sama-sama ada anak sekolah. Jadi, kena rancang cuti awal-awal. Orang rumah pulak terpaksa berkira dan bertolak ansur dengan rakan-rakan sekerja beliau yang lain sebab diorang pun nak bercuti semasa cuti sekolah.
Kalau ada sesiapa yang ingin bercuti di Terengganu, khususnya ke Tasik Kenyir, aku perturunkan kisah yang pernah dipublish di dalam Blog Mak Andeh suatu masa dahulu. Ramai yang dah baca tapi biarlah, buat rujukan kot-kot ada yang boleh dikongsi bersama (selepas PC aku dibaiki, tiba-tiba cerita ini timbul semula dan cerita-cerita yang aku tulis semasa off-line, semua hilang begitu sahaja)
Aku dikhabarkan bahawa Cuti Hari Raya Cina adalah selama 5 hari setelah dicampur tolak cuti mingguan, Awal Muharram, Cuti Sabtu pertama yang dialihkan...eh, lama tu.
hmmm...nak pegi mana ya?
Ini kisah Tasik Kenyir :-
".........Tasik Kenyir..sebuah nama yang pasti menggamit kedamaian kepada sesiapa yang pernah menziarahinya. Sebuah tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara seluas kira-kira 260,000 hektar dan menakung kira-kira 23.6 juta cubic metre air tawar (aku membaca dalam internet bahawa kawasannya dua kali ganda luas negeri Temasik..fakta itu aku tak pasti sebab aku tak tahu berapa luas Temasik itu sendiri). Terdapat kira-kira 340 buah pulau yang dahulunya puncak-puncak bukit (termasuk sebuah pulau yang dihadiahkan kepada Tun Mahathir dan dikenali sebagai Pulau Mahathir) dan menjadi sarang buat kira-kira 300 species ikan air tawar. Antara species yang terbesar adalah ikan Tapah dan Toman ,Toman ni rupanya macam ikan pre-historic dengan kudrat yang amat gagah dan kental. Antara species yang enak dimakan adalah ikan Kelah, Sebarau dan Baung. Ikan Kelah dijual di bandar aku lebih kurang RM 60 sekilo.
Perjalanan aku bermula di Empangan hidro elektrik Sultan Mahmud milik TNB jam 10.30 pagi dan kenderaan boleh ditinggalkan di pondok pengawal dengan caj RM 20 (seingat aku sebab bukan aku yang bayar, aku tak bawak kereta). Perjalanan aku adalah dengan dua buah bot dua tingkat berkapasiti 15 orang termasuk anak bot (awak-awak). Maksimum penumpang 12 orang siap dengan dapur, tandas, tangki air, tilam, bantal dan segala perkakasan memasak. Barang untuk di masak, bawak sendiri..banyak cantik la ngko nak semua siap. Alatan memancing pun bawaklah sendiri. Sewa sebuah bot lebih kurang RM 500 semalaman untuk bot yang amat selesa macam yang aku naik.
Bot aku menyusur perlahan membelah tasik yang saujana mata memandang dengan pemandangan yang menyejukkan dan mendamaikan. Tujuan kami adalah ke Taman Negara sampai ke hujung tasik. Untuk masuk Taman Negara, ngko kena mintak permit dari Jabatan Perhilitan sebelum membuat xpdc, kalau tak..saja-saja kena halau keluar sebab Taman Negara adalah tempat larangan yang telah digezetkan. Perjalanan dijangka selama 4 jam lebih dengan kelajuan entah berapa knot sebab tak ada meter kat stereng bot tu. Dalam perjalanan, jangan tidur..pantang dia sebab kalau nak tidur, lebih afdhal ngko duduk rumah. Tak guna xpdc, tak boleh cerita kat org lain.Belajar amati alam kejadian Tuhan.
2 jam lebih perjalanan, ngko akan melewati beberapa buah gunung disebelah kanan dari kejauhan. Gunung Bewah terkenal dengan guanya yang memanjang masuk ke perut bumi. Hati-hati memasuki gua ini kerana apabila engkau melangkah masuk ke dalam, tiba-tiba sahaja cahaya terang akan menyinari kelam pandangan. Jangan panik tak tentu hala dan membaca segala mentera sebab itu adalah lampu yang dipasang dengan tenaga solar dan ada sensor apabila ngko melangkah masuk. (tapi aku dengar cerita, malam2 pun nyala jugak lampu tu walaupun tak ada orang yang masuk…sebab aku ada anak kecik, aku batalkan lawatan ke situ. Takut macam Mak Andeh cakap, bawak balik rumah..he he..ikut nasihat). Nak masuk gua tu hanya melalui jalan air dan aku difahamkan bahawa terdapat sebuah batu hidup yang semakin membesar menutup laluan masuk ke gua, lambat laun gua tu akan tertutup terus dari kunjungan manusia. Sayup-sayup kelihatan dibelakang Gunung Bewah adalah Gunung Gagau yang aku difahamkan bersambung dengan Gunung Tahan. Gunung ini mempunyai 3 sempadan dan nak masuk ke tiga negeri (Trg. Kel dan Pahang) hanya dengan selangkah kaki.
Selepas 4 jam setengah perjalanan, aku sampai ke hujung tasik di mana 3 buah sungai bertemu iaitu Sungai Cicir, Trenggan (ikut sejarah Terengganu, sungai inilah asal-usulnya nama Terengganu itu sendiri selain nama Terang Ganu (pelangi)) dan Sungai Perpek. Sampai di situ, aktiviti bebas cuma pantangnya, jangan tidur. Tolong2 lah orang masak, aku campak dalam tasik bagi makan kat Toman baru ngko tahu. Kira-kira 9 tahun dulu semasa aku ke sana, banyak ikan. Sekarang pun banyak ikan tapi susah nak tangkap. Baung pun dah pandai pilih umpan. Jangan kail sebelah mata, ikan pun sekolah sekarang. Nak mengail Kelah, kena menyusur anak sungai dan jeram yang cantik dengan batu-batu yang berselerakan dan kejernihan air yang engkau tak mampu tolak untuk berendam di dalamnya. Jeram-jeram disini masih terpelihara keaslian flora dan faunanya. Ngko boleh berendam dengan anak-anak ikan berkejaran bersama-sama ngko.Masa berendam juga pantangnya jangan tidur dalam air, aku hentak dengan batu sungai ! Gila ke hapa tido dalam air!
Semasa mandi jeram, dinasihatkan jangan bersabun kerana kulit ngko akan menjadi berbelang macam Harimau Belang kalau tak hitam terus selepas balik nanti. Tak ada bukti saintifik tapi ada kebenarannya. Bukan jeram di situ saja, tempat2 lain pun.
Untuk menyusur anak-anak sungai yang dikelilingi dengan pokok2 tua dalam hutan hujan tropika, kena naik bot fibre glass, bot besar boleh pergi tapi tak janji dapat balik semula sebab banyak pokok-pokok mati yang masih gagah berdiri dalam air semenjak tahun 1985 ketika empangan di buat. Kalau naik speed boat tu, pakai life-jacket. Jangan memandai over-confident. Jangan letak tangan dalam air, takut disambar Toman dan jangan berkaraoke..sebab suara ngko mungkin menarik perhatian segala monyet, kera dan ungka. Takut nanti next trip ngko datang, haiwan2 tu dah pandai nyanyi lagu Stairway to Heaven..tak ke terkejut nanti.
Dalam Taman Negara segala aktiviti memukat, menjala dan menjaring adalah dilarang keras dan ada petugas-petugas Perhilitan yang akan datang buat spot check. Memancing dan tidur sahaja yang dibenarkan oleh Jabatan tapi tak dibenarkan oleh Kapten xpdc untuk tidur. Ngko ni tak ada keje lain, asyik tidurr aje. Dah, pegi masak nasik!
Suasana dalam ‘deep in the rain forest and in the middle of nowhere’ amat mendamaikan dan tenang setenang-tenangnya. Tak ada bunyi handphone (coverage tak ada), tak ada TV, tak ada radio (siaran tak sampai) dan tak ada kebisingan yang menyesakkan minda. ‘It’s a nature’s masterpiece. Enjoy every minute of it’. Ngko tak akan menyesal. Kalau nasib baik boleh tengok rusa liar turun minum dengan kawan-kawan di tebing tasik.
Apabila Maghrib menjelang, unggas2 akan menjerit bersahut-sahutan dengan nyaring membelah hening petang (serangga2 ini berbunyi dari dalam batang2 pokok sebab tu bunyinya amat nyaring…bendanya kecik aje). Suara-suara unggas ini seolah-olah mengajak kita bertafakur, muhasabah dan merenung perjalanan hidup kita. Jangan bertafakur lama-lama, pergi sembahyang Maghrib !
Apabila malam melabuhkan tirainya, tinggallah kami dalam gelap pekat malam bertemankan cahaya bulan dan lampu kalimantang dari generator yang disediakan. Kepada kaki-kaki pancing, hulurkanlah joran mana tahu dapat Toman, Baung atau sekurang-kurangnya Lampam. Memancing itu sebenarnya satu sampingan kerana ramai yang termenung jauh melihat bayang-bayang pokok kayu mati sambil fikiran terbang merewang jauh menjangkaui pandangan dan singgah entah di mana. Aku bukan tak minat memancing tapi waktu2 sebegitu, aku lebih senang duduk2 bersembang tentang kehidupan dan berkongsi pengalaman. Ikan2 di situ sudah jarang menyambar umpan tak macam dulu-dulu walaupun di situ masih dikenali sebagai ‘Angler’s paradise’.
Sudah larut malam, suasana makin hening dan mendamaikan…dah la tu, pegi tido ! Aku dah cakap tadi, jangan tido..kan dah susah nak tido..degil..Tidur di dalam bot yang ditambatkan pada pokok kayu mati sebenarnya selamat kerana tak mencecah tebing. Selamat dari gangguan haiwan liar. Rimau..? mulut tu jangan celupar dalam hutan ni..!
Suara-suara unggas semakin tenggelam dan sirna..apa yang kedengaran hanyalah suara-suara parau dari kerongkong teman-teman. Aiseh man, kenapalah mamat ni tido sebelah aku….
Subuh menjelang tiba, dingin mencengkam…inilah masa kegemaran aku kerana duduk di pinggir bot sambil merenung air tasik yang dalam dan menghijau..wap-wap air bergerak malas di atas permukaan. Seolah-olah ‘time is standing still. As if the globe has stop spinning.’ Tapi masa itu tak lama kerana sebentar lagi matahari akan muncul menunjukkan wajahnya. Aku cukup syahdu dan akan aku kenang saat2 itu dan aku simpan dalam kotak ingatan aku.
Itulah keadaannya selama 3 hari 2 malam xpdc aku bersatu dengan alam. Hilang segala kerunsingan sementara kerana ngko seolah-olah berada dalam dimensi baru ala cerita Twillight Zone gitu.
Hari ke tiga, perjalanan pulang ke tamadun manusia. Pantang sudah dilonggarkan..bolehlah nak melelapkan mata, tapi kemaskan dulu segala peralatan dan perkakasan. Jangan menyusahkan orang. Cuma ada satu lagi pantang…semasa menghampiri empangan ketika melintas di kawasan tadahan yang luas dan kedalaman yang aku agak mencecah ratusan kaki, jangan nak memandai menghulurkan joran dan memancing terutamanya ‘bottom fishing’ (mengail sampai dasar)…pertamanya, memang tak dapat ikan, keduanya bot sedang berjalan dan ketiganya aku takut muka ngko masuk paper kerana berjaya menaikkan sebuah traktor !..mengikut sejarahnya, jurutera-jurutera yang membina empangan tersilap menghitung kejadian alam dan kuasanya. Apabila Sungai ditutup dan ditakung, mereka menjangkakan air tak akan naik dengan cepat. Takdirnya hujan turun mencurah-curah dan air telah naik dengan pantas dan berpuluh-puluh jentera dan lori pasir tak sempat dinaikkan. Tinggallah semua jentera tersebut terbenam di dasar tasik dan menjadi macam bangkai Titanic (James Cameroon tak nak buat cerita ke ?).
Kami dapat jugak tangkapan…ada Toman 3-4 ekor sepanjang 2-3 kaki, sebarau, keli, kelah sekor dua, baung dan lampam satu tong. Boleh lah buat jadikan bukti bahawa ngko pergi tasik kenyir dan bukannya melencong ke sempadan..he he..(sebab line handphone tak ada ! bukan sengaja off kan).
Hah..Pari ?….aku sekeh jugak budak ni kang…ini tasik air tawar, bukan laut! Lain kali buat homework sebelum datang sini.
Okay lah..tu je aku nak cerita..he…he.. "
Selamat Merancang Cuti.
Selamat Tenang-Tenangkan Diri Sendiri.
~d'arkampo.
No comments:
Post a Comment