Wednesday, August 03, 2011
Ada Sinar Di Mata Mu....
Baru-baru ini, ketika aku di dalam perjalanan untuk mengambil anak bungsu aku. Aku melintasi sebuah bengkel motosikal di kampung Banggul Pauh, Seberang Takir.
Selama ini, bengkel kecil itu tidak pernah menarik perhatian aku sehinggalah ke hari itu.
Dihadapan bengkel, antara deretan motosikal yang mungkin untuk dibaiki terdapat sebuah Suzuki RG Gamma 250 bewarna putih belang biru.
Sebijik dengan gambar di atas.
Di atas pelana terdapat satu tanda diperbuat dengan kertas kadbod.
"UNTUK DIJUAL"
Aku seperti mahu menekan brek , mengundur dan lalu keluar dari kereta. Bertanya harganya yang aku agak mungkin tak sampai RM5,000.00 harga 'market'nya sekarang untuk model motosikal yang buleh dikatakan hampir menjadi 'collector's item'.
Lalu aku membayar harganya.
Aku memakai topi keledar putih dari jenama AGV dengan 'visor' gelembung disingkap ke atas topi. Jaket kulit hitam dan seluar jeans. Kasut 'hi-cut'.
Ray ban.
Aku hidupkan enjin Suzuki RG Gamma 250 cc. Melantun-lantun bunyinya keluar dari corong ekzos berkembar di kiri dan kanan motosikal.
Aku masukkan 'gear' satu dan zooom menderu membelah angin.
Sambil aku menunggang motosikal yang paling hebat di zamannya aku melihat seorang budak sekolah menengah yang aku agak mungkin di Tingkatan Tiga atau Empat. Budak itu tidak berkelip melihat aku dan motosikal aku yang sengaja aku perlahankan.
Aku beranggapan bahawa budak sekolah itu mesti sedang bermimpi untuk memiliki sebuah motosikal sehebat motosikal aku.
Tentunya budak itu sedang berangan menjadi 'Zek' seperti di dalam filem Azura.
Budak itu tentunya memasang impian bahawa di suatu hari nanti, tidak kira walau motosikal itu akan dianggap ketinggalan zaman, dia akan tetap mahu memiliki.
...ada sinar di mata budak itu.
Motosikal itu aku pecut meredah angin sehingga ke hujung pandangan lalu hilang di ufuk senja yang rembang.
...
Dari cermin pandang belakang kereta aku, aku melihat motosikal itu seolah-olah menunggu untuk aku usap tangki minyaknya, mengelus pendikit minyaknya dan menuil-nuil tuas brek dan klac nya.
...tetapi aku tidak menekan brek.
Aku meneruskan perjalanan.
Filem Azura sudah lama aku tinggalkan.
Ogy pun sudah tidak secomel dulu lagi.
he he he
~Po
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

1 comment:
.. tapi 'zack' tetap di hati aku. err zack jamal abdillah okay! hehe
Post a Comment