…
(ini cerita semalam, aku tak sempat habiskan)
Tadi, baru kejap tadi, semasa aku sedang memakirkan kereta aku (parking) aku berehat sejenak sambil melayan lagu ‘Bernafas Dalam Lumpur’ oleh Kumpulan Sayap (Wings) yang diudarakan oleh Radio Era, Rentak Muzik Terkini. Mata aku memandang sekeliling mencari subjek-subjek untuk difikirkan dan direnungkan.
Mata aku terhenti pada sepasang suami isteri muda yang bergilir-gilir mendokong anak kecil. Dari wajah dan pakaian mereka, aku dapat mengagak bahawa mereka masih muda dan berjiwa remaja. Si isteri dengan jeans ketat dan t-shirt oren. Si suami dengan jeans, t-shirt dan cap.Semua pakaian yang tiada jenama. Mereka mundar-mandir antara pondok telefon awam dan sebuah kedai fotostat. Sekejap si isteri menelefon dan suami mendokong anak. Sekejap lagi si suami mengusung beberapa helai kertas untuk di buat fotokopi bersama-sama sebuah buku akaun simpanan Bank.
Mereka orang biasa, rakyat marhaen macam kita.
Cuaca memang panas membara (antara satu sebab aku malas nak keluar dari kereta.)
Anggapan pertama aku yang timbul adalah mereka orang susah kerana budak sekolah darjah 6 sudah mampu memiliki sebuah telefon bimbit pra-bayar masakini. Mungkin dulu masa bercinta, mereka terlalu banyak bersembang dan ber’sms’ sampai kad pra-bayar terpaksa dibeli 7,8 kali sebulan.Sekarang budget lari, tambah lagi dah ada pula si kecil pengarang jantung hati.
Anggapan kedua aku, si suami mungkin sedang sibuk mencari pekerjaan bagi menanggung anak bini. Tambah bila anak masih bayi, nak beli itu ini bukan pakai air liur basi.
Anggapan ketiga aku, mungkin juga masa bercinta dulu, masing-masing cuma fikir pasal dunia mereka sahaja. Bila nak kahwin, paksa mak bapak keluarkan belanja.Masa berdua, semua belanja mereka keluarga yang taja. Bila dah keluar anak, baru susah-susah nak cari kerja.
Anggapan keempat aku, si suami mungkin baru kehilangan kerja dan demi makan pakai anak bini, terpaksa menghantar borang-borang kerja mencuba nasib sementara kudrat masih kuat.
Anggapan-anggapan aku terus hanyut di bawa angin panas di tengahari apabila aku lihat mereka bergurau mesra dengan senyuman terukir. Manis sekali.Aku tahu mereka bahagia walau apa jua derita dan halangan yang menimpa.
Aku keluar dari kereta dan menuju ke pejabatku.Aku mengutuk-ngutuk diri aku. Yang nak jaga tepi kain orang pasal apa? Entah-entah dia parking Mercedes Benz C200 Compressor di hujung jalan sana dan aku sibuk-sibuk memikirkan dan beranggapan bukan-bukan pasal mereka.
Habis cerita, masa untuk buat kerja!
~d’arkampo.
No comments:
Post a Comment