Thursday, January 31, 2008

Aku Masih Mahu Menulis Puisi Di Sini

...

Suatu waktu
Sembilanbelas tahun nan lalu
Tatkala kawan-kawan meninggalkan aku
Ramai-ramai masuk U
Aku jadi mati kutu

Aku belajar malam siang
Dengan tekad dan harapan
Aku nak tinggalkan kampung halaman
Nak naik bas ekpress malam
Aku nak jadi manusia harapan

Dapat keputusan peperiksaan
Kurang sikit dari cemerlang
Tanya cikgu-cikgu Tingkatan enam
Mereka sebulat kata mencadangkan
'Awak layak ambil jurusan undang-undang'

Di rumah, aku sampaikan khabar
Mak sudah tersenyum lebar
Arwah ayah dah duduk bersandar
Anak mereka nak pergi belajar
Masuk universiti di tengah bandar

Malam menjelang hari pendaftaran
Dalam sejuk bas ekspress malam
Aku terbayang-bayang
Aku terkenang-kenang
Bagaimanakah nanti gerangan
Hidup aku di rantau orang

Tiba di Hentian Putra subuh-subuh hari
Tempat bas berhenti sebelah PWTC
Solat Subuh dalam surau berhimpit bagasi
Takut nanti orang curi
Dah lah poket tak berapa berisi

Usai solat , aku tahan teksi
Cakap nak pergi Malaya Universiti
Drebar teksi menyeringai gigi
‘Kita tak pakai meter pagi-pagi gini’
Bayar lima puluh ringgit atau jalan kaki
Kalau bukak bonet, tambah duit lagi
Kira-kira semua sekali
Baik aku tunggu naik matahari

Pertama kali
Aku menjejakkan kaki di universiti
Sendiri
Bukan mak dan ayah tak mahu temani
Aku bimbang nanti
Mereka jauh-jauh jalan kaki
Lalu sesat di belakang mati
Nak naik bas atau teksi
Bukannya mereka reti

Hati sedih bukan kepalang
Melihat orang lain datang
Di iring ayah dan mak tersayang

Dah masuk Universiti
Kena lalui minggu orientasi
Kena jerit setiap petang, malam dan pagi
“senior sir ! yes sir!” sekuat hati
Aduh, kena menyanyi lagi
Aku dah susah hati
Mahu gugur suara dari peti
Kalau sepanjang pengajian terus begini

Selepas orientasi berlalu
Budak kampung macam aku
Terenjat kejutan budaya baru
Dengan perempuan ber’I’ dan “you’
Kadang-kadang cuma ‘kau’,’aku’
Kat kampung masih ‘saya’ dan ‘awak’ macam dulu-dulu

Menapak ke kelas setiap hari
Keringat menitik kanan dan kiri
Aku dah rasa macam patah kaki
Tak boleh jadi ni
Tulis surat, suruh Ayah pos motor buruk naik lori
Tapi mak tak bagi
Katanya;di bandar jalannya sibuk setiap hari
Mak takut aku berlanggar dengan bas mini

Dalam semester cuti
Aku pujuk mak lepas Isya’ dia habis mengaji
Aku janji
Aku jaga keselamatan diri
Aku akan belajar bersungguh lagi

Airmata mak menitik
‘kau buatlah apa yang kau rasa baik’
Dalam sebak, tangan mak aku tarik
Aku cium dengan restu yang bukan sedikit

Empat tahun pengajian
Aku dapat macam-macam pengalaman
Baik pelajaran
Baik pengajian
Baik kehidupan

Dan adat berkasih sayang

Tiba Majlis Graduasi
Mak ayah berdiri di sisi
Aku yakin dan sangat pasti
Mereka merasa bangga di hati
Anak mereka sudah mampu berdikari
Tak sia-sia peluh ayah mencari rezeki
Tak sia-sia mak bangkit awal sediakan sarapan pagi
Tak sia-sia mak mengandungkan anak ini

Habis graduasi
Aku dah pucat lesi
Semua pejabat di kotaraya aku pergi
Tapi yang dapat, hanya sakit hati

Aku perlu menjalani latihan sembilan bulan amali
Dan semasa temuduga banyak kali
Mereka bertanya lagi dan lagi
‘awak ada kereta sendiri?’
Aduhai hakikat realiti
Mereka ingat aku anak menteri?

Akhirnya aku balik kampung
Sekurang-kurangnya hati mak tidaklah mendung
Duduk rumah berkira-kira nak tanam jagung
Mana lah tahu kalau-kalau untung
Boleh belikan mak sehelai dua kain sarung

Kalau Tuhan dah tentukan rezeki
Balik kampung ada tempat buat amali
Habis amali kerja dah menanti
Walau gaji tak tinggi
Yang penting, senang hati

Kini,
Ayah dah pergi
Mak pun dah tak berapa sihat lagi
Umur aku pun dah meningkat tinggi
Sudah tak banyak yang mahu aku kecapi
Dalam hidup yang singkat ini

Yang pasti
Aku akan kenang kembali
Liku-liku perjalanan ini
Buat kenangan di sanubari

Dan aku tidak peduli
Aku akan tetap menulis puisi
Di sini


Di sini.

~Po.

1 comment:

Anonymous said...

Semoga dilimpahi dengan rahmatNya selalu. ;-)