…
Aku sebenarnya terkejut tahap mengkarung ekor bercabang bila ada antara pembaca yang tak tahu kewujudan kasut jenama Diadora tapi setelah aku duduk mengambil angin waktu malam sambil menyedut ‘udara segar’ dan menghidu aroma selepas hujan…aku baru tersedar bahawa jenama tersebut amat tersohor sekitar tahun 1985 atau 1986…dah hampir 20 tahun dulu.
Meh, aku ceritakan pasal evolusi kasut sukan dan kesannya kepada budak-budak yang baru nak matang dari perspektif seorang aku.Aiseh, dah macam tajuk thesis ni.
Baik, semasa aku kecil dulu dalam sekitar tahun 1970 sehingga tahun 1976..kasut yang paling popular dan paling praktikal ketika itu adalah kasut kulit tanpa jenama yang cukup tahan lama dan bergaya tetapi harus berhati-hati kalau terpijak kaca atau paku kerana tapaknya mudah terkoyak dan mengeluarkan darah.Kalau ada selipar Jepun sekalipun, ianya taklah seselesa memakai kasut kulit manusia ini.
Masuk sekolah rendah, tentulah kasut jenama Bata untuk dibawa ke sekolah.Bata dulu bukan macam kasut Bata sekarang.Kasut Bata dulu cuma ada satu design sahaja iaitu macam yang dipakai oleh pemain-pemain sepaktakraw sekarang. Ada satu design tetapi ada dua model.Ha..jangan terkejut pulak kerana harganya berlainan. Model yang lebih mahal adalah model yang mempunyai tapak hijau sementara yang lebih murah adalah model tapak merah.Aku tak tahu kenapa dan aku tak mengkajinya sebab aku kecik lagi masa tu..
Selain kasut Bata itu, ada satu lagi kasut getah yang langsung tak menggunakan kain. 100 % getah serta mempunyai tapak yang ber’stud’. Aku tak gemarkan kasut itu sebab nampak tersangatlah tak macho walaupun tak perlu bersusah payah membasuhnya, Cuma lap pakai kain basah je..kasut itu biasanya digunakan untuk menoreh getah kerana kekebalannya meredah ladang dan sengatan haiwan berbisa.
Sekolah rendah, aku tak kisah sangat pasal kasut kerana masa tu belum pandai mengurat lagi.
Bila masuk je sekolah menengah, aiseh…aku seperti budak-budak lelaki yang lain telah dilanda Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Perasaan Terhadap Kasut atau singkatnya SAIDS. Ketika itu semua budak lelaki nak bergaya dengan kasut yang kelas dan berjenama. Kasut Bata hanya layak diperagakan oleh budak-budak perempuan. Zaman itu belum ada pesaingnya iaitu Pallas Jazz. Kalau ada budak lelaki yang pakai kasut Bata, itu hanyalah nerd atau Mat Buku Spek Tebal sahaja. Orang-orang macho macam kami, malu nak pakai kasut Bata.
Alternatif bagi kasut Bata ketika itu adalah kasut Warrior yang nampak hensem dan bergaya. Maaf, budak perempuan tak pakai kasut ni, kalau ada pun yang jenis Tomboy.Itu time sekolah, time aktiviti luar waktu sekolah, itu yang dahsyat…semua datang dengan pelbagai jenis kasut sukan. Paling glamour waktu tu..sekitar tahun 1982 atau 1983 adalah Adidas Rom. Sapa pakai tu akan menerima tabik hormat daripada kawan-kawan. Masa tu zaman Grammy Awards Michael Jackson dengan lagu Beat It. Seingat aku, boot bola paling famous masa tu adalah Adidas La Plata.
Aku dah mula memasang angan-angan nak memiliki kemegahan pada kaki aku sendiri.
Bila aku naik Tingkatan 4 dan 5, bermulalah zaman Rock Kapak apabila Search mula memasarkan album Cinta Buatan Malaysia dan Lefthanded dengan Ku Kehilangan Cinta 3 Dimensi. Serentak dengan itu juga Battle Of The Bands seperti Ella and The Boys, May, SYJ , Rahim Maarof & Whitesteel dan beberapa band lagi mula menjadi kegilaan.Mereka memperkenalkan kasut-kasut sukan yang pelbagai.
Aku boleh berdiri berjam-jam di kedai kasut hanya untuk berangan-angan.
Search ditaja oleh Diadora, kasut high cut yang cukup sesuai untuk Rock. Ianya nampak seperti kapak bila seluar ketat dan dikenakan dengan kasut besar, mungkin kerana inilah ia digelar Rock Kapak selain gitar berbentuk kapak, Dikejar oleh Bapak dengan Kapak bila sengaja koyakkan jeans kat lutut serta keberkesanan minyak cap kapak ketika itu selepas headbanging 3-4 lagu.
Semua umat manusia nak pakai high-cut masa tu. Muncul jenama-jenama baru seperti L.A. Gears, Reebok, Converse, New Balance dan satu jenama Malaysia iaitu Aliph. Aliph sudah menjadi arwah sekarang.Zaman tu kasut boot ala cowboy belum sampai di Pelabuhan Kelang jadi semua rockers pakai kasut sukan.Jenama-jenama tersebut tersangatlah mahal bagi makhluk-makhluk seperti aku. Nak pakai jenama Aliph, takut nanti diketawakan oleh rakan-rakan rockers..bukan rakan-rakan Bloggers eh...
Apabila aku dah mula nak SPM, undang-undang sekolah dilonggarkan sedikit sebab semua sibuk nak exam, budak-budak pun mulalah memakai kasut kain jenama Nike dan Diadora yang agak murah di pasaran ke sekolah, sekejap sahaja dimulakan ia sudah menjadi ikutan. Untuk mengelirukan Cikgu Disiplin, kasut itu disapu dengan kapur kasut untuk menghilangkan lambang dan stripe ditepinya.
Ada kasut alternatif bagi budak tak ada duit macam aku. Setelah mengumpulkan duit raya, aku berjaya membeli kasut jenama Lotto yang nampak macam kulit dan mahal tetapi hanyalah plastik dan PVC. Beberapa tahun berikutnya, aku berjaya membeli kasut jenama Patrick (sudah pupus sekarang) juga dari duit raya.
Mak aku kata “aii..beli mahal-mahal ingat nak letak kat kepala..letak kat kaki jeee’
Pedih..
Pedihh..
Bila aku di tingkatan enam, Abang aku di U.S. mengirimkan kasut L.A. Gears Hi-Cut melalui pos dan setelah buat muka sedih dan merayu pegawai pos, aku cuma perlu bayar hanya beberapa puluh ringgit untuk cukai yang ditaksirkan beratus-ratus ringgit.Kalau kena cukai tu, aku tinggalkan aje kasut tu kat Pejabat Pos.
Itulah pertama kali aku pakai kasut betul-betul dibuat dari kulit dan mahal dan yang paling pentingnya, tak ada kat Malaysia. Riak dan takabur aku ketika itu mencapai tahap Mat Jan dengan kasut Adidas putihnya itu.
Setelah aku bekerja dan dapat duit ribu-ribu, aku mula mencari angan-angan aku dulu. Kasut kulit terbalik aku beli (licin di dalam, berbulu diluar kasut), kasut Reebok hitam pujaan aku dulu aku beli, kasut badminton jenama New Balance dan Carlton aku beli, Kasut Adidas aku beli dan bermacam-macam jenis lagi. Ada yang aku simpan, ada aku buang, ada yang aku bagi orang dan ada yang aku pakai masa potong rumput di laman.
Sekarang aku selesa dengan kasut Adidas hitam design lama sebagai kasut leisure dan kasut kerja dari jenama Bonia dan Scotch. Masa-masa lain, aku hanya pakai sandal Adidas merah yang aku beli di pasar malam.
Betul, tulisan dia Adidas bukan Adibas atau Abibas.Lambangnya sama.
Sekian sahaja rencana Evolusi Kasut Sukan untuk Discovery Channel.
He he …selamat membeli kasut raya.
~d’arkampo.- kepada orang tua yang masih memakai selipar Bubble Gummers, anda satu dalam sejuta. Okay apa..he he he.
3 comments:
Iklan Bata cam ni:
Mula-mula ke Bata
Kemudian ke Sekolah.
* Errr... kasut Fung Keong - jgn lupa!
zaman sekolah aku dulu, aku pakai pallas. kalu ada koyak kt ujung jari itu org pggl kewl n stylo!:)
-kel@mbu-
mmg evolusi kasutt!
Post a Comment