Tuesday, November 23, 2004

Awan Hitam

...

Maaf, lama aku tak update semenjak hari raya.

Bukan merajuk kerana aku hanya terima 3 keping kad raya (yang dicetak di atas kertas) sahaja tahun ini. Bukan juga merajuk kerana aku terpaksa kitar semula duit-duit raya anak-anak aku untuk menampung jumlah duit raya yang terkurang (aku janji bayar balik).

Aku sibuk kebelakangan ini. Malam tadi, aku baru balik dari satu mesyuarat di ibukota. Jumpa dua tiga orang teman maya yang selama ini hanya berbicara melalui komen Blog dan YM. Terima kasih kepada mereka kerana aku tak perlu naik pengangkutan awam sepanjang di ibukota walaupun aku meminta untuk dihantar ke stesyen LRT sahaja.Paginya, setelah makan roti canai mamak, aku terlewat setengah jam sahaja ke mesyuarat. Biasalah Kuala Lumpur.

Petang, nasib baik aku sempat ke KL Central pada waktunya kerana Michael Schumacher telah berjaya mengharungi kesesakan jalanraya di ibukota dengan penuh berhemah.

Nasib baik juga aku tak mengalami stroke ketika di dalam kereta sport berekzos kuatnya ketika aku mencari-cari tali pinggang keledar tempat duduk belakang yang sengaja ditanggalkan.

Ketika berlari-lari ke terminal, aku dimaklumkan bahawa penerbangan aku ditangguhkan kerana penerbangan dar Miri mengalami kelewatan. Sempat aku membaca buku Our Ways karya Ismail Hussin yang dibeli di Kinokuniya, KLCC.Menarik kisahnya.

Ketika menaiki penerbangan kelas pertama Airasia (now everyone can fly in first class since we have no other class ), aku sebelumnya telah dimaklumkan oleh isteriku bahawa kampung aku sedang mengalami hujan lebat.

Aku biasa sahaja sepanjang penerbangan kerana tenggelam dalam buku Our Ways itu (kecuali ketika take-off, aku betul-betul enjoy saat ketika kapal besi yang maha berat itu meluncur laju dan mendaki angin ke angkasaraya).

Ketika tiba di ruang angkasa kampung aku (kampung aku yang mempunyai rangkaian The Dome di setiap kampung dan daerah untuk menikmati kopi atau teh selepas solat terawikh), hujan lebat membasahi cermin sisi kapal terbang dan kapal bergetar kuat apabila menempuhi awan hitam yang sarat dengan muatan. Aku menyambung membaca kerana aku pernah mengalami ‘air pocket’ yang lebih menggerunkan dan makcik disebelah aku tak putus-putus membaca surah Yassin dalam penerbangan lama dahulu.

Kali ini biasa sahaja dan pramugari masih mampu mengukirkan senyuman manis mereka.

Ketika sedang menurun ke altitute yang lebih rendah dan bunyi-bunyi hydraulics pada sayap-sayap berbunyi kuat menandakan kami bersedia untuk mendarat, tiba-tiba kapal mengubah haluan mendaki dan terus mendaki ke atas merempuh awan-awan hitam yang mengegarkan fuselage kapal. Setelah agak stabil, drebar mengumumkan bahawa dia mempunyai penglihatan yang tak jelas untuk mendarat akibat cuaca yang buruk dan akan cuba melakukan prosedur pendaratan sekali lagi.

Teman aku bertanya pada ketua pramugari di hadapan kami, dia dengan senyum manisnya berkata yang mereka akan cuba mendarat lagi dan kalau gagal, kita kan balik semula ke KL.

Aiseh man.

Ketika itu jugaklah aku mendengar suara seorang wanita pertengahan umur membacakan ayat Kursi,Al-Fatihah, takbir dan doa dengan kuat yang mampu didengar oleh keseluruhan penumpang.

“Ya Allah ya Tuhan kami, selamatkanlah penerbangan kami dan selamatkanlah pendaratan kapal terbang ini, Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya kami amat takut ya Allah…” doanya dengan nafas sebak dan dalam teriak kecil.

Aiseh man.

Aku pun naik takut bila dia berteriak sebegitu. Semua penumpang senyap tak berkata apa-apa. Ketua pramugari masih mengukirkan senyumannya.Dia dah biasa agaknya.

Aku terbayangkan apa yang berlaku di Kota Kinabalu beberapa minggu lepas.

Alhamdulillah, kami berjaya mendarat dengan baik di atas runway yang basah oleh drebar yang cekap.Mungkin juga berkat doa wanita tadi yang di’amin’kan oleh kami semua di dalam hati.

Aku dipeluk oleh anak-anak di atas bumi pejal milik Tuhan.

~d’arkampo.

1 comment:

Sri Diah said...

Po... teringat kisah Burung Besi. Alhamdulillah selamat, dpt mendakap isteri dan anak-anak.