…
Hidup tak semestinya berlagu.
Tapi, dalam hidup ada lagu.
Lagu yang membangkitkan rentak, mengatur tari hidup ini.
Bukan, aku tak membicarakan lagu yang disumbatkan ke halwa telinga. Aku membicarakan lagu hidup kita sepanjang usia. Nada-nada yang bergema, muzik yang beralun mesra, paluan gendang dan rebana yang mengiringi setiap derap langkah kita.
Lagu hidup. Lagu yang penuh kemelut.
Semasa kecil, kita diperdengarkan dengan lagu-lagu ringkas dan mudah.
Lagu Tom Tom Bak, lagu enjit-enjit semut. Lagu yang penuh keriangan, penuh teladan.
Menyanyikannya membangkitkan suasana riang. Aman.
Ketika kita mula bergelumang dengan pencarian ilmu, menentu halatuju. Lagu-lagu semangat akan mula menjadi lagu nyanyian kalbu.
Kita tinggalkan kampung halaman dan lagu-lagu dendangan anak jalanan mulai meniti batas-batas perjalanan. Berdendang dengan rentak kehidupan.
Semakin kita dewasa, apabila kita mulai mengenal cinta dan kasih sesama manusia. Lagu-lagu hidup mula mengkhayalkan. Mulai bercita-cita dan memasang impian. Mulai meneroka alam angan-angan. Mendaki puncak, menyusur jeram. Kita hidup dengan lagu-lagu luahan kasih dan sayang.Mentari, bulan dan bintang sering menjadi perlambangan. Lagu hidup ketika itu amat indah walaupun hati menjadi gundah.
Mimpi tetap akan pulang walau kasih terputus di tengah jalan.
Apabila kita menjadi cukup dewasa, menjadi suami, menjadi isteri yang setia. Kita punyai anak-anak yang perlu dijaga.Bagai pohon-pohon bunga yang perlu dibaja. Menjadi ketua keluarga, menjadi harapan yang mekar berbunga.
Ketika itu, lagu hidup tidak lagi menjadi mudah. Irama dan nada menjadi semakin payah. Hidup ini bukan lagi sekadar bulan dan bintang yang indah. Mentari mulai menjadi merah. Pelangi sekadar merehatkan minda yang lelah. Garis-garis warna sudah bercambah.
Lagu-lagu yang membuaikan hanya akan memberikan makna kelaparan. Anak jalanan tak lagi berdendang, anak jalanan ini perlukan kudrat untuk menyuapkan makan pada anak dan isteri yang menunggu dengan penuh harapan.
Ketika ini, lagu hanya untuk menguatkan langkah-langkah agar tidak menjadi sumbang. Lagu alam, lagu erti sebuah kehidupan. Tiada lagi lagu untuk dinyanyikan dengan kawan-kawan. Tiada lagi lagu buat puteri yang menunggu di perlembahan. Tiada lagi lagu yang meniup semangat juang demi menggapai impian.
Yang tinggal…
Hanya lagu untuk terus hidup.
Lagu hidup aku.
Lagu perjuangan yang masih kekal berkumandang.
Sutu hari nanti, aku akan kembali berdendang. Sekadar mengingati masa silam yang telah berlalu pergi. Lagu-lagu yang pernah hidup dalam jiwa aku. Lagu-lagu yang akan menceritakan kisah-kisah sendu dan kemuncak senyum seorang aku.
Lagu senandung semalam.Lagu yang terbit dari jiwa dan mata yang memandang.
…dan di sini.
Aku bernyanyi lagi.
Moga-moga kau mengerti.
~Po. - Puisi-Relay Updated.
2 comments:
pandai awak tulis puisi. segan saya nak tambah tambah! haha..saya dah siapkan banner awak. boleh kasi emailnya? mine is maknenek@gmail.com
kampo, orang rumah aku dah 2 hari ada kat ganu. kursus. aku? kat opis. ngadap kerja yang tak berkesudahan.
anak? ada di rumah mertua.
entah kenapa aku rasa rindu dengan pantai ganu. :D
Post a Comment