…
Tajuk di atas adalah versi bahasa Jawa untuk ‘Mengapa? Adakah aku bersalah…’ (err..betulkan kalau aku salah ).
Aku menulis di sini. Di dalam Journal yang ntah apa-apa ni.
Mengapa aku menulis ? sedangkan kerja aku berlambak-lambak sampai aku tengok pun macam nak muntah. Nangopo?
Blog ini bukannya therapeutic untuk aku. Aku lebih suka melihat pokok-pokok bunga aku (pokok daun sebenarnya..sebab tak ada bunga..) membesar dan menghijau sebagai bahan therapy yang cukup menyegarkan.Aku mula menanam pokok yang tak sebanyak mana itu bila aku berhenti menulis dulu.Walaupun aku hanya menyiram sekali sehari (malam) dan membubuh baja sebulan sekali, pokok-pokok itu hidup dari tangan aku. Merenung pokok-pokok itu mengasyikkan aku.
Mengapa aku mengarang cerita dongeng atau cereka dan bukannya pengalaman hidup aku macam dalam Blog aku yang dulu?
Entahlah, aku merasakan pengalaman aku hanya pengalaman biasa yang dilalui oleh hampir semua manusia malah pengalaman orang lain dalam blog-blog yang selalu aku baca lebih menarik dan mencabar minda. Aku hanya orang biasa.
Semalam, bila aku menerima e-mail dari seorang Blogger yang mempunyai nama besar iaitu Rudy Bluehikari (Alasan dan sebab utama cerita dalam entry di bawah sana, ianya lebih kepada semangat untuk dia terus menulis sebenarnya), aku tertanya-tanya apabila dia berkata bahawa dia tak mahu hidupnya di siarkan secara langsung ke dunia cyber (ayat aku, ayat dia lain..).Aku juga tertanya-tanya bila nama-nama besar seperti Dr. Max, JiGOMorrison dan beberapa nama lagi mula meninggalkan dunia glamour blog mereka.
Benar, apabila kalian mula bercerita tentang hidup kalian, semua yang membaca akan cuba menggambarkan suasana sebagaimana cerita.Itu yang aku cuba buat bila aku membaca Blog orang lain atau teman-teman kita. Kadang-kadang gambaran itu menjadi sebuah filem kehidupan, sebuah cereka realiti.Tambah-tambah lagi bila ada gambar-gambar yang membawa penghayatan seribu erti. Aku tak mahu hidup aku difilimkan.Aku tak mahu identiti aku dikenali. Sebab utama adalah profession dan keluarga. Tak ada sesiapa dari ahli keluarga atau teman-teman akrab aku yang tahu tentang seorang aku di sini.
Aku berbeza dari apa yang kalian tontoni pada monitor PC.
Di sini aku melakar mimpi.
Di sini, aku menyelongkar segala rahsia diri. Aku bebas berkata dari isi hati aku sendiri. Aku bebas mengolah ayat dan kata-kata yang terbit dari minda seorang lelaki yang tidak buta dan tidak tuli. Seribu rahmat yang aku syukuri.
Aku melihat perkara remeh-temeh yang melingkari hidup aku dan hidup kalian juga. Aku memerhatikan lalat,lipas dan cicak. Aku cuba menyelami hati seorang orang biasa yang tak pernah memberi impak pada berita seperti apa yang bermain dalam fikiran seorang cleaner, seorang pemandu lori tanker atau mungkin seorang dispatch yang berjalan merata-rata.
Sebab kadang-kadang kita lupa tentang mereka. Mereka juga mahu hidup seperti kita.Mereka juga menyumbang pada dunia. Kita tak pandang jasa mereka.
Aku sekadar mengingatkan, bukankah sudah menjadi tugas kita untuk pesan memesan?
Maafkan aku kalau aku hanya menjadi seorang orang dan bukannya sebagaimana yang kalian gambarkan dan harapkan.
Di sini hanya medium aku untuk menjadi aku yang tidak nyata dalam realiti maya.
Sekian.
~d’arkampo.
No comments:
Post a Comment