
...
Aku berlari mengejarnya. Pantas dan panas. Hati aku hangat membara. Sehangat api yang menyambar dan membakar kerangka kapal terbang yang aku buat daripada buluh.Rangka yang aku telah simpan baik di atas almari.
Berhari-hari aku siapkan kerangka kapal terbang itu. Aku raut buluh menjadi halus. Aku ikat dengan tali agar kemas.
Tinggal lagi, aku hanya mahu lekatkan kertas pada rangka tersebut dan menjadilah sebuah kapal terbang kertas yang lain dari yang lain.
Akan aku bermain dengan kapal terbang kertas itu seolah-olah aku yang terbang bersama. Membelah awan dan melintang di dada langit.
Kawan-kawan aku akan cemburu dengan kapal terbang kertas aku. Ini bukan kapal terbang dari kertas yang dilipat. Ini bukan origami!. Ini kapal terbang dari buluh diraut halus seperti layang-layang. Seperti model skala kapal terbang sebenar.
Aku berlari mengejarnya sekeliling rumah.
Seketika tadi aku lihat dari pintu besar rumah kayu yang senget di tepi lembah. Kapal terbang aku sedang hangus. Rangka kapal terbang aku sedang marak dimamah api. Di atas pasir putih tepi pantai.
Luluh angan-angan aku.
Di satu penjuru laman rumah, dia rebah tersadung pasir dan aku terus menerkam lagak seorang hero yang sedang mempertahankan tamadun kemanusiaan. Dia terhenyak ke dasar tanah. Aku lupa berapa kali aku kilas tangannya.
Aku lupa berapa kali aku tonyoh kepalanya.
Aku lupa berapa kali aku tampar pipinya.
Seingat aku, dia meraung.
Rangka kapal terbang aku sudah menjadi abu.
Hari Khamis lepas, di pagi Hari Raya ke lima.
Aku duduk bersila, berteleku di belakangnya di dalam masjid.
Dan aku angguk kepala seraya berkata..’sah!..” tatkala dia habiskan lafaz keramat untuk menjadi suami orang.
Setelah usai semua dengan lafaz takliknya, dengan doa Imamnya. Dia bangkit dengan sepasang baju melayu serba putih. Dia menghulurkan tangan dan aku genggam tangannya lalu aku maafkan dia kerana membakar rangka kapal terbang kertasku…tiga puluh tahun nan lalu.
Aku ketika itu dalam darjah tiga, gamaknya dan dia baru berusia sekitar empat atau lima.
Ketika aku mahu pulang, aku melihat seorang budak kecil yang melihat abu rangka kapal terbangnya di atas pasir putih sambil mengesat-ngesat airmata dan bangun lalu membina sebuah kapal perang pula.
Semoga anak saudaraku itu berbahagia bersama teman hidupnya.
~Po.
3 comments:
selamat pengantin baru utk 'dia'...
PO, awak memang berbakat!
anony..dia itu anak saudara no. 2.
terima kasih. sekadar menjadi penglipur lara.
tak pernah rasa boring pong baca..ayat hang mmg best..
Post a Comment