...
Hujan melebat. Longkang penuh dengan air yang turun dari corong-corong atap. Langit gelap. Sesekali kedengaran bunyi guruh menjauh.
November.
Sembilan belas lapan puluh tujuh.
Kami menggigil kesejukan. Di luar blok D berhampiran perpustakaan. Sekolah Menengah Sultan S. Basah terkena tempias yang tiba-tiba menerjah. Resah melihatkan langit yang masih tidak cerah cerah.
Minggu-minggu terakhir. Debaran yang semakin menghilang tetapi degupan masih kencang.
Aku lalu duduk dan meletakkan kapal kertas aku ke dalam arus laju longkang. Serentak dengan sahabat aku dan kapal kertasnya yang sama bentuk, sama saiz dan sama nilai keseronokannya.
Kapal-kapal kami berlumba di atas air yang bergerak laju dari satu penghujung menuju penghujung yang lagi satu.
Hujan semakin melebat.
Entah siapa yang menang. Aku lupa.Hanya keriangan.
Tapi, ketika itu kami sepatutnya mengulangkaji di sekolah. Kertas terakhir adalah matapelajaran Matematik Tambahan. Ada senggang lebih kurang empat atau lima hari dari kertas terakhir yang kami hadapi.
Aku tidak pernah suka pada nombor tambahan lagi yang ada tambahan pada nombornya.
Aku merenung ke dalam hujan. Butir-butir air yang pecah dari langit lantas menimpa bumi dengan sejuta bayangan. Aroma hujan dan semilir angin membawa aku ke alam yang dingin dan menyejukkan.
Dia duduk di barisan paling hujung dan di tengah-tengah dewan.Selang cuma beberapa barisan dari tempat aku. Meja yang dijarakkan tetapi masih boleh untuk aku melemparkan pandangan. Kebetulan, dia duduk di meja yang berhampiran dengan pintu sisi.
Seperti selalu, aku lihat dia menjawap peperiksaan dengan tekun dan penuh dengan persediaan.Tak macam aku.
Kami ketika itu sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Tingkatan Lima.
Lalu, aku tinggalkan kawan aku dengan kapal kertasnya itu dan aku berlari ke dalam hujan merentas tanah lapang dan sebatang jalan. Aku berteduh sebentar di koridor dewan dan menyapu muka dan baju yang kebasahan.Mengah.Menarik nafas panjang.Kumpulkan keberanian.
Aku masuk ke dalam dan aku tuju meja periksanya.Dewan yang gelap gelita.
Di atas kertas bertulis angka giliran yang tertampal pada hujung kanan mejanya, aku tulis.
'the cutest girl in town'.
Lalu aku ukirkan sebuah senyuman. Aku menari di dalam hujan.
Menari-nari di dalam hujan.
....
Aku gagal dalam kertas Matematik Tambahan. Gred F9.
Sehabis peperiksaan, dia tidak lagi aku temui.
Sehinggalah adanya facebook. Kami menjadi kawan.
....
Alangkah
....
Dia tidak pernah ingat dengan catatan yang aku buat pada meja periksanya.
malah, dia tak pernah tahu bahawa aku pernah wujud di tahun sembilan belas lapan puluh tujuh.
....
Hujan turun lagi hari ini.
Melebat.
...dan kapal kertas itu terus berlalu menyusur longkang hingga ke hujung lagi satu lalu hilang di telan deras air yang melaju.
~Po.
2 comments:
ko patut ckp direct depan mukanya. itu lebih cool.. :-)
tahun tuh aku darjah 3. dan cute.
Post a Comment