Sunday, October 17, 2004

The Tragedy...


Salam Ramadhan Al-Mubaraq,

Saudari Kinky ada bertanyakan tentang kisah Natrah dalam comment’s box aku untuk entry di bawah. Mak Andeh dengan penuh semangat telah memberikan beberapa jawapan (sebab dia tahu aku cuti pada hari Jumaat).

Ah, kisah Natrah. Sebuah kisah klasik tentang pertembungan cinta, budaya dan agama yang berbeza.

Pada sekitar tahun 80an (aku tak ingat bila) Majalah Dewan Masyarakat telah membuat satu cerita eksklusif tentang Natrah serta berusaha menjejakinya di Holland. Majalah itu telah mendapat hits dan terpaksa membuat ulangan penerbitan beberapa kali. Syarikat penerbitan Dewan Masyarakat dan wartawannya menjadi terkenal dengan sekelip mata.Aku adalah antara pembeli dan pembaca Dewan Masyarakat semenjak kecil lagi tetapi semenjak isu itu berakhir, aku jarang membeli dan membacanya lantas majalah itu menjadi suram dan kurang diberi perhatian.

Siapakah Natrah binti Ma’arof atau Nadra atau Maria Hertogh yang cukup terkenal ini sehingga mengorbankan 18 nyawa, mencederakan 173 yang lainnya ?

Pada usia 13 tahun, dia adalah seorang gadis yang cukup cantik dan ayu. Cantik kerana di Daerah Kemaman, Terengganu khususnya di Kampung Banggol tiada pasangan yang melahirkan seorang anak perempuan bermata biru, berkulit putih kemerahan dan berambut perang. Dia menjadi tumpuan.Seharusnya tumpuan yang diberikan hanya terlingkung sekitar kampung itu sahaja dan dia akan menjadi salah seorang penduduk di Tanah Melayu ini tanpa kontroversi.

Malangnya wajah ‘luar dari biasanya’ menjadi perhatian seorang Pegawai British yang melawat sekolah di mana dia belajar dan bermulalah kisah duka dalam hidupnya. Rentetan peristiwa yang bersambung-sambung menjadikan kisahnya adalah sebuah kisah yang menarik untuk didengar.

Ceritanya di sini

Maaf, pada 11 Disember 1950 aku masih belum dilahirkan jadi aku tak tahu sangat secara pengalaman terus tentang kisahnya. Aku sama seperti yang lain, membacanya dari buku-buku sejarah.

Tentang kembalinya Maria Hertogh ini ke Terengganu, aku rasa ianya tidak benar kerana aku tidak mendengar apa-apa percakapan tentang perkara itu di sini. Yang ada di sini adalah seorang warga Peranchis yang bertemu jodoh dengan seorang pengusaha chalet di Pulau Duyong. Beliau telah sekian lama di sini dan anak-anak beliau semuanya bermata biru dan sudah besar-besar. Dua antara anak-anaknya menjadi peguam dan seorang menjadi model dan juga isteri kepada bekas penjaga gol Selangor, Azlisham Ibrahim.Dia bukan Natrah.

Cuma ada beberapa fakta penting yang tidak diceritakan dalam website-website yang membicarakan isu Natrah.Antaranya :

1. Maria Hertogh kini menetap di Holland serta mempunyai dua anak (kalau aku tak silap). Dia menjadi orang biasa. Tak ada apa yang istimewa. ( sayugia diingatkan, 18 nyawa terkorban kerana dia). Dia langsung lupa tentang bahasa Melayu, agama Islam atau adat resam.Ini aku baca dalam edisi terakhir Dewan Masyarakat berkait isu Natrah.

2. Allahyarham Mansor Adabi yang menjadi bekas suami Natrah mendalami minatnya dalam bidang undang-undang selepas kesnya dan Natrah diputuskan.Beliau berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang. Beliau kemudiannya mengabdikan diri pada bidang penulisan journal dan makalah undang-undang. Antaranya adalah the Malayan Law Journal.

3. Peguam yang mewakili Natrah dan Mansor Adabi adalah Allahyarham Tan Sri Professor Ahmad Ibrahim. Satu nama yang cukup besar pengaruhnya dalam sistem perundangan dan sejarahnya di Malaysia sehingga namanya diabadikan kepada Fakulti Undang-Undang Di UIA. Semasa aku mendengar satu kuliah tentang kes Natrah ketika aku mengaji dulu, aku difahamkan bahawa Tan Sri Ahmad Ibrahim pernah berkata ketika Rayuan beliau ditolak di Mahkamah Singapura. “Alangkah baiknya kalau kes ini dibicarakan di Semenanjung Tanah Melayu…’

4. Tiada siapa yang tahu kesudahan Ibu Che Aminah bte Muhammad. Yang pastinya beliau menanggung derita yang amat sangat bila anak angkatnya yang ditatang bagaikan minyak yang penuh diambil begitu sahaja. Keluarganya tiba-tiba menjadi lenyap tanpa sebarang berita.

5. Maria Hertogh juga tiba-tiba menjadi lenyap tanpa sebarang khabar berita setelah beliau dimasukkan ke sekolah convent di Holland sehinggalah dijejaki semula oleh wartawan Dewan Masyarakat. Dia seolah-olah sudah lupa kenangan lalu dan tak mahu membicarakannya lagi.

6. Nama Melayu beliau adalah Natrah dan bukannya Nadra sebagaimana yang disebut-sebut sebagai The Nadra’s Tragedy. Tiada orang Melayu Terengganu yang membubuh nama Nadra pada anaknya. Itu cuma pelat Mat Salleh untuk menyebut nama Natrah.

Entah lah, dalam negara kita sekarang pun banyak kisah-kisah yang ‘hebat’ tiba-tiba menjadi lenyap.Samaada sengaja dilenyapkan atau orang kita memang suka senyap-senyap.

Hantam sajalah Labu…..

~d’arkampo.

2 comments:

Sri Diah said...

D'arkampo dll:

Tentang Siri Natrah:
1. Wartawan yang bertugas bertemu Natrah itu ialah Fatini Haji Yaacob (sekarang Datin Fatini - hehehe, kawan saya)

2. Suami Datin Fatini dulunya ialah bekas Setiausaha Politik seorang Menteri Kanan.

3.Majalah yang terbitkan artikel tu ialah Majalah Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

4. Editor Dewan Masyarakat ketika itu ialah Johan Jaafar (sekarang Datuk Johan Jaafar)

5. Artikel dan penulis siri itu mendapat Anugerah Kajai (anugerah tertinggi utk wartawan dan artikel yang best anjuran Institut Akhbar Malaysia)


.. takat tu jelah yang boleh bagi tau ;-)

Anonymous said...

saya baru membaca novel mengenai natrah ini dan sangat tertarik mengetahui kelanjutan mengenai natrah ini. namun saya juga ingin tahu yg sebenarnya terjadi karena sepertinya dari novel yg saya baca dan dari tulisan anda ada yg berbeda. kalau boleh tahu ada kan website yg lengkap membahas soal natrah ini?