...
Semalam, aku pulang dari kota yang menyembunyikan seribu kegelisahan. Menyimpan sejuta kenangan dan mengejangkan selaksa urat-urat kaki aku yang keletihan.
Tiada apa yang hendak aku katakan tentang Kuala Lumpur.Kota itu tetap kota yang penuh dengan lumpur. Kota yang bersimpang-siur dengan manusia yang mencari susur galur.
Di tempat aku, setelah sekian lama, aku Cuma perlu meletakkan kereta di hadapan kedai dan setelah berjalan beberapa langkah, hajat tercapai. Mudah.
Di kota sana aku terpaksa berjalan banyak langkah. Semua kenderaan pengangkutan aku redah. Sebut sahaja, teksi? LRT ?, KTM Komuter ?, ERL Ekspress ?, ERL Transit ? . Cuma bas dan monorail sahaja aku tak naik. Payah.
Aku tak mahu cerita itu. Itu semua orang tahu.
Aku mahu cerita pasal kampung P-Nut. Ya, P-Nut Inn yang tersohor dan disebut-sebut dalam Blog Mat Jan. Eh, silap… Mat Super Jan Inside. Perkampungan elit dan pintar. Putrajaya dan Cyberjaya. (tak termasuk Jaya Jusco, ..Jayaratnam atau Berjaya Group).
Aku diberitahu oleh rakan-rakan Bloggers tua bahawa P-Nut Inn terletak di Precint 9. Aku menginap dua malam di Precint 10. Ingatkan sebelah menyebelah, rupanya jauhhh.
…
Pesawat yang membawa aku ke KLIA tertangguh dekat 2 jam jadi aku sampai di Sepang dah melewati tengah malam. Kawan aku menawarkan satu bilik di rumah Semi-detached nya di Precint 10. Jam 3 pagi, setelah selesai borak-borak di Serdang, aku sampai ke Putrajaya. (Dulu, aku cuma pernah lalu sahaja di situ) . Cantik kawasannya. Kawan aku cakap, kalau nak hafal Putrajaya, jangan sesekali hafal nama jalannya. Cuma hafal bentuk dan konsep tiang lampu, pasti sampai ke tempat yang dituju.
Apa pasal semua rumah tak ada pagar ? Hebat.
Besoknya, jam 7.30 pagi, aku sudah terpacak di hentian ERL Transit ke Kota Raya sebab kawan aku kerja di Cyberjaya.
Jumaat itu aku kerja sepanjang hari, beralih dari satu destinasi ke satu destinasi.
Habis kerja pada petangnya, aku mencari hotel. Semua hotel di Kuala Lumpur penuh. Jenuh aku menelefon dari hotel ke hotel. Aku Cuma perlukan penginapan satu malam untuk berehat setelah penat berjalan. Yang ditawarkan oleh mereka pada aku pula adalah Suite, Junior Suite yang tak berbaloi hanya untuk tidur. Akhirnya aku menginap di Hotel Flamingo di Ampang. Ada bilik mengadap tasik dan mengadap jalan. Aku memilih untuk mengadap tasik. Hati aku tertanya-tanya, tasik di Ampang? Aku pernah pergi Tasik Kenyir dan Tasik Cini, jadi expectation aku walau tak sebesar tasik-tasik itu, sekurang-kurangnya cukup besar untuk digelar sebuah tasik.
Aku menelefon kawan aku, dia cakap ‘a’ah..ambik bilik yang mengadap longkang besar..nice view..’
Bila aku masuk, betul, sebuah tasik. Mungkin di tengah-tengah KL itu adalah tasik, tapi kat tempat aku, itu adalah sebuah kolam ikan. Bekas lombong di Puchong atau Loji memproses najis di Pantai Dalam jauh lebih besar dari tasik itu.
Sabtu, appointment aku dibatalkan jadi aku punya satu hari untuk menyelongkar Kota yang penuh sesak dengan kenderaan. Kali ini keseorangan. Biasalah, aku bermula di KL Central kerana semua jenis pengangkutan ada disediakan. Macam Blog Mat Jan, singgah di situ untuk transit ke Blog lain.
Semasa di Pusat Membeli-belah Lembah Tengah, Jigo dan Spyz telefon bertanyakan lokasi dan jadual perjalanan aku. Aku terpaksa bergerak pantas dari satu destinasi ke suatu destinasi kerana banyak benda aku nak beli dan perhati. Mereka akhirnya dapat ‘tangkap’ aku kat KL Central semula.
Mula-mula aku jumpa Jigo. Dia cakap ‘ aku ingat mamat ni hensem…rupa-rupanya Mat Tensen..’ (dia cakap dalam hati, aku dengar dalam hati jugak macam cerita PGL). He he .
Lepas tu aku dibawa mengadap Spyz dengan anak-anak dan isteri. Kitorang bertukar-tukar cerita tapi tak lama sebab kawan aku dah tunggu aku dan janji nak keluar bersama ke IKEA. Dua jejaka tadi memang hensem dan mesra. Aku ingat Blog korang je best, korang memang best.
Petangnya, tak jadi ke IKEA sebab jalan dah jadi lautan kenderaan. Kami melencong ke One Utama. Besar gila, last sekali aku datang (masa IKEA ada) taklah besar sangat. Sekarang, lenguh lutut-lutut aku menyeberang dari satu titik ke satu titik. Seronok makan dan sembang tak tersedar jam dah pukul 6.30 petang. Flight balik aku jam 8.05 malam. Berkejar ke KLIA sampai tersesat-sesat sebab nak cari jalan paling dekat.
Sampai KLIA jam 7.45 malam. Aku berkejar ke kaunter pendaftaran. Kat mana ? aku cari merata tapi tak ada. Aku baca pada monitor, aiseh…pendaftaran dah ditutup.
Ya, aku ketinggalan kapal terbang.
Pertama kali dalam sejarah hidup aku, aku ditinggalkan. Aku kelu kejap. Anak bini menunggu rindu nak tengok aku dan baju baru.Mereka dan aku terpaksa tunggu. Berkejar ke Kaunter MAS, paling awal, pagi esok. Nasib baik ada kosong lagi.Kena check in jam 6.30 pagi. Terpaksalah, nak buat macam mana lagi.
Kawan aku cakap ‘ Tak pe..there’s always first time for everything’
Malam itu aku balik Putrajaya tapi sebab nak hiburkan hati aku, kawan aku bawak pusing satu Putrajaya. Semua ceruk Putrajaya aku masuk, semua jambatan yang canggih-canggih aku redah, semua tempat makan, club house dan taman pertanian aku masuk. Sememangnya Putrajaya satu tempat yang cantik di waktu malam dengan cahaya-cahaya terang benderang. Memukau pandangan.
Puas merewang di Putrajaya, kami menyelongkar projek agung tapi tak ada untung. Itulah Cyberjaya. Kawan aku cakap ‘ Malaysia ni, kita ada perancangan dan kemudahan yang terbaik di dunia. Semua itu bagus tapi pengisiannya kurang. Kita tak ada kepakaran, kita kurang pengalaman. Separuh dari dunia belajar dengan kita tapi mereka kemudiannya lebih maju dari kita.’
Kata-kata yang harus di fikir dan renungkan.
Jam 12 tengah malam aku sudah terlentok membetulkan urat-urat kaki yang kejang.
5.15 pagi esoknya, aku sudah terpacak di stesyen ERL. Aku tak boleh ketinggalan lagi.
Aku tahu perasaan hampa bila ditinggalkan….
Kita memang ketinggalan.
~d’arkampo.- Maaf pada semua. Lain kali kita bercerita.
No comments:
Post a Comment