Thursday, May 25, 2006

Aku Tahu…





Aku tahu bagaimana rasa desis angin yang berhembus
Aku tahu bagaimana gemersiknya alunan kicau burung mendayu merdu
Aku tahu, tak perlu kau ingatkan aku.

Aku tahu merasai pahit hempedu
Aku tahu merasai manisnya madu
Aku tahu menjamah sejuk gebu sutera dan baldu

Aku tahu wangian kembang mekar di taman
Aku tahu damai aroma rerumput yang basah setelah hujan

Tak perlu kau bersusah payah memberitahu.

Aku tahu.

Aku juga tahu, hidup ini lebih dari itu.

Cerita kita hanya sama setakat itu.

Aku tahu.

Dunia kita ini terlalu indah lagi menawan
Jalur-jalur pelangi merentang langit dengan warna-warna yang terang
Warna-warna dunia selain hitam

Biru langit putihnya awan
Hijau gunung diselaputi kabus berbalam

Kilau-kilau berlian di hamparan lautan tatkala mentari terbenam
Sawah bendang hijau terbentang

Garis warna kehidupan yang tak pernah aku saksikan
Malah, lengkung lengkuk wajahmu hanya dapat aku gambarkan

Kau tidak tahu.

Walau dengan mata hati, aku juga mampu merasai.
Walau dengan sentuhan jari jemari, aku juga dapat memerhati.

Aku menerima hakikat hidup ini
Aku pasrah ketentuan Ilahi

Aku tak perlukan simpati
Aku tak perlukan kau untuk memahami

Cuma,

Jangan sesekali kau menghina manusia seperti kami
Kami juga penghuni dunia ini

Biarkan kami melangkah
Biarkan kami rebah
Itu tandanya kami tidak hanya bersimpuh berserah.

Aku tahu,
Kau tak mungkin akan tahu
Melihat dunia dari sudut gelap ini.


~Po

4 comments:

Pegawai Khalwat said...

Aku pun tahu

Anonymous said...

Berbica mengenai mata dan hati. Banyak menangis dan banyak ketawa. Pelihara mata dan hati dari melihat kemaksiatan InsyAllah mata tidak akan dilitupi KATARAC YANG MENGRONGRONG.

sinaganaga said...

Apabila telah benar-benar tua nanti - aku teringin nak tinggal di seberang takir.

zizie ali said...

po:
naga benar-benar membuat aku terharu. kerana bila benar-bener tua nanti aku juga berharap akan punya kesempatan merenung"...kilau-kilau berlian di hamparan lautan tatkala mentari terbenam"
semoga tika itu, aku benar-benar dekat dgn Maha Pencipta. Moga-moga.