…
Rembang mentari pagi memancar sinar mencabar dingin menyongsang angin. Liuk-liuk dedaun memberi teduh kepada rerumput yang masih basah bermandi embun.
Isteriku,
Persis pagi-pagi sebelumnya dan pagi yang mendatang. Kita tetap di sini. Di persimpangan ini. Melihat arus kenderaan yang lalu lalang. Bagai tiada kesudahan.
Isteriku,
Di sini, di sudut ini. Kita hampir pasti akan terus begini.Abang tidak menjanjikan istana impian. Abang tidak menjanjikan sinar yang lebih terang kala mendung dibayangi hujan.
Hanya teduhan dari rimbun dahan-dahan kayu Gelam menjadi harapan. Harapan yang dari hari ke hari tidak terjulang. Sekadar harapan agar teduhan ini akan terus menjadi nyaman. Setenang angin yang berhembus perlahan.Mengarak awan tidak tercapai tangan.
Isteriku,
Kau ucapkan pintamu di angin menderu, Abang tak mampu. Abang cuma suamimu, berteman di gelegar rindu yang tidak pernah terucap dari hujung bibirku.Aku cuma mahu kau tahu.
…
Sinar mentari mulai menjadi semakin terang dan ruap-ruap hawa mulai menipis di daun-daun rumput.Titis-titis yang tadinya berkilauan berubah menjadi wap berterbangan di kemilau pancaran suria.
Suamiku,
Aku tidak pernah meminta apa-apa. Selain, kau menemaniku di teduhan ini. Kita bukan mahu mencipta keajaiban dunia. Dunia ini sudah terlalu ajaib buat kita.
Suamiku,
Kita bukan orang meminta-minta. Kita sekadar singgah di satu sudut dunia. Menyedut udara dan membilang bilah-bilah sinar keindahannya.
Suamiku,
Selama kita di sini. Semenjak wujud pejal batu penutup longkang bewarna kelabu. Abang tetap setia menemaniku. Melihat kenderaan lalu lalang, menanam harapan. Kita tak minta setinggi harapan. Kita cuma mahu berada di sini bila mentari muncul lagi keesokan hari. Bukan gunung yang mahu di daki, bukan laut mahu direntasi.
Suamiku,
Aku tahu.
Suamiku,
Carik mimpi diusai pagi, aku tahu. Kau akan berada di sisi.
…
Sudah beberapa hari aku tidak melihat kelibat pasangan warga emas ini di hujung konkrit penutup longkang besar. Di simpang jalan ke sekolah anak aku, sebagaimana pagi-pagi sebelumnya. Sebuah beca tua diletakkan di hadapan mereka. Membilang kenderaan lalu lalang dengan kosong pandangan. Sekadar menyedut dingin pagi tatkala mentari baru bangkit dari lena mimpi.
Mungkin ini bicara mereka.
…
Suamiku,
Kala ku buka jendela di pagi ini, aku rindukan saat-saat kita berdua di penghujung simpang sambil melihat kenderaan lalu lalang.
…dan jernih embun meluncur sederas juraian air matanya.
~po.
No comments:
Post a Comment