Sunday, February 06, 2005

Jeritan Tak Bersuara



Hari sudah mulai menempuh kegelapan. Dalam remang-remang senja nan merah, angin bertiup perlahan.Membelai daun-daun dan pepohonan. Gemersik nada dan suara alam.

‘pak cikkk !!!’ jeritnya nyaring.

‘Tolong saya pak cikk !!!’ jeritannya membelah sunyi petang yang suram.

Kelihatan Pak Cik yang baru pulang dari kebunnya memperlahankan basikalnya. Pak cik itu memandang ke arahnya lalu berhenti seketika di pinggir jalan. Dia merenung seketika ke arahnya dan memandang sekeliling.Memerhati setiap gerak ranting dan dahan.

Tergesa-gesa pak cik itu meneruskan kayuhan. Semakin lama semakin laju dan hilang dari pandangan setelah gelap malam menyelimuti cerah siang.

Dia masih di situ, terbaring kaku dan bisu.

Sudah berhari-hari dia terlantar di atas hamparan rerumputan, di celah-celah semak samun yang merimbun penuh kekusutan.

Dia tak mampu bergerak walau untuk merangkak. Dia tak mampu untuk mendongak walau untuk melihat lembayung senja yang bersinar dengan pelbagai warna dan corak.

Dia pasrah, hanyalah jeritan-jeritan dari dalam hatinya memecah damai dunia. Dia amat takutkan kegelapan malam kerana apabila malam menjelma, ribuan serangga dan binatang berbisa akan datang memamah urat dan dagingnya, memamah tulang temulangnya tanpa bersisa.

‘Tuhan, selamatkanlah aku dari kegelapan malam..’ bisik hati kecilnya penuh dengan rona-rona kegelisahan.

Dia tak mampu menangkis mahupun sekadar menguis ulat-ulat yang bertaburan di atas dadanya. Ulat-ulat yang menggigit dan mengorek setiap rongga yang terbuka.Cacing, lipan dan kumbang tetap menghurungi tubuhnya walau dia dengan suaranya cuba menghalau serangga-serangga itu dari menghampirinya.

Dia hanya punya suara. Suara yang langsung tidak bergetar di kerongkongnya.

Malam itu berlalu dengan azab dan pedih. Binatang-binatang berbisa masih lagi menggomolnya tanpa rasa, tanpa belas, tanpa kata bicara.Ulat-ulat sudah kenyang memakan setiap inci tubuhnya dan bergolek jatuh sebelum menggeliat mengorek tanah-tanah yang menjadi hamparan tidurnya.

Siang akhirnya menjelma dengan matahari memancar terang menyinari alam maya.Serangga-serangga berbisa mulai mengundur untuk berteduh di sebalik tunggul dan dahan yang reput di mamah usia.

Dia terasa sedikit ceria kerana dia amat bencikan kegelapan.Dia amat takut berseorangan dalam himpunan daun-daun kering dan kusam.Pagi itu, dia mendoakan sekelumit harapan.

Tuhan itu maha Agung.

Pagi yang cerah dengan kicau burung sahut menyahut, dia mendengar suara-suara yang sudah beberapa hari tidak kedengaran. Suara anak-anak yang sebaya dengannya.Mereka menjerit-jerit kegirangan dengan lastik di tangan. Dia kenal suara-suara mereka, suara-suara teman-teman sepermainannya.

‘Mann…tolong aku, aku di siniiii..!!!!’ jeritnya panjang.

‘Dollll….kasihankan aku, aku tak mahu lagi di siniiii…!!!!’ jeritnya lagi.

Jeritan-jeritan itu tidak mampu mengejutkan makhluk-makhluk yang bertebaran di muka bumi ini.

Dia menangis. Menangis semahu hati. Menangis mengenangkan nasib diri.

Tuhan itu maha kaya.

Man dan Dol yang sedang mengejar burung serindit penuh warna akhirnya tepat berdiri di hadapannya.

Dia cuba tersenyum pada mereka dengan lebaran bibirnya tetapi mereka tak mengendahkannya sehinggalah Man tersadung kakinya.

Man menjerit diikuti oleh Dol yang terus berlari pergi tanpa menoleh padanya lagi.

Dia tersenyum, dia tahu, sekurang-kurangnya dia tak akan sendiri lagi di sini. Man dan Dol mungkin akan kembali untuk bermain-main dengannya apabila mereka tahu di mana dia kini.

Dia menangis lagi, menangis kerana dia gembira. Dia tak perlu menjerit lagi.

….

Tengahari itu, sekumpulan pakar-pakar forensik dari PDRM berkumpul di satu sudut hutan belukar dengan penemuan rangka manusia yang dipercayai kanak-kanak perempuan berusia 10 ke 15 tahun. Dipercayai kanak-kanak tersebut telah dirogol dan dibunuh sebelum mayatnya di buang di situ.Pihak polis memohon sebarang maklumat dari orang ramai yang kehilangan anak mereka.

….

~d’arkampo rentetan beberapa kejadian dan penemuan rangka kanak-kanak selang beberapa bulan di bandar kecilku benar-benar mengejutkan dan membimbangkan aku.Jeritan mereka jeritan dunia, jeritan mereka tanpa suara.

No comments: