Monday, May 26, 2008

Menjadi Lelaki

...



Dua puluh enam tahun yang lalu.

Mak kejutkan aku.
Subuh.

Siap mandi, bubuh bedak dan sisir rambut belah tepi. Aku dan abang aku sudah mengadap meja makan berkaki besi di dapur rumah kami.

Wah..nasi kunyit.
Gulai ikan.
Ikan kering.
Air kopi.

Aku makan agak kurang selera tapi tetap habis sepinggan nasi.

Bukan selalu mak masak nasi kunyit sebegini.

Arwah ayah membacakan doa sebelum aku naik membonceng motor ayah. Abang aku membonceng motor abang aku yang lagi satu.

Lama. Kami menunggu giliran kami.

Hampir tengahari.

Abang aku masuk dulu.Aku yang terakhir dalam senarai. Semua orang dah tidak ada. Ruang menunggu menjadi sunyi.

Sepi.

Ketakutan menyelubungi.

"yaah..takut."

Kata aku perlahan.

Arwah ayah cubit aku di lengan.

Nama aku dipanggil dan aku melangkah gugup menuju ke pintu yang misinya sedang menunggu. Abang aku sudah entah di mana. Aku langsung tidak mendengar suara dia.

The rest is history.
...

Semalam.

Sela tahun dan masa yang sama seperti aku dulu.

Fiq dan Izat. Dua sepupu menunggu di satu ruang klinik.

Pagi tadi, nasi kunyit yang ditempah masih belum berambil. Penuhkan sahaja perut dengan mi.

Lama.

Doktor ada hal, pukul 11 baru sampai.

Mereka berdua sudah resah.
Ke sana ke mari.Gelisah.

Sesekali..Fiq datang bertanya,sekadar mengukuhkan kepastian.

"bah..sakit dak?"

"Alah..macam kena gigit semut aje...." aku

Lama.Menunggu.

Baru giliran dipanggil.

Fiq melangkah masuk. Aku tahu dia berdebar.Aku dapat rasa auranya.
Merebahkan diri di atas katil besi beralaskan tilam vinyl bewarna hitam sejuk dalam hawa dingin.

Di saat Doktor menyuntik dengan jarum. Dia dah mula menangis.
Aku pegang tangannya kuat.

Hasrat aku untuk mengambil gambar video terkubur. Fiq lebih memerlukan semangat aku.

Selesai di'clamp', kami melangkah keluar.

"haa..kan dah kata, macam kena gigit semut aje" aku

"ye ah..macam kena gigit semut besar Afrika..." kata Fiq sambil mengesat-ngesat airmata.

...

Semalam, baru aku tahu.

Tatkala Arwah Ayah mencubit lenganku dulu. Dua puluh enam tahun nan lalu.
Dia berkata dengan nada yang tidak aku dengar.

"Kau harus berani untuk jadi lelaki!"

...

Nasi kunyit tempah hanya sempat aku ambil jam 3 petang.

Tak apalah, semangatnya yang jadi bandingan.

Fiq,kau harus berani untuk jadi lelaki.

~Po.

2 comments:

Lily Abdullah said...

Hmmm....menjadi lelaki juga sukar kan Encik Po?

Semoga kedua anak manis itu tabah!

tasekM said...

kesakitan yg menjadi kenangan yek...

anak aku 5 tahun lagi baru boleh kot... :)

salam ziarah