Wednesday, November 02, 2005

Satu Hari Bernama Raya



Di waktu-waktu begini, di kala lagu-lagu raya berkumandang di udara. Tatkala anak-anak aku mula bertanya berapa hari lagikah puasa.

Aku menjadi seorang pengingat. Seorang pemikir pada nostalgia yang berselirat.

Masih ingat tentang iklan hari raya yang memaparkan dua anak kecil yang masih belum mengenal dunia yang terpaksa menaiki bas ke rumah ayah dan semasa tiba pintu di rumah , si ibu muda menjeling dengan penuh marah walhal anak-anak itu cuma sekadar ingin mengucup kedua tangan seorang yang bergelar Ayah ?.

Beberapa tahun nan lalu. Iklan itu, memberi sebak rasa sendu.

Bagi aku,kisah tersirat dalam iklan itu benar-benar memberi makna dan erti sebuah Hari Raya.

Masihkah kau ingat?

Pastinya kau masih mengingatinya.

Beberapa hari yang lepas, ketika aku sedang memotong rumput di halaman. Julai-julai kemuncup yang sudah tinggi ke paras lutut. Memotong rumput dengan mesin di bulan puasa sememangnya meletihkan lebih-lebih lagi aku bermula pada jam tiga dan matahari masih terpacak di atas kepala.

Teratak mahligai aku bersebelahan dengan jalan dan semua yang lalu lalang pasti akan memandang. Sekadar memandang. Tiada apa istimewa yang hendak diperhatikan.

Tatkala aku berhenti mengambil nafas dan menikmati tiupan angin petang menghembus bahang panas, aku melihat kepada rumah aku yang tidak sebesar dan setaraf istana indah tersergam. Melihat pokok-pokok aku yang mulai subur menghijau pandangan.

Melihat tiga budak kecil yang tiba-tiba muncul dari arah belakang. Berlari berkejaran. Riang.

Si abang mungkin bukan yang mendapat tempat pertama di sekolah secara keseluruhan. Mendapat hadiah bekas pensil di dalam dewan oleh Guru penolong kanan.

Si kakak mungkin bukan budak comel yang nampak padan dengan baju Barbie di pasaran.

Si adik mungkin bukan anak yang paling comel yang sering keluar dalam iklan lampin pakai buang.

Tiba-tiba keluar seorang wanita dari pintu hadapan lalu mengemop lantai di lanjur anjung. Tidak, dia bukan jelmaan model atau pelakon wayang.

Aku tersenyum. Hidup aku mungkin banyak kekurangan tetapi hidup aku mungkin satu impian bagi orang lain yang memandang.

Aku hanya mahukan semua mereka di Hari Raya.

Aidil Fitri sebenarnya adalah kasih dan sayang. Satu hubungan yang amat erat. Bertaut rasa bersulam mesra.Yang tersirat amat dalam dari apa yang tersurat.

Aidil Fitri bukan baju baru, bukan kuih muih, bukan lemang dan baulu, bukan juga duit raya. Aidil Fitri bukannya tentang program tv sepanjang masa atau tentang hiasan rumah yang mengalahkan hotel lima bintang.

Balik kampung, Ibu Ayah, pusara mereka-mereka yang tersayang, kunjungan saudara mara, aroma ketupat rendang, kemesraan dan kegembiraan. Ianya bukan satu cliché yang sengaja digembar-gemburkan demi meraih satu fenomena setiap tahun. Ianya adalah satu perasaan yang memang wujud dalam diri setiap insan. Satu rasa keterimaan. Satu keadaan yang sukar dimengertikan mahupun di tafsirkan dengan susun atur perkataan.

Satu ucapan.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri Minal Aidil wa Faizin. Buat semua yang berkunjung ke laman ini. Seandainya aku pernah melukakan, mencalarkan atau mengguris perasaan. Aku memohon sejuta keampunan. Sesungguhnya aku sekadar seorang insan, seperti kamu, mencoret rasa demi meluahkan apa yang bersarang di jiwa.

Moga-moga di hari yang Mulia dan Bahagia, kita semua akan beroleh keberkatan dan keampunan dariNya.

~Po.

3 comments:

binx said...

the mere mention of the advert dah got me all misty eyes.. how close that advert is to my real life..

cherish ur loved ones Po.. I bet to them you r the center of their world.. and that's the best place to be in for Hari Raya.

Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin

Anonymous said...

salam eidulfitri..:)

Count Byron said...

Hi.. new here
Your coretan makes me remember my children on this heavenly occasion. I am sure you have love abundant.. what a lucky family indeed
Count