Wednesday, October 27, 2004

Bila Hujan Berhenti...

...

Lewat hari-hari yang berlalu ini, hujan terus turun mencurah-curah bagaikan butir-butir kaca di simbah. Bukan setakat di sini tetapi hampir di kesemua kawasan di dalam negara. Mengikut kajian geografi, ini adalah musim peralihan monsun.Mengikut kajian aku, hujan ini seperti ingin memberitahu sesuatu.

Hujan bukan sekadar air yang tergenang pecah dari kandungan awan gemawan. Hujan juga bukan sekadar titis-titis air berderai di udara. Hujan adalah perlambangan yang cukup mudah untuk menarik hati atau meruntun perasaan . Kerana hujan biasanya ditemani oleh angin kencang, guruh, kilat dan petir yang bergoncang yang boleh dilambangkan dengan kemarahan dan perasaan yang tidak tenteram. Hujan juga boleh turun dengan lembut bagaikan gerimis yang boleh dilambangkan sebagai satu kesedihan atau rasa duka yang panjang.

Hujan dan udara yang dingin adalah satu kejadian Tuhan yang mengundang pelbagai tafsiran.

Bagi aku, hujan membawa sejuta ketenangan.Menghimbau seribu kenangan.

Kini aku berdiri menghadap cermin yang penuh dengan titik-titik air dan lurutan hujan yang bagaikan satu lukisan kehidupan tergambar dihadapan.Pemandangan bangunan-bangunan yang berbalam di hadapan bagaikan menutup wajah realiti dan menghentikan detik waktu yang berjalan.

Aku teringat suatu waktu dahulu, dalam hujan-hujan begini. Dalam dingin dan berkabus.


‘Kenapa Mak beli kasut ni..? saya tak mahu kasut niiii!’

‘Kenapa dengan kasut tu? Kan lawa tu…’ kata mak dengan lembut. Memujuk.

‘Mak! Ini kasut Bata!..koman, Po nak kasut Diadora!’

‘Alaa..Bata dengan Diadora kan sama je..’ Kata mak lagi, masih memujuk.

‘Mak ni tak reti lah, Po malu dengan kawan-kawan…’


Aku terus mencampakkan sepasang kasut jenama Bata yang masih baru ke dinding. Tepat depan Mak dan terus masuk ke bilik. Rumah kayu beratap rumbia bergegar kencang dengan hempasan pintu bilikku.

Mak sudah tak punya suami bermakna aku juga sudah tak punya Ayah,Ayah menghilangkan diri entah ke mana sejak berkurun lamanya. Aku tak pernah kenal siapa manusia yang bernama Ayah. Selama ini Mak sahajalah yang menjadi ibu dan bapa kami adik beradik.Selama ini Mak sahajalah yang menanggung makan dan minum kami empat beradik. Selama ini Mak sahajalah yang menjadi pelindung, penawar dan racun dalam pejam dan celik.

Mak adalah segala-galanya bagi kami.

Mak terpaksa bekerja demi mengisi perut kami, demi menyekolahkan kami, semuanya demi kami tetapi tak pernah sesekali demi dia sendiri.Benarlah bagai perumpamaan, ibu berkelip bak api lilin, membakar menerangi insan lain sedangkan diri cair tanpa ada yang berpaling.

Cuma aku, aku sahaja yang meminta-minta sedangkan aku tahu bahawa Mak tak pernah mengecap kemewahan sepanjang hidupnya.Dia bekerja dengan penuh derita, dihina dengan kata-kata nista. Semua itu diharunginya demi kami, anak-anaknya ini.

Dan…aku telah meletakkan sepasang kasut Diadora melebihi kasih seorang ibu.

Aku tahu yang Mak terasa dengan tindakan aku. Aku sedar, aku terkasar bahasa, terkurang ajar dengan orang yang memberi ruang untuk aku terus hidup, bernafas dan merasa nikmat dunia.

Bila aku keluar dari bilik setelah menyedari kesilapanku, aku lihat mata Mak tergenang dengan air jernih yang bakal tumpah dengan selembut kerlipan matanya.

Aku berjalan perlahan menuju kepadanya dan aku peluk Mak. Dadaku panas, air mata Mak bercucuran. Aku pegang tangan Mak dan aku kucup perlahan. Aku pohon sepenuh keampunan. Tubuhku panas dengan kasih sayang antara insan.

….

Dan hujan masih belum berhenti. Hujan gugur menabur bakti. Hujan seakan-akan mengerti bahawa hidup ini bukanlah sekadar satu perjalanan. Hidup ini penuh dengan persimpangan dan persinggahan.

Pilihlah jalan yang terang. Tanpa hujan, tanpa kabus kelam.

-Ini adalah cerita yang dipetik dari Journal Encik Poh Swan Seng, pemilik kepada rangkaian kedai-kedai kasut jenama Bata di seluruh negara.

Sekian, terima kasih.

~d’arkampo.

No comments: