Tuesday, August 16, 2005

Alinea - Bila Mentari Bewarna Merah.

…

Sejak kebelakangan ini, cuba lihat pada wajah mentari. Merah. Marah.

Mentari yang dulunya tak mampu kita renung dan lihat dengan upaya deria mata, kini sudah hilang perkasanya.

Hilang daya sinarnya.

Salahkan jerebu yang berterbangan di udara, salahkan asap yang menyesakkan rongga, salahkan kepada apa jua sebab perkara.

Salahkan mereka.

Tapi, pernahkah kita kembali duduk dan bertafakur dengan kejadian? Mengaji dan mengkaji.

Segagah-gagah mentari. Sebuah bola yang berapi yang jaraknya berjuta-juta batu dari sini.Berkali-kali ganda saiznya dari “World!”.Maksud aku, bumi.

Kilau dan sinar yang cukup ampuh, cukup untuk menjadi saksi kepada kuasa Ilahi.

Kita selalu beranggapan bahawa kalau tidak hari ini, esok mentari akan muncul lagi.Dan lagi. Dan lagi.Infiniti.

Sesekali bila mentari muncul dengan wajah yang muram.Warna yang sembam. Kita masih lagi tidak mengambil iktibar alam?

Kita masih mahu menganggap bahawa cahaya sinarnya akan terus berkekalan?

Tidakkah kita ingat bahawa tiada benda yang kekal mutlak sepanjang-panjang kehidupan? Tidakkah kita ingat bahawa kita ini hanya menumpang?

Lurut dan hirup kembali asal-usul kejadian. Muhasabahkan kepada pergolakan yang melanda setiap titi perjalanan.

Kerajaan langit. Manusia lupakan Al-Khaliq.

Kita bersuka-ria di tengah-tengah padang dosa tanpa merasa apa-apa.
Adilkah kita untuk menyalahkan pada apa juga sebab perkara?.

Mengapa angin membawa jerebu kepada kita? Tidak ke arah laut yang tidak dihuni manusia? Ke laut lepas dan sirna bersama gelora. Angin sebenarnya membawa khabar duka, sebuah peringatan kepada kita. Jika kita mampu menafsirkan setiap alunan tutur katanya.

Persoalan-persoalan yang hanya kita yang mampu mencarinya. Dalam hati kita. Dalam teras-teras kepercayaan kita jua.

Aku juga manusia. Seperti kalian juga. Aku berbuat silap sentiasa. Sama.

Cahaya Abadi.

Semalam kutemui sebuah cahaya
Di dada malam
Yang tak pernah kutemui selama ini
Di dada bulan

Biarkanlah kuhirup
Seteguk cahaya itu Tuhanku
Kerana telah lama kurindui
Kini telah kutemui
Dalam sujud sembahku
Setiap waktu
Ketika
mengingatiMu

Betapa damainya
Oh! Tuhanku
Bila cahaya itu
Menyirami
Tasik jiwaku

Tiada yang lebih mendamaikan
Tuhanku
Selain cahaya abadi-Mu.

26 Mac 1975
Rejab F.I.
Dipetik dari antologi sajak ‘Seribu Riak di Pantai Usia’
DBP 1986.


~po.- Aku kini lebih mengerti....

No comments: