…
Aku membaca akhbar media arus perdana dan aku sedikit terharu kerana banjir di Pantai Timur sudah meragut 8 nyawa dan yang lebih menyanyat hati tentang kisah seorang ibu dan isteri yang terperangkap di dalam air setinggi dua meter ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan menaiki kereta ke klinik kerana si isteri mengadu sakit.
Allahyarhamah meminta suaminya menyelamatkan dua anak mereka dan dia dipanggil Ilahi ketika air mula menenggelamkan kereta mereka.
Tragis bukan…?
Sebenarnya sudah agak lama banjir tidak melanda Pantai Timur yang seburuk sekarang, lewat beberapa tahun dahulu, Kuala Lumpur yang lebih banyak mengalami banjir berbanding Pantai Timur.
Kenangan mula menerjah kotak ingatan aku.
Suatu waktu dahulu ketika cuti sekolah akhir tahun, aku telah dipanggil oleh Persatuan (Belia) Bulan Sabit Merah Malaysia untuk bertugas dan memberi segala bantuan kepada mangsa banjir.Aku cukup komited pada panggilan-panggilan itu kerana ketika itu aku akan dapat merasai betapa hebatnya kuasa Alam, betapa manusia ini cukup pasrah pada sebarang kejadian Tuhan.
Aku tidak diberikan tugas menyelamat dengan bot-bot milik Persatuan kerana usia aku yang masih muda, tiada insuran dan tiada latihan khusus ketika itu walau pun aku meminta dan aku cukup berminat dengan tugas-tugas mereka.Sebaliknya aku ditempatkan di tempat-tempat seperti Pusat Pemindahan banjir dan membantu mangsa-mangsa banjir dengan ubat-ubatan serta makanan (kami memasak nasi dan gulai kawah kepada mangsa-mangsa banjir).
Yang paling aku tak dapat lupakan adalah ketika kami diarahkan ke tempat pemindahan banjir di kawasan pendalaman di mana semua jalan perhubungan terputus dan tiada jalan yang tidak dinaiki air.Untuk sampai ke sana, kenderaan pacuan empat roda sudah tidak mampu untuk memasuki jalan-jalannya kerana arus deras melintasi jalan-jalan utama. Sekiranya terperangkap ditengah-tengahnya, nescaya kenderaan itu akan hanyut ke sungai kerana arusnya cukup kuat. Untuk menggunakan bot, agak sukar kerana kami membawa bahan-bahan makanan serta ubatan dengan jumlah yang banyak.
Setelah pihak atasan berbincang, mereka telah membuat keputusan untuk menggunakan lori tanah yang tinggi, berat dan berkuasa bagi mengharungi jalan-jalan yang sudah tak nampak dilitupi air kuning yang mengalir deras.
Aku terpilih mengikuti ekspidisi menghantar bantuan itu.
Apa yang aku lihat sepanjang perjalanan adalah satu pemandangan yang meruntun perasaan kerana rumah-rumah yang tenggelam, harta benda yang hilang serta kemungkinan nyawa juga boleh melayang.
Itulah kuasa Tuhan.
Aku berada di belakang lori dengan segala bahan makanan serta ubatan dan hujan yang lebat menyebabkan kami terpaksa berpeluk-pelukan di bawah satu kanvas, kesejukan. Demi mereka yang memerlukan pertolongan, kami teruskan.
Lori tanah bergerak perlahan kerana jalan raya sudah hilang dari pandangan, yang ada cuma lautan air sungai yang melimpah dan ditambah dengan air hujan yang turun mencurah. Pemandu lori hanya membuat agakan dari tiang-tiang elektrik yang terpacak di sepanjang laluan . Tersalah agakan, kami akan terjunam ke dalam sungai atau paya yang entah di mana kedudukannya.
Air, semasa ia mengalir perlahan, satu ketenangan perasaan tetapi bila ia menjadi ganas, ia menjadi seperti harimau yang menerkam (bukan Tok Rimau, dia harimau jadi-jadian).
Ahamdulillah semua perancangan berjalan dengan baik atas izinNya dan kami berjaya menghantar bantuan ke tempat-tempat yang dijanjikan.Setelah beberapa hari bergelut dengan air hujan sehinggakan aku sudah tiada baju atau seluar kering yang nak dipakai, hujan mula reda dan matahari mula menunjukkan sinarnya. Air mula surut dan mangsa-mangsa banjir kembali ke rumah kediaman masing-masing dan aku juga dilepaskan dari tugasan.
Aku kembali ke rumah (nasib baik rumah aku di tanah yang tinggi kerana sepanjang ketiadaan aku, aku tak tahu langsung tentang rumah aku sendiri). Aku kembali dengan pengalaman dan pemerhatian yang penuh keinsafan. Betapa alam ini mampu mengugat perasaan.
Kepada mereka-mereka yang mengalami banjir, ini bukan pesta keraian. Jangan dicabar kuasa Alam dan kejadian Tuhan.
Ini sekadar secubit pengalaman aku sendiri.
~d’arkampo.
No comments:
Post a Comment